Monday 27 January 2014

ISTANBUL, TURKI

ISTANBUL, Turki
(19-23 JAN 2008)

                    
Kira-kira jam 9.00 malam, kami ke KLIA dihantar Ammar ( anak ketiga ) dan penerbangan adalah pada pukul 11.40  malam .  Semasa hendak melangkah masuk ke pintu kapal terbang, anak sulung saya,Amir menunggu di situ . Amir adalah jurutera kapal terbang yang bertugas mengisi minyak untuk penerbangan ke Istanbul itu. Di dalam flight, tidak ramai orang melayu. Mungkin kerana bukan cuti sekolah. Di sebelah saya ialah seorang gadis Turki yang pulang bercuti ke Ankara. Dia menuntut di salah sebuah universiti di Taiwan.

RM 100 = Lira Turki Baru (TRY) 62.00
6.00ptg KL = 12.00 ke ISTANBUL

19 Jan (Sabtu): Hari Pertama
Perjalanan mengambil masa 13 jam termasuk transit di Abu Dhabi dua jam dan kami tiba di Istanbul artatuk Airport pada pukul 6.40 pagi waktu tempatan (12.40 petang waktu Malaysia).
Sewaktu sedang tercari-cari teksi untuk ke Hotel Sultanahmet ( booking on line ) seorang lelaki melayu menyapa. Berusia dalam lewat empat puluhan dia memperkenalkan diri. Fuad , katanya ramah. Bekerja dibahagian carigali minyak ( di Turkministan barangkali , tak pasti ) dan transit di Istanbul sebelum meneruskan penerbangan seterusnya pada sebelah malam.
Fuad telah beberapa kali ke Istanbul jadi dia mengajak kami naik teksi. Kami menurut tanpa banyak bicara dan akhirnya terus ke Alzer Hotel untuk bersarapan pagi. Tidak mahu mengecewakan rakan yang baru dikenali, kami pun bermalam di situ dan maklumkan pada Sultanahmet Hotel bahawa kami akan tiba lewat sehari.
 Bersarapan di Alzer Hotel 
Inilah Fuad, teman yang menemani kami sehari di Istanbul

