Friday, 2 January 2026

BRUNEI ( DAN MIRI )

11 - 16 NOV 2023


Ini adalah trip DIY saya bersama suami dan Hanis ke BRUNEI. Nak direct flight ke Brunei, agak mahal. Jadinya kami ke MIRI dan sewa kereta, pandu sendiri.  Lebih murah.

#mulanya kami book MYAIRLINE untuk flight MIRI-KL, namun nasib tak baik sebab company tu tutup sebulan sebelum bertolak. Terpaksa beli tiket lain. Katanya nak REFUND tapi tak ada hingga sekarang.


11 Nov : Sabtu, hari pertama

Dengan menaiki Malaysia airline, kami bertolak pada jam 6.30 pm dan tiba di

MIRI sekitar jam 9.00 pm. Di airport, kami terus mendapatkan kereta sewa yang dibooking atas talian. Kereta NISSAN AL MEERA dengan harga RM 950 sehingga 16 NOV. Sebelum tu kami pastikan kereta tersebut tiada masalah untuk MASUK BRUNEI.

Kami check in HOTEL MIRI.

Seumur hidup saya, inilah PERTAMA kali nak ke Brunei. Tak pernah tergerak hati nak ke Brunei tak tahu kenapa. Saya tak tahu apa2 ATTRACTIONS yang ada di sana. Berbeza dengan Malaysia... macam2 ada.





12 Nov : Ahad, Hari ke 2

Pukul 10.00 am, kami bersarapan pagi di gerai yang ada sekitar Miri sebelum meneruskan perjalanan ke BRUNEI.

Semasa di Imigresen, kami dimaklumkan ada borang yang sepatutnya kena isi sebelum masuk Brunei. Saya baru tahu. Mujur staf tu kata tak apa... dah sampai Brunei nanti boleh isi online. Saya ingat kereta jer kena daftar sebab yang tu dah settle, owner kereta buatkan siap2 sebelum kami sewa.

Jalan  ke Brunei mudah sahaja. Lurus dan luas. Pemandangan pun tak ada sangat yang menarik. Saya dok bayangkan adalah sesuatu yang indah di kiri kanan jalan... maklumlah negara kaya kan... biasa sahaja. 

Lebih kurang dua jam setengah, kami pun tibalah di BANDAR SRI BEGAWAN. Pusing2 bandarnya yang kecil tu nak makan tengah hari. Nak singgah restoran biasa, macam tak menyelerakan. Last2 makan lah Burger King. Apa lagi... burger lah jawabnya.

Kami seterusnya ke MASJID OMAR  ALI SAIFUDDIEN yang merupakan salah satu MERCU TANDA negaranya. Cantik dan besar berwarna putih dibina pada tahun 1958.

Petangnya kami check in HOTEL COCONUT BAY LODGE dengan harga RM 433 untuk DUA MALAM. Sangat selesa. Bilik yang besar dengan satu katil single dan satu katil queen. Ada pulak sebuah BASIKAL SENAMAN yang diletakkan didalam bilik tersebut yang saya pun

first time ada benda ni dlm hotel

tertanya2... PERLUKAH?

Selepas membersihkan diri dan berehat sebentar kami keluar ke GERAI SOTO ANGAH. Kami cuba soto dia. Memang sedap. Selain soto, ada banyak lagi masakan panas dengan harga yang berpatutan.


13 Nov : Isnin, Hari ke 3

Sarapan pagi juga di GERAI SOTO ANGAH tapi kami cuba pula bihun goreng. Sedap juga.



Tempat pertama kami pergi ialah KAMPUNG AYER. Adalah dua tiga bot yang


kerajaan buat dan jual
suami tanya untuk negotiate harga. Alhamdulillah akhirnya kami dapat. Dia bawa kami ke kampung air sambil bercerita serba sedikit tentang setiap yang ada di atas air tersebut.

Ada TUJUH SEKOLAH KEBANGSAAN dan SATU SEKOLAH MENENGAH atas air. BALAI BOMBA dan KLINIK juga ada di gigi air. Bermaksud tempat tersebut sebahagiannya terletak atas darat.  Ahli bomba biasanya tangkap ULAR atau BUAYA yang mengganggu penduduk rumah air.

