Sunday 4 June 2023

GERMANY, LUXEMBURG, STRABOURG, SWITZERLAND


9 hingga 20 Julai 2018
transit....abu dhabi

Pada bulan Feb 2018,  Etihad airways buat promosi. Untuk dua tiket, turun di Frankfurt (Germany) dan pulang melalui Zurich (Switzerland) jumlah yang dibayar adalah RM 5015. Pada saya, sangat berbaloi. Percutian kali ini, hanya kami berdua. Terdapat 4 kota utama  yang kami akan jelajahi iaitu  Frankfurt (German), Luxembourg city (Luxembourg), Strasbourg (France) dan Zurich (Switzerland) yang akan mengambil masa selama 10 hari 9 malam.
Haupbahnhof
Seperti biasa, segalanya berjalan lancar. Tepat jam 7.35 petang, pesawat berlepas. Kami mendarat di Abu Dhabi pada jam 10.00 malam sebelum meneruskan penerbangan semula sekitar jam 2.00 pagi.


10 Julai , Selasa - Hari Pertama
Kami selamat tiba di Frankfurt international airport sekitar jam 6.30 pagi. Ada beberapa cara untuk ke Colour Hotel yang ditempah   online    (rm 409.88/ 2 malam). Bas, tren laju (ICE), teksi dan mrt. Sudah pasti kami memilih mrt yang hanya 4.90 euro seorang berbanding lain-lain transpot. Tidak sampai 30 minit, kami tiba di Main Train Station Frankfurt (Haupbahnhof).
Seorang lelaki inggeris memberi salam. Bertanyakan arah tujuan kami. 'Colour hotel' balas suami. Dia orang tempatan yang ingin naik tren ke Berlin. Pesan dia lagi, jangan bagi duit pada sesiapa kalau ada yang meminta. Tapi dia kata tak tahu Colour Hotel.
Tak apalah, kata kami dan terus berjalan berpandukan google map ditangan. Sepuluh minit kemudian laki-laki tadi datang semula sambil menunjukkan arah ke hotel. Dia tanya orang kat situ, katanya. Terharu betul saya. Memang dekat sangat, sepuluh minit jalan kaki. Disebabkan jam baru 9.30 pagi tak boleh nak check in. Bilik belum tersedia. Kami diminta datang semula sekitar jam 11 pagi.Kami tinggalkan bagasi di hotel dan bawa beg galas sahaja menuju ke Sungai Main. Suhu ketika itu sangat
menyamankan , sekitar 19 darjah celcius kerana musim panas.  Banyakorang tempatan yang berjogging di sepanjang pinggiran sungai Main. Panjangnya 500 km melintasi kota Frankfurt dan Wurzburg. Airnya sangat jerneh. Terdapat juga beberapa orang yang sedang berkayak dan beberapa buah kapal pengangkut yang sangat besar memudiki sungai tersebut. Kami mencari bangku untuk melepas lelah sambil mengeluarkan makanan yang masih berbaki (dari pesawat).

Memandang ke langit, tiada terik matahari yang memancar. Walau pun hampir setengah jam berjalan kaki
dari hotel, tiada peluh yang mengalir...Berjalan-jalan sambil menghirup udara nyaman di bumi German yang pertama kaki kami jejaki. Alhamdulilah.....banyak pokok 'maple' di situ menghiasi pinggiran sungai Main. Entah berapalah usia pokok-pokok tersebut, mungkin menjangkau puluhan tahun, fikir saya... memandangkan batang-batang pokoknya yang sangat besar.
Kami berjalan pulang dan tiba di hotel tepat jam 11.30 pagi. Mujur bilik dah
lambang euro
ada. Dapatlah kami berehat, membersihkan diri dan bersolat. Pada musim panas ini waktu siang adalah sangat panjang. Waktu subuh adalah sekitar jam 3 pagi sementara Isya' pula jam 11 malam. 