Selesai bersarapan, kami tinggalkan beg di bilik dan terus ke Grand Bazaar. Kami melalui satu kawasan perkuburan yang aneh kerana mempunyai binaan batu yang besar dan tinggi-tinggi.
Kapalicarsi Grand Bazaar merupakan satu kawasan gerai berbumbung yang paling besar menempatkan kira-kira 3500 kedai dengan 15000 peniaga. Pelbagai barang dijual. Ada yang mahal dan ada yang murah. Contohnya, jaket kulit lelaki yang dijual pada harga USD 100 atau  RM 300 sahaja. Kalau di Kuala Lumpur, jaket yang sama boleh mencecah harga RM 500.  Permaidani juga banyak tetapi saya tidak berminat untuk membelinya. Sekadar ole-ole untuk dibawa pulang, saya membeli lima helai selendang panjang atau 'pashmina' . Bila dibelek-belek pashmina tersebut ada pula tulisan 'made in Kashmir'. Tak apalah, yang penting saya berkenan dan harga pula berpatutan.
Keluar dari Grand Bazaar, azan zohor berkumandang. Kami singgah di masjid Nuruosmaniye untuk solat. Saya terus ke ruang solat wanita dan mendapati ruangnya sangat kecil walau pun ruang solat lelaki sangat luas. Keadaan ruang tersebut juga agak berhabuk seolah tiada yang memperduli. Hanya saya seorang ketika itu.
Saya dan suami memang peminat tegar nasi Arab . Memang kenalah dengan selera kami. Terima kasih juga kepada Fuad kerana dia yang membayarnya ....selesai makan, Fuad minta diri kerana dia perlu check out untuk ke airport. Meneruskan perjalanannya ke Turkministan. 
Berada di Istanbul, kami perlu menyusun sendiri tempat lawatan kerana tiada tour guide. Banyak tempat bersejarah di situ dan boleh sampai hanya dengan berjalan kaki.
Hagia Sophia yang dibina pada tahun 537 merupakan sebuah gereja selama 916 tahun. Kemudiannya ditukar menjadi sebuah masjid selama 481 tahun. Apabila Mustafa Kemal Artatuk memerintah , beliau menukarkannya menjadi sebuah muzium pada tahun  1935 .Pembinaannya melibatkan 100 kepakaran yang dibawa dari luar serta 10,000 buruh. Mar-mar nya pula didatangkan khas dari negara-negara Mediteranean. Semasa gempa bumi pada abad ke 14 dan 15, Hagia Sophia mengalami kerosakan teruk.Walau bagaimana pun Fatih Sultan Mehmet telah menganjurkan kutipan dana untuk membaikpulih bangunan tersebut. Akhirnya pada 3 Jun 1453, beliau telah mengadakan solat Jumaat di situ dan Hagia Sophia menjadi satu lambang kejayaan pemerintahan Empayar Byzantine ketika itu.
 Adegan dalam Hagia Sophia
Pemandangan bahagian atas
Hari yang begitu memenatkan kerana kami tidak berehat lagi sejak turun dari pesawat. Lewat petang kami balik ke hotel untuk membersihkan diri dan berehat sebentar. Pada sebelah malam, kami hanya berjalan-jalan melewati deretan kedai yang ada di persekitaran.
Di ruang lobi Hotel Alzer
20 Jan ( Ahad ) : Hari Kedua
Bersarapan di tingkat paling atas hotel, hanya ada sepasang suami isteri sahaja. Kami melemparkan senyuman  dan dibalas mesra oleh mereka. Sarapan yang biasa sahaja  iaitu roti bakar dan kuih yang manis-manis. Juga ada macam-macam jenis keju yang dipotong-potong kecil berbentuk kiub. Tidak pasti bagaimana untuk makan, perlukah di masukkan di dalam roti atau makan begitu sahaja. Yang pasti setiap satunya mempunyai rasa yang berbeza , terlalu masam atau terlalu masin. Jeruk buah juga ada yang rasanya sangat masam dan masin - berbeza dengan jeruk Pak Ali yang sedap dimakan begitu sahaja.
Kami menelefon Hotel Sultanahmet untuk memaklumkan kehadiran kami. Kedudukannya pun tidaklah jauh .Dengan pakaian tebal serta ditiup angin dingin , kami tiba dihotel yang dijanjikan. Suhu ketika itu adalah 6 darjah celcius menyebabkan kami tidak berpeluh walau pun berjalan kaki hampir tiga puluh minit sambil mengheret beg besar.
Biliknya agak kecil yang memuatkan sebuah katil bersaiz queen  dan televisyen yang digantung di atas. Kami mula membuka peta dan membelek buku-buku tentang Istanbul mencari destinasi yang akan kami tuju. Dengan menaiki tram dan tiketnya TRY 1.60 kami tiba dipelabuhan untuk menaiki kapal menyelusuri Sungai Bosfhorus. Tram merupakan  keretapi yang menggunakan jalan raya biasa tetapi di atas relnya yang tersendiri. Sekali beli tiket kita boleh turun di mana-mana sahaja tanpa mengira jarak.
Bergambar di hadapan tram
Kami membeli tiket (kapal) hingga ke hentian yang paling akhir iaitu Anadolu Kavagi yang mengambil masa dua setengah jam perjalanan.  Kapal tersebut ada dua tingkat. Di bahagian atas, angin bertiup sangat sejuk. Sesekali kami turun ke bawah bila terasa sangat sejuk .Ruginya tak dapat lihat pemandangan kalau di tingkat bawah.
Air lautnya sangat jernih sehingga nampak jelas obor-obor yang berenang. Burung-burung putih berterbangan mencuri ikan di air. Istanbul dikenali sebagai bandar dua benua kerana di sebelah kiri adalah benua Asia dan di sebelah kanan adalah benua Eropah. Jelas kelihatan perbezaan kedua-dua benua tersebut terutama dari segi bangunan dan susun aturnya.
                                