Terdapat rumah penduduk yang diperbuat daripada KAYU dan daripada BATU. Rumah kayu selalunya dibuat sendiri tanpa bantuan kerajaan. Saya juga dimaklumkan



rumah buat sendiri
yang air sungai tersebut adalah masin kerana ada muara yang berdekatan.

Rumah batu pula dibuat oleh kerajaan dan dijual kepada penduduk dengan harga BND 65k ke BND 80k. Ada yang satu tingkat. Ada yang dua tingkat.

Kami singgah melihat MUZIUM KAMPUNG AYER CULTURAL & TOURISM GALLERY yang percuma. Di dalamnya kami boleh melihat seni kraf tangan, sejarah serta cara hidup masyarakat melayu di kampung air.

Itu lah destinasi terakhir kami sebelum menaiki bot yang sama untuk pulang ke daratan.


Kami teruskan perjalanan dan singgah bergambar di luar ISTANA NURUL IMAN sebelum terus ke MUZIUM DIRAJA yang bayaran masuknya adalah BND 5 seorang. Muzium yang sangat besar itu mempamerkan barangan berkaitan alat2 kebesaran di raja. Terdapat juga pameran barang2 yang dihadiahkan oleh kerajaan2 seluruh dunia.

Kami pulang ke hotel dan keluar semula selepas magrib. Kali ini kami ke PASAR MALAM GADONG untuk mencari makan malam.  


14 Nov : Selasa , Hari ke 4

Kami keluar Brunei selepas sarapan pagi dan terus ke LAWAS. Tiba sekitar jam 1.00 pm kami hanya melihat2 sekitar WATERFRONT LAWAS. Tak ada yang menarik sangat disini.

Selepas check in HOTEL SRI MALAYSIA kami membersihkan diri dan berehat sebentar. Sebelah malamnya kami keluar ke restoran berhampiran untuk makan malam.

Masjid



Gambar2 di dalam MUZIUM DIRAJA









Dalam Muzium Kampung Air



15 Nov : Rabu, Hari ke 5

Hari ini kami nak ke MIRI tetapi terpaksa melintasi Brunei lagi. Kat Brunei tak perlu risau sebab HIGHWAY dia TIADA TOL. Kami kena isi borang2 online untuk melepasi imigresen. Sampai di Brunei sekitar jam 10.00 am, ronda2 sekejap dan kami akhirnya keluar pada jam 1.00.

Kami sampai di MIRI dan check ini HOTEL MIRI lagi. Sebelah petangnya kami ke kawasan pendalaman untuk melihat orang kampung yang membuat IKAN TAHAI SALAI yang sangat popular di LAWAS. Pada mulanya saya tertanya2 apakah ikan tahai ini... rupa2nya ikan tamban kalau ditempat kita. Ikan tersebut disalai supaya tahan lama dan senang nak simpan. 


Pasar Miri

16 Nov : Khamis, Hari ke 6

Selepas sarapan pagi, kami ke pasar basah untuk membeli IKAN TERUBUK MASIN ... nak bawa balik rumah.

Sebelah tengah hari, kami ke airport untuk pulangkan kereta dan menaiki pesawat pulang ke KLIA. Sekitar jam 4.00 pm kami menaiki  pesawat MAS ke KLIA dan selamat tiba selepas dua jam lebih berada di udara.

Pasar Miri




Masjid di Kampung Air

Bomba di Kampung Air

Sekolah














Tuesday, 30 December 2025

SINGAPORE

 2008, 2011, 2016, 2023


Saya baru teringat untuk share kisah percutian kami ke Singapura sebanyak EMPAT kali. Tapi saya tak ingat tarikhnya. Cuma ingat tahunnya sahaja.


TAHUN 2008.


Kami pergi ber6 , anak kedua tak ikut. Dia dah kawin masa tu.

Belum ada Universal Studio lagi. Kami pergi menaiki bas ekspress dari stesen Larkin, Johor Baru. Tidur pun di JB. Semasa di imigresin anak saya, Ammar (arwah) telah ditahan kerana membawa sekotak rokok.

