Tuesday, 4 March 2014

JEPUN - SALJI & SKI

20 - 26 DIS 2012
Disneyland , Tokyo
Kami sekeluarga berenam termasuk seorang menantu meredah kota metropolitan, Tokyo mencari pengalaman melancong di sana. Kiranya ini adalah hadiah bulan madu kami untuk anak dan menantu yang baru melangsungkan perkahwinan pada 1 Disember lalu. Tanpa bantuan sesiapa atau mana-mana package pelancongan kami mencari kelainan di negara orang. Hanya berbekalkan pepatah melayu ' malu bertanya sesat jalan' dan 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan '


9.30 malam waktu Malaysia = 10.30 malam waktu Tokyo
RM 37 = JPY  1000 ( Japanese Yen )


Hari Pertama : 20 Dis. ( Khamis )
LCCT, Sepang

Tepat jam 12.00 tengah hari, kami telah pun berada di LCCT kerana pesawat akan bergerak pada jam 2.40 petang. Makan dan solat di  situ sebelum kami terus memasuki balai berlepas.
Penerbangan mengambil masa 7 jam dan kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada pukul 10.30 malam waktu Tokyo. Cepat-cepat keluarkan peta yang saya sediakan dan mencari stesen monorail.


LCCT ,  Sepang
Kami  turun di Tennozu Isle station. Baru terasa angin dingin Tokyo kerana suhu pada waktu itu adalah 6 darjah celcius. Buka bagasi untuk mencari 'winter coat' kerana kami perlu meredah kedinginan malam menuju ke hotel.
Rasa macam dah pandai baca peta di tangan, kami berjalan mencari hotel Toyoko Inn Tokyo yang ditempah secara on line. Lima belas minit berjalan, hotel belum kelihatan.
Tenozu Isle Station
Terpaksalah bertanya orang yang sedang berjalan kaki. Betul lah - kami tersilap. Berpatah balik mengikut arah yang ditunjukkan . Alhamdulillah. Tak sampai sepuluh minit dari stesen monorail yang kami turun tadi.
Tiba di kaunter orang berbaris. Ramai pulak walau pun dah jauh malam. Di satu sudut, kelihatan seorang lelaki yang mabuk terbaring di atas sofa. Dengan handphone dan beg galas terletak di atas meja. Tiada yang peduli.Kami dimaklumkan yang hotel tersebut ada shuttle menuju ke Shinagawa Station setiap 15 minit. Mudah untuk bergeraik ke mana-mana. Hotel juga menyediakan pakaian tidur yang diambil di kaunter. Boleh ditukar setiap hari, katanya.
Pyjama yang disediakan oleh hotel
Hotel Toyoko Inn, Tokyo
Booking dua bilik , yang besar untuk kami berempat  sementara yang kecil khusus untuk 'pengantin baru'. Melihat tandas duduknya yang penuh dengan 'button' sudah cukup menggambarkan kecanggihan negara matahari terbit itu. Jangan cari tempat tarik atau tekan. Semuanya pakai button sahaja.
Tandas di dalam bilik hotel

Jam menunjukkan pukul 12.00 tengah malam bila kami baru dapat tarik selimut. Keletihan yang amat sangat menyebabkan mata terus terlelap sebaik kepala mencecah bantal.