Cuaca sangat elok. Kami tidak mahu menghabiskan masa di bilik sahaja. Jam menunjukkan 4 petang dan kami menuju ke daerah Pusat Perniagaan Frankfurt atau 'Bankenviertel'. Dari jauh kelihatan lambang 'euro' berlatar belakangkan  bangunan 'Eurotower' yang berdiri megah. Disiapkan sekitar tahun 1977,
dengan 40 tingkat kesemuanya merupakan 'European Central Bank' sehingga 2015. Kedai runcit dan  restoran halal kepunyaan orang Pakistan atau orang Turki banyak di sini. Kami singgah untuk makan kebab....7 euro sebiji. Kongsi.


11 Julai , Rabu - Hari Kedua
Pukul 8 pagi, kami ke stesen keretapi untuk pastikan tiket keretapi ke Luxembourg pada esok harinya. Takut tersilap tren sebenarnya sebab ada
The Romer
banyak platform di situ. Setelah semuanya ok, kami mencari pula tiket menaiki 'bas hop on hop off'. Harga untuk seorang hanyalah 15 euro sahaja. Sebelum menaiki bas, sempat juga kami beli dua keping 'lempeng sayur' dengan harga 1 euro sekeping. Sedap. Macam roti canai yang penuh sayur...Kami menaiki bas pada jam 9.15 pagi sehingga 12.30 tengah hari sahaja. Hentiannya tidak begitu banyak tetapi cukup untuk menjelajahi kota Frankfurt kerana kami tidak punya banyak masa di sini. 

Turun di 'The Romer" di mana banyak bangunan bersejarah di situ. Katanya seawal kurun ke 14 dan 15 lagi. Senibinanya memang unik dan berlainan sekali berbanding yang ada di tempat kita.  Di suatu kawasan lapang, terdapat beberapa orang yang berdiri tegak dengan pelbagai kostum -apa lagi kalau bukan peminta sedekah zaman moden. Berhampiran kawasan lapang, terdapat seseorang sedang membuat pertunjukan. Menggunakan peralatan
biasa iaitu tin cat, kuali, periuk, tong dan macam-macam. Bunyian-bunyian tersebut menarik perhatian orang ramai untuk menghampirinya. Berakhir dengan tadahan tong untuk sedikit sumbangan. Saya pun bagilah setakat yang termampu kerana terhibur dengan semangat yang dia tunjukkan.
Tidak jauh dari tempat persembahan itu ada seorang pemuda kulit hitam menjaul kebab. Dengan harga kebab hanya 1.50 euro dan tanda halal, banyak pembeli menghampiri. Tanpa gerai atau kedai, dia menggantung
semua bahan jualan di badannya sahaja. Siap berpayung lagi....Kreatif, fikir saya. Berhampiran kawasan tersebut, ada sebuah shopping mall yang agak besar. Tak silap namanya Skyline Plaza. Jalan-jalan cuci mata sahaja... window shopping, kata orang sekarang.