Puas lah kami menunggu sebab agak lama dia disoal siasat. Akhirnya suami

saya dipanggil untuk bayar denda sebanyak SGD 20. Harga rokok masa tu baru RM5. Lepas tu barulah seseorang bagi tahu, kalau bawa rokok mesti buka siap2 dan keluarkan sebatang... baru tak kena denda. Sebenarnya saya tak tahu pun Ammar bawa rokok walau pun saya tahu dia memang hisap rokok.

Masa tu tak banyak sangat attractions. Kami naik CABLE CAR ke Pulau Sentosa. Yang pastinya kami ke UNDER WATER WORLD dan melihat pertunjukan ikan lumba2.

Kami tak tidur pun. Lewat petang kami pulang ke JB menaiki bas ekspress juga.


TAHUN 2011

#Gambar2 tak dapat dikesan

Kali ini kami pergi ber4 dan ambil hotel di Singapura selama tiga malam dengan menaiki Air Asia. Masa ni UNIVERSAL STUDIO SINGAPORE baru sahaja dibuka pada bulan Okt 2010.

Anak2 saya yang teruja sangat untuk ke USS. Kami menaiki teksi tetapi nasib tak baik sebab kena scam dengan pemandu. Dia buat2 salah jalan dan pusing jalan yang sama kononnya tersilap. Maklumlah teksi dia guna meter. Sebelum tahan teksi, staff hotel dah bagi tahu nak ke USS dalam SGD 12 sahaja. Last2, kami kena bayar SGD 25. Patutlah bukan main peramah lagi pemandu tu berbual dengan suami saya.

RIDE dan ROLLER COASTER yang ada memang extreme. Saya dan suami banyak tengok SHOW. Ada juga kami naik bot serta ride yang biasa. Paling menarik adalah  WATER SHOW yang mendebarkan. Aksi  di dalam kolam yang melibatkan STUNT MAN, API dan JET SKI. Keseluruhannya sangat menghiburkan. Berbaloi dengan harga tiket.

Sewaktu nak pulang dari USS, ada bas percuma yang hantar pengunjung ke stesen bas. Kami naik yang tu sebelum naik bas lain untuk ke hotel. Esok harinya kami ke Pulau sentosa untuk naik LUGE. Saya nak bagi peluang anak2 merasai LUGE sebab saya dah naik masa bercuti di auckland.


TAHUN 2016

#Gambar2 tak dapat dikesan

Disebabkan adik suami saya teringin nak pergi USS, makanya kami pergi lagi. Saya ber4 sementara adik suami ber5.

Percutian kali ini sangat singkat iaitu 2h 1m sahaja. Kami naik Air Asia dan tiba di Singapura pukul 8.00 am. Masa ni dah ada LRT dan monorel yang menghubungkan airport dengan USS. Jadinya kami semua terus masuk USS. Beg2 baju kami simpan di dalam locker berbayar. Saya beli tiket online. 

Semasa menyaksikan WATER WORLD di USS, adik ipar saya tertinggal beg berisi telekung di bawah tempat duduk. Bila tersedar, kami kembali untuk mencari tetapi tiada.

Kami cuba ke kaunter LOST & FOUND. Staf di situ tanya tentang warna dan apa yang ada di dalam. Alhamdulillah dapat semula. 

"Sayang beg ni sebab kak Nor bagi, beli kat London" kata adik ipar saya ringkas.

Selesai bermain di USS, kami naik lrt ke RESTORAN ZAM ZAM yang popular dengan MURTABAK SINGAPURA. Selepas itu kami naik lrt untuk ke hotel.

Kesokan harinya, kami ke Pulau Sentosa sebab anak2 adik ipar saya nak merasa naik LUGE. Dari situ kami terus ke airport sekitar jam 4.00 pm naik lrt. Memang penat sangat2 tetapi berbaloi kerana semua anak2 dan anak2 saudara saya gembira. Flight kami sekitar jam 8.00 pm dengan Air Asia juga.


TAHUN 2023

Ini adalah hadiah kahwin anak ke 4 saya. Jadinya kami pergi ber5. Honeymoon lah kiranya. 