Hari Kedua : 21 Dis ( Jumaat )
Selepas bersarapan di hotel, kami berjalan kaki ke Tennozu Isle Station . Naik monorail dan turun di Shinkiba Station. Kemudian tukar pula tren menuju ke Maihama Station, berjalan kaki ke Disneyland. Perjalanan hanya mengambil masa setengah jam sahaja . Dari jauh sudah kelihatan bangunan yang berdiri megah dan cantik . Sewaktu di kaunter  , petugas meminta paspot saya dan suami kerana dapat diskaun tiket katanya. Walau pun kurang fasih berbahasa Inggeris, mereka tetap ramah dan cuba membantu. Tiket orang dewasa adalah JPY 5300 atau RM 199 sementara saya dan suami hanya JPY 5000.
Ini adalah Dineyland kedua bagi kami ( yang pertama ialah Disneyland Hong Kong ). Sudah pasti kami mengharapkan keseronokan ketika melangkah masuk ke taman tema tersebut.
Disneyland. Tokyo
Di pintu masuk, petugas menyoal saya tentang bekalan yang di bawa. 'Muslim food' jawab saya ringkas, lalu dia membenarkan. Seperti biasa, kami buka dan mengkaji peta keseluruhan taman tema tersebut sebelum berpecah. Amai,Laila,Hafiz sementara saya, suami dan Hanis. Berjanji untuk bertemu di satu tempat pada jam 1.30 petang - untuk makan bekalan yang dibawa.Saya menuju ke 'road parade' kerana ada pelbagai watak yang akan membuat persembahan di sepanjang laluan.
Dengan costume yang berwarna-warni, mereka kelihatan sungguh menarik dan comel. Tiba-tiba,ada pulak satu watak yang menghampiri dan bersalaman dengan saya. Hanis pulak yang teruja. Suami saya...dia cool je...sambil merakam gambar. Cuaca sejuk menyebabkan kami senang melepak di situ.
Banyak filem 4D yang kami tonton. Beberapa roller coster saya naik bersama Hanis sahaja kerana suami tak berani.
Disneyland. Tokyo
Jam menunjukkan 1.30 petang waktu tokyo. Pergi ke tempat yang dijanji tetapi tak jumpa mereka ( Amar, laila dan hafiz) . Lama menunggu akhirnya kami meninggalkan tempat tersebut.

Terbahagi kepada 'adventureland, Westernland, Critter Country, Fantasyland, Toontown dan tomorrowland'. Kesemuanya menawarkan pelbagai jenis keseronokan untuk diterokai.

Disneyland, Tokyo
Hampir jam lima petang, kami ke tempat yang dijanji tadi. Alhamdulillah, mereka di situ. Rupa-rupanya mereka ke situ pada jam 1.30 waktu Malaysia atau 2.30 waktu Tokyo -terpaksa makan serunding sahaja kerana nasi impit ada di dalam beg saya. Itu lah pengajaran yang dapat kami kutip...kalau berada di negara orang, ikut sahajalah jam mereka. Supaya tidak jadi 'miscommunication' lagi...
Hari semakin gelap . Kami mengintai pula kedai-kedai menjual cenderahati. Mencari sedikit buah tangan untuk dibawa pulang.
Dwarf, di Disneyland, Tokyo
Tiba-tiba kami disapa seseorang. 'Holiday ke'. Saya menoleh. Orang Malaysia rupanya. Datang dari Melaka dan berada di Jepun selama dua minggu. Mereka membawa bersama sepuluh orang pelajar yang terpilih sebagai pertukaran belia antarabangsa .  Kebanyakannya pelajar sekolah menengah tetapi ada seorang pelajar berusia sepuluh tahun.
Disebabkan cuaca sejuk, berulangkali saya ke tandas. Pada dinding tandas, terdapat kerusi kecil berlipat. Untuk letakkan baby. Ada pula kertas surih untuk melapik mangkuk tandas sebelum digunakan. Paip air tak ada. Terpaksa bawa air dalam botol.
Pada jam 8.30 malam langit taman tema menjadi terang benderang dek percikan bunga api.Semua orang memandang ke atas tetapi kami perlahan-lahan melangkah kaki untuk pulang.