Kami pulang ke hotel sebelum keluar semula sekitar jam 5 petang. Hari pun masih cerah lagi. Singgah sebentar di restoran halal untuk membeli sedikit makanan. Di kaki lima yang agak tersosorok terdapat gelandangan sedang tidur. Banyak juga kalau hendak dikira. Kalau musim dingin, pasti mereka sangat kesejukan.                                                                        12 Julai , Khamis - Hari Ketiga
Pukul 8.00 pagi, kami dah daftar keluar terus menuju ke Main Train station. Tren ke Luxembourg dijangka berlepas pada jam 8.56 pagi dan tiba pada jam 12.40 tengah hari. Staf di kaunter maklumkan yang kami perlu tunggu di platform 17.  Orang semakin ramai. Stesen tersebut merupakan yang tersibuk di Frankfurt. Kami duduk di kerusi sambil mendengar pengumuman dalam bahasa German. Terpaksa bertanya pada seseorang,
rupanya kena ke platform 18 pulak. Bergegaslah kami dan beberapa orang lagi, berlari-lari anak.  Duduk lagi dan menunggu. Tiba-tiba datang seorang staf yang menyuruh kami pergi menaiki tren yang paling belakang, berkejar-kejar lagi. Jam pun dah pukul 9 pagi, takut jugak kalau-kalau terlepas keretapi. Sebaik semua penumpang dah naik, wisel pun berbunyi dan tren mula bergerak. Kami tersenyum sesama sendiri. Penat dan tercungap-cungap. Lawak pun ada....hahaha
Di dalam tren, seorang laki-laki cuba menerangkan macam mana kami boleh sampai ke Luxembourg. Susah untuk memahami tutur katanya...macam orang baru pulih dari strok. Tetapi dia baik. Bersungguh-sungguh dia cuba buat kami faham. Saya anggukkan sahaja
sekadar cuba mengambil hati. Sepanjang jalan, tren melalui banyak ladang jagung, ladang anggur serta  ternakan lembu. Mungkin menjangkau ratusan ekar keluasan setiap ladang, fikir saya. Jagung yang di tanam adalah untuk makanan lembu sebenarnya kerana pokok-pokoknya sangat besar dan gemuk-gemuk. Buah jagungnya tak pun kelihatan...Tidak lama kemudian, staf datang. Minta tiket. Dia terangkan... kami kena turun di Coblen HB, tukar tren. Naik tren lagi dan  turun di sebuah stesen kecil bernama Cattaof untuk terus ke Luxembourg pula. Cattaof seperti sebuah stesen yang ditinggalkan dan hanya disinggahi pada masa-masa tertentu sahaja. Akhirnya kami selamat tiba di Luxembourg sekitar jam 1.35 petang. Dari tren station kami kena berjalan kaki
mencari hentian bas. Dari google map yang  sediakan, kena cari bas bernombor 29 untuk sampai ke Hotel Ibis Budget yang ditempah online. Mesin tiket ada tetapi tidak menerima syiling. Kami tak berani nak guna master kad. Apabila bas 29 tiba pada jam 2.35 kami terus lompat naik. Maklumkan pada pemandu yang kami tak sempat beli tiket...'Never mind. Please have a seat first...' katanya dengan senyum. Jadi, suami saya bercadang untuk
membayar tiket sebelum turun nanti. Sempat pula berkenalan dengan seorang laki-laki keturunan Morocco yang dah lama menetap di situ. Suami saya punyalah puji Morocco dan bagi tahu dia yang kami akan ke sana pada tahun 2019. Tapi sayang...dia tidak tahu Malaysia. Sedeh pulak...Setengah jam berlalu dan dia
air lemon


mengingatkan kami bahawa hotel tersebut berada di sebelah kiri jalan. Sebelum turun, suami saya dapatkan pemandu bas bertanyakan tentang tambang kami. ' Tak perlu' katanya ringkas. Kami ucapkan terima kasih banyak-banyak. Tak sangka dapat naik bas free di Luxembourg....
Hotel Ibis Budget (rm 255/ 1 malam) sebenarnya sangat dekat dengan lapangan terbang Luxembourg. Di lobi hotel, ada minuman ringkas menyambut para tetamu iaitu air lemon. Cukup untuk menyegarkan tekak. Kami boleh dapatkan bas di airport untuk        ke
bandar. Sampai di bilik, kami membersihkan diri dan berehat sebentar sebelum keluar semula. Sekitar jam 4 petang, kami berjalan kaki ke airport. Banyak bas di situ. Kami ke mesin untuk membeli tiket. Ada 2 jenis tiket iaitu 2 euro untuk 2 jam atau 4 euro untuk sehari tanpa mengira destinasi. Kali ini berjaya dan kami terus ke bandar Luxembourg menaiki bas. Sebenarnya tiada yang menarik di bandar ini. Kami sekadar berjalan-jalan menghirup udara segar di bumi asing ini. Sekitar jam 7 petang, kami pun mencari bas dan pulang semula ke hotel. Bas-bas di sini semuanya mempunyai dua koc. Sangat selesa dan luas tetapi penumpang tidak banyak.