Anak pertama, saya tak bawak sebab dia kerja dengan MAS. Dia kata dia boleh pergi sendiri sebab tiket free. Jadi dia ke New Zealand lepas kahwin. Anak ke2, saya bawa ke HONG KONG pada 2008. Anak ke 3 saya bawa ke TOKYO pada 2012. Anak ke4 saya bawa ke Singapura, Langkawi dan Hatyai pada tahun 2023.

roti aiskrim

Kami ambil hotel di JB untuk tiga malam. Keesokannya kami naik SHUTTLE TEBRAU (beli tiket online) untuk ke USS. Murah dan tak sesak. Ruang menunggu pun selesa. Tambang hanya RM 38 return. Naik keretapi pun tak sampai SEPULUH MINIT dah sampai. Macam biasa, kami naik lrt dan monorel ke USS. Puaslah mereka naik roller coaster dan dapat tengok macam2 show. Lewat petang kami pulang ke JB.

Keesokannya kami masuk Singapura lagi. Kali ini lepak di kawasan MERLION yang popular. Penuh dengan pengunjung terutamanya orang Indonesia. Kami hanya bergambar2 di situ berlatar belakangkan MARINA BAY HOTEL yang popular dengan INFINITY POOLnya. 


Kawasan tersebut semakin cantik berbanding kunjungan saya pada tahun2 sebelumnya.

Kemudian kami ke restoran Zam Zam untuk makan murtabak. Selepas itu solat di MASJID SULTAN yang hanya seberang jalan di situ. Saya temui seorang laki2 berusia 60an yang berulang alik dari rumah dia menaiki LRT hanya untuk solat berjemaah di masjid tersebut. 

"Itu paling dekat" katanya. Tiba2 saya rasa bertuah kerana masjid di rumah saya hanya lima minit berkereta. Rasa bersyukur sangat2 kerana dilahirkan  dan menetap di Malaysia.


















Monday, 29 December 2025

ICELAND - MEMBURU AURORA

 1 - 9 NOV 2025

Perbezaan waktu : Kuala Lumpur 10.00 am = Reykjavik 2.00 am

Hanya saya dan suami untuk trip kali ini. Diuruskan oleh Kembarasufi travel dengan harga
RM 12999 seorang untuk 9d 6n segalanya berjalan lancar. Ahli grup kami hanya ada 12 orang. Tiada tour leader. 

Dikhabarkan ICELAND merupakan negara kedua tercantik di dunia selepas NORWAY. Wallahu alam... Sebenarnya saya pernah ke Norway tetapi tidak memasuki kawasan2 pedalaman yang katanya jauh lebih cantik dengan pemandangan serta gunung-ganangnya.


1 NOV : Sabtu, Hari Pertama

Penerbangan ke Reykjavik mengambil masa 29 jam termasuk dua kali transit. Pertama di Dubai selama 5 jam dan yang kedua di Amsterdam selama 4 jam. Mula2 naik Emirate airways kemudiannya penerbangan domestik iaitu Icelandair.



Tour guide Ari & Danny

2 NOV : Ahad, Hari ke 2

Kami tiba di airport Keflavik pada jam 3.25 pm waktu tempatan. Ari dan Danny adalah dua orang yang berkerja dengan KS... mereka yang uruskan kami di Iceland. Mereka datang dari bulan sept dan akan pulang pada bulan Nov setelah selesai semua urusan KS di sana.

Sebelum ke hotel, kami di bawa ke supermarket KRONAN untuk membeli apa2 keperluan. Trip ini hanya menyediakan sarapan pagi dan makan malam.

Kami di bawa ke HOTEL VELLIR untuk check in. Makan malam dihantar ke bilik yang dimasak oleh orang Malaysia menetap di Iceland. Nasi putih dengan gulai ikan yang menepati selera kami.