  Hentian paling akhir di Selat Bosphorus

Benua Eropah

Bahagian Benua Asia
Di dalam kapal saya berkenalan dengan seorang nenek yang berusia lapan puluh tahun. Dia seorang yahudi dan saya sangat terkejut. Boleh dikatakan 99% penduduk Istandul beragama Islam. Sangat peramah orangnya. Bercerita tentang diri dan keluarga di mana suaminya telah lama meninggal dunia tanpa meninggalkan anak. Dia mengusahakan lapan buah kedai 'hair saloon ' di sekitar Istanbul. semasa muda, dia banyak merantau terutama sekitar Eropah bersama mendiang suaminya.
Sebaik kapal berlabuh, kami berjalan-jalan melihat persekitaran. Akhirnya bertemu sebuah surau yang sedang diubahsuai tetapi tetap digunakan. Kami pun solat di situ . Singgah pula di sebuah restoran ikan bakar yang kecil hanya memuatkan empat set meja dengan empat kerusi. Kami makan nasi , ikan dan sotong bakar. Simple but nice - itu yang dapat saya katakan . Untuk kami berdua harganya sekitar TRY 20 sahaja.
Restoran yang kami singgah di Anadolu Kavagi
Banyak restoran di situ sebenarnya termasuklah yang bertaraf empat bintang . Walau pun cuaca dingin, masih juga ramai tetamu yang lepak-lepak sambil makan aiskrim. Selain dari restoran, terdapat juga kedai-kedai yang menjual cenderahati.
Kami menaiki kapal yang sama untuk pulang ke Istanbul dan tiba lewat petang. Sebenarnya ramai orang tempatan yang menggunakan kapal tersebut untuk pergi dan balik kerja.
Inilah kapal yang merentasi Selat Bosphorus 
 Yemi Cami atau Masjid Baru
Tidak jauh dari tempat kapal berlabuh, kai singgah di Masjid Baru. Istimewanya masjid tersebut adalah kerana mengambil masa paling lama untuk disiapkan iaitu 66 tahun ( 1661 ). Banyak masalah yang timbul. Antaranya ialah kematian arkitek yang bertanggungjawab, masalah kewangan, gempa bumi, kebakaran dan bermacam-macam lagi. Apabila pembinaan masjid tersebut siap sepenuhnya, pemerintah merasa sangat gembira lalu menghadiahkan wang emas serta perak kepada orang awam yang datang sembahyang.
Kami pulang ke hotel dengan menaiki tram. Pada sebelah malamnya kami hanya berjalan-jalan di sekitar jalan Sultanahmet membeli cenderahati. Sebelum tidur, kami akan melihat peta dan membaca tentang tempat-tempat yang akan kami lawati nanti.
Spice Bazaar
21 Jan ( Isnin ) : Hari Ketiga
Kami bersarapan di tingkat paling atas hotel. Tak ada lif sebab cuma ada empat tingkat sahaja. Bersama kami ada sepasang pelancong dari New Zealand katanya. Saya melihat bagaimana pekerja dari ats menurunkan sebuak bakul kecilkosong melalui tangga. Pekerja di bawah penuhkan roti di dalam bakul tersebut lalu di tarik ke atas. Macam mengambil air telaga. Jimat tenaga ! Macam selalulah. Roti dengan pelbagai jenis keju , jem dan butter. Hirisan timun dan tomato segar memenuhi pinggan. Bolehlah setakat nak mengalas perut.
Kami berjalan kaki ke Yerebatan Cistern iaitu satu kawasan simpanan air bawah tanah yang paling besar. Disiapkan dalam tempoh dua bulan sahaja dengan keluasan 10,000 m per serta boleh memauatkan 80,000 m padu air. Simpanan tersebut dibina kerana kawasan tadahan yang ada sering dicemar dengan racun oleh pihak musuh. Pada pertengahan abad ke 19, ianya tidak digunakan lagi dan telah dilakukan pengubahsuaian. Mulai tahun 1987 kawasan tersebut dibuka kepada awam dimana mereka memelihara pelbagai jenis ikan kap sebagai tempat tarikan pelancong.Difahamkan cerita Jame's Bond bertajuk 'From Russia with love' melakukan penggambaran di sini.
Kawasan simpanan air bawah tanah . Lihat tiangnya setinggi
Museum of Turkish and Islamic Art mula dibuka pada tahun 1983. Banyak koleksi buku tulisan tangan serta hasil kerja daripada batu, seramik, kayu dan besi yang dihadiahkan oleh Council Of Europe
yang tersimpan di situ. Tetapi yang paling menarik ialah terdapat pelbagai saiz permaidani buatan tangan.
                                                               