sunyi...Jalan ke hotel Cap Europe
13 Julai , Jumaat - Hari Keempat
Selepas solat subuh sekitar 3.30 pagi, kami tidur semula. Nak rehat puas-puas kerana semalam merupakan hari yang sangat memenatkan. Pukul 11.30 pagi kami ke airport untuk manaiki bas ke 'Luxembourg parking lot'. Kami akan ke Strasbourg pada jam 2 petang dengan menaiki bas eurolines yang tiketnya telah dibeli online. Sampai di situ, kami dapati banyak bas yang parkir tetapi tiada euroline. Bas tersebut mungkin datang dari tempat lain, fikir saya. Tidak lama menunggu kami disapa seorang remaja laki-laki yang ingin ke Amsterdam dan Brussels.
stesen Centre de Contede yang sunyi
Dia berasal dari Peranchis dan kali pertama mengembara secara solo. Telah dua minggu meninggalkan rumah dan berbaki dua minggu lagi. Kadang-kadang saya terfikir bagaimanalah agaknya 'solo traveller' ini menghabiskan masa mereka.... 

Akhirnya bas yang ditunggu tiba agak lewat, sekitar 2.45 petang. Kami duduk di tingkat atas bas dua tingkat itu. Dihadapan kami adalah dua beradik laki-laki yang berasal dari Kuwait tetapi telah lama menetap di Peranchis. Di kerusi
belajar beli tiket tren
sebelah pula mungkin kakak mereka bersama seorang lagi adik laki-laki. Ibu mereka duduk sendiri dengan kerusi penuh beg. Saya asyik  memerhati gelagat mereka...ketawa, bergaduh dan sesekali mendapatkan siibu untuk mengadu. Tiba-tiba saya melihat siibu menampar salah seorang. Terus dua-dua diam. Entah apalah yang mereka gaduhkan...teringat pula perangai anak-anak saya waktu mereka kanak-kanak. Begitulah...Mujurlah mereka semua turun tidak lama selepas itu. Barulah saya rasa tenteram.

Kami menikmati keindahan pemandangan sepanjang perjalanan. Dengan pokok-pokoknya yang menghijau serta  bangunan-bangunan yang berbeza dari tempat sendiri... segalanya menarik perhatian. Sesekali, saya merakam gambar dari atas bas. Jam 8.30 petang kami tiba. Hari masih cerah. 9.30 malam baru
Petite France
masuk magrib. Kami ke stesen tren yang berhampiran. Ada mesin tiket di situ. Kami cuba membeli tiket tetapi gagal. Tak apalah. Naik dahulu sebab tren pun dah samapi. Penumpang tak ramai. Kami turun di Centre de Contede. Keadaan sangat sunyi. Dengan google map di tangan, kami berjalan menuju arah yang ditunjukkan. Hotel Cap Europe (rm 282 untuk 2 malam). Nak bertanya, yang kelihatan hanya orang-orang yahudi. Jalan lagi sehingga bertemu seorang pemuda yang tahu hotel tersebut. Sebuah apartment yang agak lama dan 

merupakan kawasan petempatan orang yahudi. Bilik yang ringkas tetapi lengkap dengan peralatan dapur memudahkan saya untuk menyediakan makanan. Stesen tren paling hampir adalah lebih burang 15 minit jalan kaki. Keadaan agak sunyi tetapi pengunjung tak putus-putus datang menginap di hotel tersebut - Kebetulan bilik kami yang terletak ditingkat dua adalah menghadap lobi hotel.

14 Julai , Sabtu - Hari Kelima
Kami bersarapan di bilik dengan makanan yang dibawa. Pukul 9 pagi kami berjalan kaki ke stesen tren untuk ke Home De Fer. Destinasi kami adalah 'Petite France' atau 'Peranchis Kecil di Strasbourg'. Saya baca banyak melalui sesawang tentang kota tua yang kecil ini. Bangunan-bangunan lamanya cantik dan unik
diperbuat daripada kayu. Masih kekal sehingga kini. Petempatan daerah kecil ini ujud sejak tahun 1572 oleh golongan nelayan. Mulai tahun 1949, bangunan-bangunan di sini ditukar kepada restoran serta hotel untuk menarik kedatangan pelancong. Penambahbaikan dilakukan tetapi masih mengekalkan senibina asal.
Saat tiba di Petite France, pelancong semakin banyak. Selain dari bangunan, pokok-pokok bunga yang berwarna warni juga menghiasi kebanyakan bangunan. Terdapat juga boat yang membawa pelancong memudiki sungainya yang jerneh dan membiru. Benarlah seperti yang dikatakan....saya seolah ingin merakam setiap apa yang dilihat. Segalanya indah. Segalanya menarik.