Tepat jam 9.00 pm, kami di bawa ke tempat untuk mencari AURORA atau NORTHERN LIGHT oleh Jenny iaitu LOCAL TOUR GUIDE. Dalam bas tersebut ada beberapa orang lagi pelancong yang di ambil dari dua hotel lain. Bas berhenti dan kami turun. 

langit yang sama

semua ahli grup

bersama sahabat Lateffa

Sesekali kami naik bas semula kerana suhu sangat sejuk iaitu -1. Kami semua berbaju tebal serta sarung tangan. Sehingga jam 11.00 pm, tiada tanda2 aurora akan muncul. Jenny hidangkan kami coklat panas untuk memanaskan badan sebelum naik bas untuk ke tempat lain.

Kami tertidur kerana keletihan teramat sehinggalah suara Jenny membangunkan semua orang sekitar jam 11.45 pm.  

"Sediakan kamera" jerit Jenny. Baru saya faham yang aurora tak nampak  dengan mata kasar jika indeksnya rendah. Saya memandang ke langit yang gelap hanya kelihatan tompokan berwarna kelabu sahaja sehinggalah  kamera hp di halakan ke arahnya. 

"Jangan bergerak2. Kamera kena stay untuk beberapa saat, barulah perlahan2 aurora akan kelihatan sangat jelas". Begitu pesan Jenny. Keadaan ini mengajar saya erti sabar. Masya Allah... CANTIKNYA AURORA secantik namanya... Subhanallah.

Begitu juga ketika nak merakam gambar  berlatar belakangkan aurora. "Dok diam2 sebab ini bukan ambil gambar biasa" begitu pula pesan Ari. "Kalau gerak, nanti kena buat semula"  sambung pula Danny.

Walau pun indeks aurora pada malam itu adalah 3 (paling tinggi adalah 9), cantiknya memang tak terkata. Sekali dua aurora tu bergerak seolah2 menari. Warnanya yang hijau membentuk pelbagai rupa .. hijau pekat dan hijau cair bersilih ganti. Langit yang sama namun berlainan bentuk jika gambar diambil dari sudut berbeza.

Puluhan tahun saya mengharapkan keajaiban ini. Malam itu saya menyaksikan indahnya aurora yang selalu di sebut2 orang. Sejak di Malaysia lagi saya berdoa supaya Allah beri peluang kepada saya untuk melihat aurora. Sebab saya pernah dengar ada orang yang ke Iceland tetapi gagal menemui aurora. 

Tanpa sedar, kami telah berada di situ hampir satu jam bila Jenny mengajak kami semua pulang ke hotel.

R n R Borganes

3 NOV : Isnin, Hari ke 3

Sekitar jam 2.00 am barulah kami sampai di bilik. Bersihkan diri dan tidur.

Seawal jam 8.00 am kami keluar selepas bersarapan di hotel. Macam biasa kami hanya makan roti, buah atau cereal.

Singgah di R n R BORGANES untuk ke tandas atau minum kopi. Entah di mana silapnya, berlaku sedikit salah faham menyebabkan kami terpaksa menunggu di situ. Kami terus cari tempat lapang di tepi kedai untuk menunaikan SOLAT JAMAK. Dah la sejuk, angin pula kuat. Begitulah biasanya jika

Kirkjufell mountain
bermusafir diwaktu2 begini. Sekitar jam 2.00 pm barulah ternampak kelibat LINDA. 

Kami teruskan perjalanan ke KIRKJUFELL MOUNTAIN yang berdekatan dengan KIRKJUFELL FOSS. FOSS bermaksud AIR TERJUN. Memang menakjubkan sebab kami tak perlu berjalan jauh pun untuk ke air terjun tersebut. Melihat airnya yang jerneh rasa nak mandi jer.

Semasa berbual dengan Danny, dia bagi tahu yang makanan kat sini tak basi letak kat luar dua tiga hari. Nasi pulak boleh tahan sampai lima hari tanpa perlu panas semula. Sebab sejuk kan...Kami sampai di hotel sekitar jam 8.00 pm. Bersihkan diri dan terus tidur. Pada malamnya kami mendapat makan malam yang dihantar ke bilik. Dimasak oleh Linda juga. Kami kongsi satu bekas dan simpan satu bekas lagi untuk makan esok pagi.