Hari Ketiga : 22  Dis ( Sabtu )
Baca peta sebelum naik tren
Sewaktu nak keluar  hotel, hujan turun agak lebat. Hotel sediakan payung. Ambil sahaja, anti pulangkan. Saya tanya juga kalau-kalau nak kena catat kat mana-mana. Katanya tak apa, main percaya sahaja.
Hari ini kami akan menaiki Hop On Hop Off bus yang dinamakan 'Sky Bus'-wajib bagi kami bila melancong. Bukan apa - murah dan senang. Sebelum itu, kenalah fahamkan 'route' nya dahulu dan tandakan mana-mana tempat yang kami akan turun.
Menuju ke sky bas dalam hujan renyai-renyai
Bas pula menyediakan baju hujan, daripada plastik nipis dan jarang. Bumbung kuning tersebut akan digulungkan jika hujan berhenti. Bertambah sejuklah kami semua. Yang menghairankan ialah setiap kali bas berhenti,  satu kotak diletakkan untuk memudahkan penumpang turun naik. Walau pun sebenarnya taklah susah sangat nak melangkah...Tak lama kemudian hujan berhenti, barulah rasa lega dan lapang. Bumbung digulung. Kami disapa pula sekumpulan pelancong dari India. Mereka datang dari New Delhi dan berkursus           (automotif) di Tokyo. Baru dapat peluang meninjau-ninjau kota Tokyo katanya. 
Dari jauh kelihatan Tokyo Skytree yang merupakan binaan kedua tertinggi di
Tokyo Skytree
dunia sejak dibuka kepada umum pada 22 May 2012 ( yang pertama ialah Burj Khalifa ). Kos pembinaannya adalah USD 806 juta dan  tahan gempa bumi. Ketinggiannya mencapai 634 m yang menempatkan restoran, pelantar peninjau dan juga menara pemancar. Tujuan utama pembinaannya adalah untuk menggantikan Tokyo Tower sebagai pusat pemancar bagi siaran radio dan televisyen. Sebelum ini pusat pemancar utama adalah Tokyo Tower yang berketinggian 333 m. Dengan pertambahan bilangan bangunan-bangunan tinggi di persekitarannya menyebabkan Tokyo Tower tidak lagi sesuai. Walau bagaimana pun kami tidak bercadang untuk turun.
Di dalam  Hop On Hop Off  Bus





Melalui beberapa buah restoran, ada yang menarik di situ. Saya dapati di luar restoran terdapat display makanan yang dijual. Jadi pengunjung boleh mengetahui apakah makanan yang ada. Kalau setakat gambar atau nama, mungkin susah nak  dikenalpasti. Memudahkan untuk membuat pesanan, tak perlu nak tanya macam-macam  pada staf restoran. Kami sampai di Akihabara, The Electric Town. Penduduk tempatan memanggilnya sebagai Akiba sahaja. Turun di situ memang mengujakan terutama bagi anak-anak remaja kami. Semua jenis barang elektronik ada , namakan sahaja. Bunyi bising dengan laungan para penjual yang berdiri di pintu masuk mempromosikan barangan mereka . 
Semuanya dengan tawaran yang hebat kerana perayaan Krismas semakin
Restoran Siddique, Akihabara
dekat. Sebahagian besar penjual tidak fasih berbahasa Inggeris. Jadi terpaksalah memilih kedai yang menyediakan penjual yang boleh berbahasa Inggeris. Suami berminat membeli electronic game yang harganya jauh lebih murah berbanding di Malaysia. Mujurlah mereka bagi tahu, kebanyakan alat dibuat untuk pasaran tempatan. Maknanya tak boleh digunakan bila balik ke Malaysia - patutlah murah. Dia juga pesan, ada alat elektronik yang dibuat untuk pasaran luar, tetapi harganya mungkin lebih sedikit. Jadi kena hati-hati bila membeli. 
Di atas Sky Bus
Akhirnya kami pun tak jadi beli. Apa pun mereka tidak pula menipu...itu yang bagusnya.Terlalu banyak kedai dan shopping mall di Akiba. Tiba-tiba ternampak kedai makan halal 'Siddique Restaurant'. Terus naik ke tingkat satu. Tingkat dua adalah kedai menjual barangan basah halal. Kepunyaan orang Pakistan, tetapi kami dilayan staf dari India yang berkulit cerah serta fasih berbahasa Inggeris. Sepinggan nasi briyani lauk ayam harganya JPY 600 atau RM 20. Memang sedap kerana  semalam tak jumpa nasi hanya makan nasi impit sahaja. Saya bawa juga beras dan periuk kecil tetapi tak boleh masak kerana elektrik kita tak sama. Just imagine, dari malam sampai pagi, nasi saya tak masak-masak, jadi kembang dan lembik sahaja.Terpaksalah masak nasi impit dan makan dengan lauk-lauk segera keluaran adabi. Itulah... pengalaman di negara orang. 
Sebelum meninggalkan restoran, sempat pula staf tu tanya kat anak saya dan isterinya - honey moon ke. Ya, jawab mereka ringkas. Dia bertanya sebab nampak inai di jari masih merah...saya pun tersenyum. Memanglah dia tahu sebab dia kan orang India !
saya & suami
amar & laila,  Tokyo Tower