Setelah puas berada di daerah yang indah itu, kami menaiki tren untuk ke Grande Mosque. Semasa sedang berjalan ke masjid, kami singgah di restoran untuk makan kebab. Kemudian ke sebuah kedai runcit orang Morocco untuk membeli sedikit makanan. 






Kami solat di Masjid yang ketika itu hanya ada dua orang. Imam dan tok siak, barangkali (kerana sedang membersihkan karpet masjid). Menurut pak imam tersebut, Grande mosque ini diuruskan sepenuhnya oleh orang-orang Morocco. Katanya ada satu lagi masjid tidak jauh dari situ yang diuruskan oleh orang Turki.
Seterusnya kami menaiki tren semula untuk ke kota Strasbourg tadi. Kami turun di suatu kawasan yang lapang kerana kelihatan banyak orang di situ. Peniaga baru memulakan perniagaan...macam pasar malam di negara kita. Ada yang menjual barang antik, pakaian, pasu-pasu, jam tangan dan macam-macam lagi.





air minuman
 

Sebelum meninggalkan kawasan tersebut, kami melalui Strasbourg Cathedral yang terkenal. Gereja tua dan besar itu menarik pengunjung beragama kristian untuk memasukinya. Kami berjalan lagi. Naik tren lagi. Destinasi kali ini adalah 'European Parliment' yang baru disiapkan pada Disember 1999. Bangunan yang mempunyai 20 tingkat dengan 3 tingkat berada di bawah tanah kelihatan tersergam gagah. Pengunjung dibenarkan melihat persekitarannya untuk merakam gambar.
Kota Strasbourg merupakan kerusi rasmi parlimen Eropah. Institusi ini terikat secara sah untuk bertemu dengan 12 sesi setahun. Satu sesi mengambil masa selama 4 hari. Kerja-kerja lain pula akan berlaku di Brussels dan Luxembourg City