Boleh mengambil gambar di dalam muzium tetapi tidak boleh menggunakan cahaya. Katanya takut merosakkan bahan-bahan koleksi yang ada.Topkapi Palace adalah satu lagi tempat yang wajib dikunjungi jika  datang ke Istanbul dan mencatatkan 2.5 juta pengunjung setiap tahun. Merupakan pusat pemerintahan semasa  Empayar Uthmaniah iaitu empayar terhebat di dunia satu masa dahulu.
Bangunan tersebut dikelilingi oleh tembok sepanjang 5 km dan dilindungi oleh 28 buah 'tower'. Banyak koleksi yang terdapat. Antaranya ialah pelbagai pedang yang digunakan oleh sahabat nabi saw, serban, janggut nabi saw, pinggang mangkuk diperbuat daripada porselin, periuk belanga yang digunakan pada zaman dahulu dan macam-macam lagi. Hampir tiga jam kami berada di situ, masih lagi terdapat ruang-ruang yang belum diterokai. Akhirnya kami terpaksa mengalah dan keluar kerana terlalu letih.


Semuanya di dalam Topkapi Palace
                                                        Baghdad Kiosk 
Baghdad Kiosk merupakan senibina zaman Uthmaniah pada kurun ke 17 menggunakan marmar biru serta kubah diperbuat daripada emas. Terdapat juga binaan di dalam yang diperuat daripada gading gajah serta kulit kura-kura. Malangnya kami tidak boleh masuk kerana ditutup buat sementara waktu.
Berlatar belakangkan Laut Marmara semasa di persekitaran Topkapi Palace
Lewat petang kami ke Masjid Sultan Ahmet atau lebih popular dipanggil Masjid Biru. Dengan menanggalkan kasut, kami perlu memakai sarung plastik yang disediakan untuk masuk ke dalam. Istimewanya masjid ini kerana mempunyai enam menara berbanding masjid-masjid lain yang hanya ada empat di seluruh Turki. Kehebatan masjid ini adalah dari segi senibina yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana masjid . Keseluruhan marmar yang digunakan adalah berwarna biru dan sedikit hijau yang menjadikan masjid ini kelihatan kebiru-biruan bila matahari mula terbenam.
Sewaktu sedang  lepak dikawasan taman di luar Masjid Biru kami disapa sekumpulan anak muda. Rupa-rupanya mereka adalah pramugara dan pramugari yang bersama kami di dalam penerbangan. Maklumlah jumpa orang Malaysia di negara orang memang menggembirakan ! Bukan main rancak kami berbual....
Di Istanbul, saya suka membeli buah berangan dari cina. Besar dan manis. Di mana-mana pun ada orang jual dengan basikal tolak. Sama seperti yang ada di Malaysia. Sebungkus harganya sekitar TRY 5