Menyambung perjalanan dengan menaiki Sky Bus semula. Tempat yang dituju
Hanis di Tokyo Tower
adalah Tokyo Tower. Merupakan binaan kedua tertinggi di Jepun dengan ketinggian 333 m. Seakan-akan Eiffel Tower di Paris dan telah menerima pelancong berjumlah 150 juta sejak pembinaannya pada tahun 1958. Empat tingkat paling bawah menempatkan muzium, restoran dan kedai-kedai. Terdapat dua pelantar peninjau iaitu pada aras 150 m dan 250 m. Menara ini menempatkan antena untuk menerima siaran bagi media-media utama seperti NHK, TBS dan Fuji TV
Hafiz di Tokyo Tower
Pembinaannya menelan belanja USD 8.4 juta. Berada di atas pelantar peninjau , badan terasa bergoyang dan kepala terasa  pening. 'Tak pernah jadi apa-apa kan' soal saya. Untuk menyedapkan rasa gusar dihati. Ada pula beberapa keping lantai yang lutsinar, membolehkan kita memandang terus ke bawah. Memang gayat ! Pelancong pula sangat ramai, walau pun dikenakan bayaran untuk berada di situ. Selepas melihat keseluruhan bandar Tokyo yang sibuk dan padat dari atas menara itu, kami turun ke bawah. Anak dan menantu saya berminat pula untuk dilukis wajah mereka berdua dengan bayaran JPY 1000 atau RM 34. Tak lama cuma sepuluh minit , menggunakan pensel. Tiba di hentian Sky Bus, masih ada bas terakhir. Mujur tak terlepas. Kalau tidak, terpaksa ambil teksilah jawabnya. Pasti mahal.

Hari Keempat : 23 Dis ( Ahad )
Hari ini kami bercadang untuk ke Ueno Station dan Akihabara. Selepas
bersarapan, kami bersiar-siar sekitar kawasan hotel. Singgah di kedai 7 eleven untuk beli roti dan telor. Simpan di bilik dan menaiki shuttle hotel ke Shinagawa Station. Dari situ perlu naik tren ke Akihabara. Selepas beli tiket, terus menuju stesen. Bila tren datang, kami terus naik. Semasa di dalam tren, baru perasan yang kami dah silap naik tren. Apa lagi. The next stop, terus turun. Naik pulak tren yang berikutnya. Bila dah sampai Akihagara, tiket tak boleh dibaca. Terpaksa pergi ke 'Adjustmen mechine' untuk top up balik harga tiket. Baru boleh keluar.
Seperti biasa, bandar tersebut sentiasa dipenuhi manusia. Entah apa yang mereka cari, fikir saya.Memasuki beberapa kedai cenderahati kerana ingin mencari ole-ole untuk dibawa pulang. Dari satu kedai ke satu kedai. Menjelang tengah hari, perut terasa lapar. Semua teringatkan Restoran Siddique. Baru 15 minit melangkah keluar dari sebuah kedai kami disapa. Dua orang pemuda melayu sedang tercungap-cungap menghampiri suami lalu bersalaman. Kenal ke, saya bertanya kepada suami kehairanan.
'Tadi budak-budak ni pandang masa dalam kedai,' balas suami. Tetapi tak sempat berbual.
Mereka memperkenalkan diri. Faiz yang peramah lebih banyak becerita.'Datang sendiri ke ?' tanya Faiz.'Ya'. Jawab kami. ' Ada anak belajar di sini ke atau pakcik boleh cakap Jepun ' balasnya lagi. Suami saya tersenyum. 'Kami sebenarnya dah biasa ke luar negara tanpa package'. Asal boleh berbahasa Inggeris, sudah cukup untuk membawa kita ke mana-mana, terang suami. Faiz sebenarnya pelajar universiti di Kyoto dan sedang bercuti di Tokyo. Dia juga bagi tahu, tak susah nak cari kedai makan halal sekarang. Kat bandar-bandar besar pasti ada kedai orang pakistan, Turki atau Arab. Kami terus sahaja ke tempat yang dituju. Staf tu pun masih ingat kami....semasa sedang asyik makan, Faiz pulak tiba. Dia juga selalu ke situ katanya.
Bila perut dah kenyang, hati pun senang. Kami bercadang untuk naik tren
Ueno Station
menuju ke Ueno Station yang m
erupakan stesen keretapi utama yang menyambungkan ke daerah-daerah lain. Di situ juga terdapat stesen bawah tanah untuk laluan keretapi laju atau 'shinkansen'. Sampai Ueno Station, orang sangat ramai.Di bawah laluan keretapi biasa pula dibina kedai-kedai kecil yang menjual pelbagai barang. Macam jalan TAR di Kuala Lumpur. Ada tempat menjual barangan basah seperti ikan, udang galah (saiz besar), udang, ketam berbulu, rumpai laut, sotong kurita dan macam-macam lagi. sebut sahaja.
Nanas potong yang sedap dan manis
Semua ada. Para penjual pula, berdiri di atas kotak kayu -menjerit mempromosikan barangan mereka. Tak perlu pakai mikrofon pun.Tetapi maaf ,saya tak faham. Semuanya bahasa Jepun. Barangan kulit pun ada - daripada kasut, beg pakaian, beg tangan dan jaket . Terserempak pulak dengan keluarga orang Malaysia. Mereka datang dari Kelantan kerana ada anak belajar di situ. Sama seperti Faiz, mereka juga terkejut kerana kami datang sendiri. Kalau membeli t shirt, harus ditawar sehingga mendapat harga yang berpatutan. Semasa mula-mula berada di situ, saya selalu terkejut apabila mendengar bunyi tren yang lalu. Bising dan menggegarkan.Cuaca yang sejuk membuatkan kami leka berada di situ. Sedar-sedar hari dah semakin gelap. Saya ternampak gerai-gerai menjual kebab yang diusahakan oleh orang Turki. Segera kami menghampiri.