Kirkjufellfoss

4 NOV : Selasa, Hari ke 4

Benarlah seperti yang diberitahu, saya dan suami makan nasi yang semalamnya. Masih elok dan sedap. Kali ini ayam masak merah.

Lepas sarapan di hotel,kami check out. Jam 11.30 am kami tiba di SEJALANDFOSS yang ketinggian air terjunnya adalah 60 m. Apa yang lebih menarik adalah kami boleh melalui di belakang air terjun yang jatuh ke bumi. Percikan air tersebut memaksa kami untuk mengenakan baju hujan kalau tak mahu basah. Jalan yang tidak rata dan licin serta basah menjadikan pergerakan kami sangat perlahan. Di sini banyak pengunjung apa tah lagi banyak yang berhenti untuk merakam gambar. Memang tak pernah saya tengok air terun setinggi itu.


Sejalandfoss


Skogafoss

Skogafoss
Satu lagi air terjun yang kami singgah adalah SKOGAFOSS tetapi tak boleh pergi dekat pun. Ada sepasang PENGANTIN di situ, berpakaian biasa tetapi bertukar2 cincin dengan disaksikan pendaftar perkahwinan, barangkali. Sebab dia datang membawa logbook.

Kami seterusnya ke VIK VILLAGE untuk ke RENISFJARA yang lebih dikenali sebagai BLACK SAND BEACH. Namun ada tali rentang yang tidak membenarkan sesiapa untuk mendekati kawasan pantai kerana ombak sangat kuat. 

Destinasi seterusnya adalah DYRHOLAEY. Merupakan kawasan popular di selatan Iceland. Kabarnya banyak burung PUFFINS bersarang di situ pada musim panas. Kawasan tersebut menyaksikan kuatnya ombak laut menghempas batu2 pejal yang ada di pinggir pantai. Sangat menakutkan sebenarnya. Tak siapa yang dibenarkan turun ditambah pula ada penghadang

Dyrholaey

yang diletak disitu.

Kami pulang dan terus check in HOTEL KRIA. Kali ini kami diminta untuk tidur dengan pakaian lengkap ... senang nak keluar bila dipanggil kalau ada aurora yang muncul di situ.

Saya berdoa dan berharap keajaiban tersebut namun hampa. Takdir Allah begitu... saya sedar apabila telah masuk waktu subuh.


Diamond Beach
5 NOV : Rabu, Hari ke 5

Sepanjang perjalanan dapat disaksikan MOSS atau lumut di kiri dan kanan jalan. Kita tak boleh pijak sesuka hati di atas lumut2 tersebut kerana menjadi satu kesalahan jika tertangkap.

Kami tiba di JOKURSALON atau GLACIAL LAGOON. Di situlah letaknya DIAMOND BEACH.

Rasa macam mimpi apabila saya betul2 berada di Diamond Beach. Terlalu banyak bongkah2 ais yang terdampar di

situ, pelbagai saiz. Glacier2 besar turun dari pergunungan dan akhirnya tersadai di pantai tersebut. Ada yang kecil, ada yang besar dan sangat besar. Dengan warna biru dan putih terkena pancaran cahaya matahari, memang memukau sesiapa yang melihat. 

Seterusnya kami menaiki AMFIBIAN BOAT dengan harga RM220 seorang. Selama hampir satu jam berada di tasik yang penuh dengan ICEBERG, banyak terdapat ANJING LAUT di situ. Mereka terdampar di atas ketul2 ais yang ada dalam tasik tanpa pedulikan kehadiran kami. Saya terfikir ... betapa hebatnya ciptaan Allah ini kerana haiwan itu baring sambil menggerakkan ekornya.. tak sejuk kah dia? Sesekali dia berpaling memandang bot kami. Allahu Akbar...

amfibian boat


Turun dari bot, kami di bawa ke kawasan lain yang juga penuh dengan iceberg. Pemandangan yang tak pernah saya lihat sebelum ini walau pun pernah  pergi ke negara2 lain yang bersalji. Betul lah kata orang... ICELAND INI SANGAT INDAH.