22 Jan (Selasa): Hari Keempat
Hari ini kami berjalan-jalan mencari 'package sehari' yang sesuai untuk dikunjungi. Akhirnya menemui satu package yang akan membawa kami ke Dolmabahce Palace Museum serta pertunjukan Sultana 1001 night show. Sempat kami berbual tentang minat pemuda tersebut. Katanya 'clubbing' tanpa rasa bersalah. Tambahnya lagi, bila dah tua nanti barulah sembahyang! Terkejut saya mendengar pengakuannya.
Sekitar jam sepuluh pagi, kami menaiki bas  menyeberangai Jambatan Bosphorus menuju ke Dolmabahce Palace Museum. Dibahagian hadapan terdapat pengawal yang berdiri seperti patung sama seperti yang terdapat di Istana Negara. Mereka akan bertukar sif setiap satu jam.
Bersama pelancong dari Dubai yang sangat peramah
Sekali lagi kami perlu memakai plastik alas kaki sebelum memasuki bangunan tersebut. Istana ini disiapkan dalam tempoh 13 tahun (1843-1856). Pembinaanya menyebabkan Empayar Uthmaniah menanggung bebanan hutang yang paling banyak sehingga tidak dapat digunakan selama 32 tahun. Walau bagaimana pun apabila ekonomi negara semakin pulih, terdapat enam orang Sultan yang pernah menduduki istana tersebut. Mustafa Kemar Artatuk pula menjadikan istana ini tempat persinggahan beliau ketika berada di Istanbul. Apabila beliau meninggal dunia pada 10 November 1938, istana ini telah diuabahsuai menjadi sebuah muzium.
Istana ini mempunyai ciri-ciri persamaan dengan Muzium de lourve (Paris) dan Istana Buckingham (London) .. Gambar di dalam istana menggunakan 14 tan emas dan 40 tan perak. Perhiasan di dalamnya pula didatangkan khas dari merata pelosok dunia antaranya Paris, England, Hereke dan Lyon.Di sini terdapat 1427 tingkap, 285 bilik, 43 dewan dan 6 balkoni serta 6 hammams (tempat sauna) .Bahagian yang paling istimewa ialah 'Ceremonial Hall' menempatkan 4.5 tan chandelier paling berat didunia dengan 750 lilin yang telah dihadiahkan oleh Queen Victoria II dari England. Tetapi bekas lilin tersebut telah digantikan dengan mentol elektrik.
Terlalu banyak bahan  yang dipamerkan sehingga tidak mampu untuk melihat kesemuanya dalam satu masa. Set makan daripada emas, tandas untuk anak pemerintah juga diperbuat daripada emas serta binaan tangga yang diperbuat daripada kristal bermutu tinggi. Perabot-perabot juga masih lagi elok kerana dijaga rapi.
Lewat petang kami tiba di hotel untuk berehat kerana sebelah malamnya kami akan menonton Sultana 1001 night show. Saya tertanya-tanya juga tentang persembahan tersebut, bimbang kalau-kalau keterlaluan. Tetapi bila dah mula, semuanya ok sahaja. Pakaian penari serta penyanyinya sedikit seksi tetapi tidaklah terlalu mengghairahkan. Ada adegan lucu yang diselitkan. Apa-apa pun memang menghiburkan. Maklumlah, malam terakhir kami di situ. Begitu juga dengan makan malam yang dihidangkan. Sedap sekali....makan sambil menonton live show.....

23 Jan (Rabu): Hari Kelima
Sedih rasa hati kerana kami terpaksa meninggalkan kota Istanbul. Pukul lapan pagi kami dah check out. Sempat juga berbual dengan staf di ruang lobi tersebut. Katanya salji akan turun pada hari Jumaat mengikut laporan kaji cuaca di Ankara. Tunggulah dulu katanya. Saya kata tak boleh sebab tiket saya bukan open tiket.Kami telah survey sebelum itu bagaimana untuk ke airport. Mudah sahaja rupanya. Naik tram dua kali. Tak sampai TYR 5 seorang. Murahkan ? Cumanya kami kena heret beg....Selamat tinggal Istanbul. Pastinya banyak kenangan manis yang saya dan suami bawa pulang....
Lapangan Terbang di Istanbul Pulang for
HASIL NUKILAN
HAJA HAZEEYA

Templat Simple. Dikuasakan oleh  Blogger .