Sedang menikmati kebab di Ueno Station



Kebab yang berharga JPY 300 itu memang sedap dan mengenyangkan. Selesai
laluan bawah tanah di Ueno Station
makan, kami menuju ke stesen untuk naik tren pulang ke hotel kerana esoknya kami perlu bangun awal. Angin malam bertambah dingin lalu kami mengambil keputusan untuk menggunakan laluan bawah tanah. Laluan bawah tanah itu dipenuhi dengan bermacam-macam kedai dan restoran. Berada di kawasan tersebut membuatkan kami lupa bahawa kami berada di bawah tanah.


Gerai-gerai, berhampiran Ueno Station
Ueno Station

Hari Kelima : 24 Dis. ( Isnin )
Di dalam bullet train

Inilah agenda yang ditunggu-tunggu iaitu bermain ski di Gala Yuzawa. Maklum pengalaman pertama seumur hidup. Pada sebelah malamnya saya telah sediakan bekalan berupa telur rebus, maggi goreng dan nasi impit untuk dimakan bersama serunding. Saya juga telah membeli roti di kedai 7 eleven yang berhampiran.
Banyak homework yang telah saya lakukan sebelum ke mari. Gala Yuzawa terletak 200km ke utara Tokyo dan dibuka untuk bermain ski seawal 22 Dis sehingga 5 May 2012 bergantung kepada jumlah salji yang turun.
Bersama peralatan ski yang disewa
Kami  menaiki bullet train iaitu 'Joetsu Shinkansen' yang mengambil masa 77 minit sahaja . Harga  tiket sehala untuk seorang ialah JPY 6500 atau RM240. Harga tiket kena tambah kalau perlu 'seat number'. Petugas di kaunter cadangkan kami tak perlu beli seat number memandangkan kami naik dari stesen pertama. Dah pasti kerusi masih kosong.
Keretapi tiba dan setiap kerusi ada nombor. Nasib baik ada petugas yang lalu. Dia menunjukkan kami dua koc yang dikhaskan untuk tiket tanpa nombor. Memang kosong. Penumpang pun tak ramai. Mungkin awal lagi. Tempat duduk yang cantik, selesa dan bersih. Ruang kaki untuk berlunjur pun luas. 
Keretapi berhenti di beberapa stesen iaitu Tsuchitaru,Yuzawa Nakazato,
Hafiz dan amar terus pakai kasut untuk ski
Echigo Yuzawa sebelum kami turun di Gala Yuzawa. Kebanyakan penumpang yang turun di situ membawa bersama peralatan ski. 'Keretapi laju' terus meluncur ke destinasi seterusnya. Kami sangat teruja dan rasa tak sabar kerana kelihatan salji sedang turun dengan lebatnya.
Untuk memasuki kawasan bermain ski, pengunjung kena beli tiket  mengikut pilihan - separuh hari, satu hari atau tiket tahunan. Kami hanya beli tiket separuh hari dengan harga JPY 2720 seorang dan tiket gondola sebanyak JPY 1200 seorang.                                                         Kami
Gala Yuzawa
juga menyewa dua set peralatan ski sahaja. Cukuplah, boleh bergilir-gilir. Semua orang tak pernah main ski, sekadar untuk merasai pengalamannya sahaja.
Kasutnya memang berat dan kena pakai elok-elok supaya kemas. Kami biar Hafiz dan Amar yang mulakan kerana mereka lebih berani. Dengan kasut yang berat itulah, kena naik gondola pulak. Dalam setengah jam kemudian, kami pun dah tiba di atas. Pergi dulu simpan barang di dalam locker dengan bayaran JPY 100 dan kena ambil dua baru cukup. Di situ juga ada restoran. Tak sabar rasanya nak sentuh salji. Seluruh tempat kelihatan sangat bersih dan putih. Memang mengasyikkan...Terus sahaja ke
kawasan lapang yang ada ramai pengunjung sedang bermain ski. Ada yang