Setelah petang, kami pun pulang dan check in HOTEL LAKI. Untuk kedua kalinya, kami diminta tidur dengan pakaian lengkap. Aurora pernah muncul di luar hotel pada jam tiga pagi dan terpaksalah TG  mengetuk pintu setiap bilik. Sebenarnya hotel tersebut juga menyediakan AURORA CALL jika ia muncul.

Saya terjaga bila alarm hp berbunyi menandakan waktu subuh. Tiada rezeki nampaknya, bisik saya sendirian. 


6 NOV : Khamis, Hari ke 6

Selepas sarapan, check out dan kami bergerak ke RENISFJARA BEACH atau pantai pasir hitam sebab sebelumnya kami tak boleh singgah. Angin sangat kuat dan tolakannya menyebabkan badan saya bergerak. Disebabkan itu, saya dan suami terpaksa pegang tangan kuat2 untuk memudahkan pergerakan. Seluruh pasir di kawasan tersebut berwarna hitam.

Pengunjung sentiasa diingatkan supaya jangan terlalu dekat dengan air kerana ombak besar boleh berlaku tiba2 atau tanpa dijangka. Di situ juga banyak terdapat burung2 jenis


PUFFINS, GUILLEMOTS dan FULMARS. Rasanya burung2 ini semua hanya ada di negara2 sejuk seperti Iceland.

Kami singgah di R n R untuk makan makanan tengah hari. Ada yang bawa sendiri atau panaskan nasi segera yang dibekalkan KS. Lepas itu kami solat jamak.

Seterusnya kami ke SHIPWRECK di mana SHAH RUKH KHAN & KAJOL  berlakon dalam filem D1LWALE pada tahun 2015. Sejak menonton filem tersebut, saya memang berharap untuk sampai di situ satu hari nanti. Alhamdulillah ... telah di kabulkan.

Shipwreck
Pesawat kecil tersebut dikatakan terhempas pada tahun 1973 tetapi semuanya selamat. Namun pilotnya digantung tugas selama dua minggu.

Untuk sampai ke tempat tersebut, kami kena menaiki bas yang disediakan kerana kereta2 pelancong tidak dibenarkan masuk. Mungkin untuk mengawal laluan ke situ supaya tidak rosak.

Puas lah kami semua bergambar di atas pesawat yang rosak di sana sini. Ari pesan supaya kami lebih berhati2 kerana mungkin ada bahagian yang reput takut terjatuh. Dasyat betul penangan filem Bollywood ini terhadap penonton2nya.

Selesai di situ, kami ke GULFOSS. Satu lagi kawasan air terjun yang besar dan cantik. Kali ini kami bergambar di bahagian atas sahaja. Tengok dari jauh sahaja sebab terlalu bersar



dan sangat merbahaya. Ada pagar yang melindungi kawasan tersebut. Airnya
Gulfoss

yang berwarna putih kelihatan sangat cantik bila terjun menuruni kawasan tinggi untuk sampai kebawah. Kena pulak dengan pancaran cahaya matahari senja, memang sangat menakjubkan. Begitulah indahnya ciptaan Allah.

Kami singgah pula melihat tiga ekor KUDA tempatan yang mempunyai bulu sangat lebat. Kuda2 Iceland dikabarkan jika dieksport keluar tidak dibenarkan masuk semula untuk menjaga keaslian baka mereka. Begitulah...

Sebelum pulang, kami singgah di THE GREAT GEYSIR untuk melihat sendiri bagaimana pancutan air panas terjadi. Berbeza dengan yang ada di ROTORUA NEW ZEALAND. Pancutan air panas di sini hanya berlaku dalam sepuluh minit sahaja dan tidak terlalu tinggi. Kalau di NZ, pancutan airnya sangat tinggi hingga boleh mencecah 9m.

Untuk kesekian kalinya, kami tidur berpakaian lengkap kerana kemungkinan untuk bertemu dengan aurora tu masih ada. Dan kami masih berharap. Sekali lagi kami hampa dan akhirnya redha.