amar n isteri, laila
dah pandai. Ada juga yang terkial-kial, mencuba. Setiap orang daripada kami mencuba kecuali suami. Tak berani katanya ketika mencuba untuk menyarungkan kasut ski. Yang lain - bolehlah bergerak walau pun tak laju. Tetapi tak perlu rasa malu kerana semua orang sibuk dengan urusan masing-masing.
Tiba-tiba saya rasa seseorang mengibas-ngibas kolar baju saya sambil tersenyum dan bercakap dalam bahasa jepun. Membuang semua salji yang ada. Saya tak faham namun membalas senyuman lelaki tersebut. Dia takut awak kesejukan, kata suami saya di sebelah. Sambil berisyarat, saya katakan pada dia yang saya suka salji jatuh diatas badan kerana di negara saya tiada salji....mungkin dia juga tak faham, lalu melambaikan tangan dan pergi. Walau kedinginan, kami terus juga berada di situ sambil merasai hujan salji. Indahnya ciptaan Allah, fikir  saya. Pengunjung yang dah mahir,
Penulis bersama anak, Hafiz di Gala Yuzawa
berulang alik menaiki 'chair lift' menuju ke atas bukit yang jaraknya 0.8 km - kemudian turun dengan bermacam cara dan gaya. Ada pula kawasan di mana sekumpulan kanak-kanak sedang belajar bermain ski. Ada tenaga pengajar dengan bayaran tertentu.
Apabila terasa sangat sejuk saya menemani suami ke restoran. Ingat nak
Penulis bersama anak, Hanis di Gala Yuzawa
minum kopi panas. Penjualan menggunakan kupon. Mula-mula beli kupon di mesin yang disediakan. Ada 30 jenis makanan dan minuman yang dijual. Semuanya bahasa Jepun, terpaksa minta tolong seseorang. Harga secawan kecil kopi ialah JPY 300. Tunjukkan kupon di kaunter dan kopi pun diberikan. Bekal yang ada masih tersimpan. Lagi pun anak saya amar nak cuba main ski dari puncak bukit. Dia menaiki chair lift. Lama kami menunggu, tak nampak kelibat amar. Risau pun ada. Sementara menunggu amar, kami pun
Penulis bersama anak, Hanis di Gala Yuzawa
menyambung bermain salji sambil berbual-bual bertemankan hujan salji yang turun tanpa henti. Tiga puluh minit berlalu ,baru nampak kelibat Amar apabila Laila menghalakan kameranya di atas bukit. Semakin lama, semakin jelas. Tetapi dia jalan kaki sahaja. Bersama-sama dia ada sepasang suami isteri - barangkali  warga Jepun , kami meneka. Barulah terasa lega dan kami menunggu sahaja sehingga Amar tiba . Banyak persoalan yang hendak diajukan.
Rupa-rupanya kalau tak pandai main ski, memang bahaya. Bukit curam menjadikan pergerakan sangat laju hingga
Amar dan isteri, Laila di Gala Yuzawa
tak terkawal. Akhirnya kerana takut, dia terpaksa menjatuhkan badan. Pasangan Jepun tersebut memahami lalu tolong membawakan peralatan ski Amar. Mereka bertiga pun berjalan kaki sambil menuruni bukit tersebut. Sementara dua anak mereka meneruskan aktiviti ski  kerana dah biasa. Begitulah anak saya Amar - selalu ingin mencuba sesuatu yang baharu walau pun berbahaya. 'Tak nak main dah' itu ungkapan Amar berkali-kali sebaik mendapatkan kami. Saya hanya tersenyum...
Sebenarnya perut pun dah terasa lapar. Kami semua memasuki restoran mencari meja kosong. Semua bekalan saya masak di bilik. Ada nasi impit dengan serunding, roti, maggi goreng dan telur rebus. Cuma beli kopi panas sahaja sebab dah kedinginan yang amat sangat.



Restoran di Gala Yuzawa
Restoran di Gala Yuzawa

Selepas makan, anak-anak menyambung lagi bermain salji. Maklumlah bukan
Belakang hotel Toyoko Inn, Tokyo
senang nak datang . Tambahan pula salji sedang turun mencurah-curah !
Tepat jam 2.00 petang, kami menaiki gondola untuk turun ke bawah. Tidak lama menunggu, bullet train ( Joetsu Shinkansen ) pun tiba. Kami pulang ke Tokyo dengan seribu kenangan dan cerita untuk diabadikan. Di dalam tren semua keletihan. Anak-anak remaja saya menghabiskan bekalan yang masih ada. Kami ambil tren selepas itu untuk ke Shinagawa Station dan menunggu  'shuttle bus' hotel . Saya dan suami terus sahaja pulang ke bilik tetapi anak dan menantu sempat pulak bergambar di persekitaran hotel.

Hari Keenam : 25 Dis ( Selasa )
Beli jam di Stesen Ueno
Inilah hari terakhir kami di Tokyo. Memandangkan flight pukul 11 45 malam, kami ada banyak masa untuk berehat. Selepas bersarapan, anak-anak menyambung tidur di bilik. Sampai masa untuk check out, kami tinggalkan bagasi di lobi sebab nak sambung shopping di Ueno Station. Naik shuttle bus hotel, kami menuju ke Shinagawa Station - ambil tren terus ke Ueno Station. Suami kata dia nak hadiahkan jam buat kami semua - Alhamdullillah...Puas jugalah berjalan dari satu kedai ke satu kedai. Akhirnya jumpa dan harga setiap jam adalah JPY 10000. Memang cantik dan katanya yang terbaru.  Jam saya
Jam-jam yang dihadiahkan suami
menggunakan tenaga solar. Begitu juga jam suami. Setelah puas tawar menawar, kami berjaya mendapatkan seutas jam tangan setiap orang. Macam biasa, sebelum pulang kami makan kebab lagi. Ada juga yang dijual dengan nasi. Memang sedaplah!  Kami juga mencari-cari beberapa helai kemeja T untuk dijadikan kenangan. Hari lewat petang bila kami terpaksa pulang semula ke hotel. Mengambil semua bagasi dan terus menuju ke Airport. 
Di lapangan terbang, kami menyimpan 'winter coat' di dalam beg besar kerana tidak memerlukannya lagi.... Pesawat bergerak pada pukul 11.45 malam dan kami tiba di LCCT keesokan harinya pada jam 6.30 pagi. Pastinya kenangan indah bercuti di Tokyo akan menjadi kenangan selagi hayat di kandung badan....




Berlatarbelakangkan Bullet Train


Gala Yuzawa

 

 


Shopping di Ueno Station

 






Lain-lain gambar

Tokyo pada waktu malam dari
pelantar peninjau Tokyo Tower

Shopping mall yang besar
di Akihabara

Menuju ke Sky bus
dalam hujan renyai-renyai























Bersama watak-watak popular di Disneyland


  


The seven dwarfs






Persembahan pentas
Menyelusuri sungai buatan di Disneyland








    Perarakan di Road Parade


 

 

 




































No comments:

Post a comment