7 NOV : Jumaat, Hari ke 7

Selepas sarapan, kami dibawa ke RAINBOW STREET tempat untuk SHOPPING. Seperti namanya, ada laluan di situ diwarna warnikan. Kedai2 di situ ada yang murah ada yang mahal. Sebiji KEY CHAIN biasa, harganya adalah RM 35. Sangat mahal berbanding dengan negara2 Eropah yang pernah saya kunjungi. Pakaian2 juga sangat mahal. Saya membeli beberapa barang yang saya rasa berpatutan sahaja untuk kenang2an.


Kemudian kami ke REYKJAVIK untuk WHALE WATCHING yang mana kami kena menaiki bot yang agak besar. Bagi yang berminat bolehlah memakai JUMPSUIT yang disediakan untuk elak sejuk atau basah. Kami tak dapat melihat sepenuhnya ikan paus di situ kerana dia hanya muncul sekejap2 sahaja. Dua tiga kali timbul kemudian tenggelam sepenuhnya di dalam air. Nasib tidak menyebelahi kami barangkali.

Sebelah petangnya, kami singgah di GRAND MOSQUE OF ICELAND dan solat jamak takhir. Ada tabung di situ tetapi tiada QR dan hanya menerima EURO atau USD. Kami tak bawa duit cash kerana semua perbelanjaan menggunakan KAD DEBIT atau KAD CREDIT. Saya mula tertanya2... wujud ke  ICELAND KRONA sebab saya tak pernah tengok pun duit cash depa. Hanya dengar sahaja...

Waktu menghampiri magrib apabila kami tiba di satu kawasan yang penuh dengan LAVA KERAS. Saya cuba pegang serpihan lava yang ada. Rasanya seperti ketulan

Rainbow street

BESI PEJAL yang berwarna hitam berkilat. Seterusnya kami ke BLUE LAGOON iaitu satu kawasan  penuh dengan kolam2 kecil. Ada kawasan di mana mereka telah ubahsuai dasarnya supaya pengunjung boleh mandi kerana kalau dasarnya penuh dengan lava, memang tak boleh pijak pun sebab tajam. 

Warna airnya yang biru disebabkan kandungan SILICA yang tinggi serta garam mineral. Berendam di dalam air tersebut dipercayai sangat bagus untuk kulit. Air kolam tersebut  mencecah 37-39 darjah adalah buatan bukannya semulajadi.

Kami check in HOTEL START apabila hari telah gelap. Dinner malam tersebut sangat istimewa disediakan oleh Linda. Donny memperkenalkan ISI IKAN PAUS FROZEN kepada kami. Katanya hanya NORWAY, THAILAND dan ICELAND yang tidak menandatangi

Lava , keras macam besi

perjanjian untuk melindungi ikan paus. Jadinya tidak salah bagi negara2 ini untuk makan ikan paus. Rasa dan rupanya seperti daging lembu.


8 NOV : Sabtu, Hari ke 8

Sarapan pagi kami disediakan oleh Linda seawal jam 3.00 am dan check out adalah pada jam 4.00 am. Semasa sedang bersiap2 di dalam mini bas untuk bergerak ke airport, seorang teman tiba2 berkata ..." eh, aurora ke tu" sambil menunjuk ke arah langit. Kami semua turun dan mengeluarkan hp untuk merakam keajaiban tersebut.

MasyaAllah... Subhanallah... nak nangis rasanya apabila kami dapat melihat aurora untuk kali kedua. 


Aurora sambut kami datang dan sekarang aurora nak hantar kami pulang... begitu

The Blue Lagoon
 perancangan Allah yang tidak kita tahu. Apa lagi yang saya boleh katakan bila segala yang dirancangkan untuk trip kali ini berjalan lancar.

Pesawat bergerak pada jam 7.30 am (waktu tempatan) dan selamat mendarat di KLIA pada jam 2.40pm keesokan harinya, 9 NOV 2025. Jumlah perjalanan kami adalah 24 jam termasuk dua kali transit di GATWICK AIRPORT dan DUBAI AIRPORT.


Terima kasih Allah untuk kenangan indah ini

BUAT PEMBACA; KALAU BERPELUANG, PERGILAH ICELAND. ANDA TAK AKAN MENYESAL



Isi ikan paus

aurora hantar kami pulang

Selamat tinggal aurora













Barnafoss