Europian Parliment
seni katanya....
Scan tiket sebelum naik tren di Strasbourg
Zurich....ambil kunci bilik di sini
15 Julai , Ahad - Hari Keenam
Hari terakhir kami di Strasbourg. Kalau ditanya apa yang anehnya tempat orang ini, jawab saya adalah pengangkutan awamnya. Tiket tren hanya dibeli di mesin, tiada kaunter. Boleh guna syiling atau kad. Sebelum naik tren, scan dahulu tiket. Juga di mesin. Selama 3 hari di Strasbourg, kami tidak pernah jumpa 'ticket checker'. Tetapi orang masih tetap membeli tiket. 
Kami daftar keluar tepat jam 8 pagi. Naik tren untuk ke Elsau. Di situ ada satu kawasan lapang di mana banyak bas ekspress mengambil penumpang masing-masing. Kembara kami diteruskan lagi dan bandar terakhir ini adalah Zurich, Switzerland. Sewaktu sedang menunggu, saya melihat sekumpulan orang kulit hitam datang dengan bagasi-bagasi besar. Katanya ingin ke
macam sarang burung
Amsterdam. Mungkin mereka adalah keluarga. Tidak lama kemudian, salah seorang membacakan doa perjalanan sambil yang lainnya hanya mengaminkan sahaja. 
Bas 'Flix' yang membawa kami bertolak tepat jam 10 pagi. Sewaktu tiba di sempadan untuk memasuki Switzerland, seorang pegawai imigresin memasuki bas. Setiap orang dikehendaki menunjukkan paspot masing-masing. Sepanjang jalan, banyak ladang anggur, jagung, lembu dan biri-biri menghiasi pemandangan. Luasnya adalah sejauh mata memandang. 
Tiba di Zurich sekitar jam 2 petang. Kami ke stesen tren yang paling besar dan utama di Zurich atau di panggil 'Zurich Hauptbahnhof (Zurich HB)'. Juga di panggil 'Zurich Main station' atau 'Zurich Central Station'. Mata saya
terpandang sesuatu yang besar dan cantik. Bila di perhatikan dari dekat, rupanya di dalamnya adalah tempat orang berehat atau melepak. Di sediakan banyak bantal supaya boleh merebahkan badan. Ada yang baring, ada yang membaca dan ada yang berbual-bual sesama sendiri. Yang tak selesanya adalah kerana bercampur lelaki perempuan. Jadi, kami hanya memerhati sahaja gelagat pengunjung yang ada. Percuma kata staf yang jaga di pintu masuk.Tren di sini ada yang menuju ke German, Italy, Austria dan
Apartment Swiss Star
France. Selain itu ada juga tren yang membawa penumpang-penumpang domestik. Stesen ini juga adalah yang ke 5 paling sibuk di Eropah kerana pernah mengendalikan 153.6 juta penumpang pada tahun 2016. Terdapat 4 tingkat utama yang semuanya bawah tanah menempatkan ratusan kedai serta restoran. Kami singgah di satu restoran 'Cakefriends' untuk makan nasi lemak yang saya sediakan di bilik hotel. Hanya beli 2 cawan kopi panas dengan harga 4 euro secawan.
Tram yang membawa kami setiap hari
Di Zurich ini mata wang utama adalah Swiss Franc, kami tukar euro yang ada untuk memudahkan belanja. Kadarnya adalah 1 swiss Franc (CHF) = rm 4.0. Kebanyakan peniaga masih menerima mata wang euro  tetapi kita akan rugi kerana 1 euro = rm 4.7. Jadi perlu lebih hati-hati. Keluar dari Zurich HB, kami ke stesen tram paling hampir untuk ke Apartment Swiss Star(rm 1120/ 4 malam). Tiket tram adalah CHF 2.70 untuk satu perjalanan tanpa mengira jarak. Sampai di hotel kami mencari lobi atau kaunter tetapi tiada. Datang dua orang wanita yang memberitahu bahawa kunci bilik hanya ambil di kiosk yang ada. Patutlah ada
password disertakan pada 'booking.com' yang saya buat. Beberapa kali kami mencuba di kiosk pertama namun gagal. Mungkin rosak...fikir saya. Kami mencuba di kiosk yang kedua. Hanya sekali sahaja password di masukkan, kunci bilik pun terjatuh di dalam lubang kecil yang ada. Lega rasanya....pengalaman ini yang kedua bagi saya. Kali pertama semasa kami di Sydney. Ada kotak kecil di pintu hotel yang menyimpan kunci bilik kami. Masukkan password


dan kotak pun terbuka. Sampai di bilik sekitar jam 4.30 petang. Kami berehat sebentar kerana suami ingin menyaksikan perlawanan akhir FIFA di televisyen yang bermula tidak lama kemudian. Selesai perlawanan bola, kami keluar sekitar jam 7.30 petang kerana hari masih cerah. Terjumpa pula satu kedai runcit halal...kami pun singgah untuk membeli sedikit roti dan telur. Tak jauh pun dari hotel hanya tujuh minit dengan menaiki tram. Tak ramai orang menaiki tram, berbeza dengan Tehran atau Tokyo. Mungkin harga tiket yang agak mahal barangkali....  banyak orang berbasikal atau motor sahaja. Setiap kali berjalan kaki, perlu berhati-hati. Selepas mendapatkan sedikit barang makan, kami pulang semula ke bilik. Keletihan...

16 Julai , Isnin - Hari Ketujuh
Hari ini kami ambil pakej 'day trip' ke 'Mount Titlis' dengan bayaran rm 686 seorang. Salah satu destinasi wajib dikunjungi kalau ke Zurich, itu pesan teman baik saya, Yati yang telah tiga kali ke situ. Kami naik tram ke Zurich Hauptbahnhof. Kemudian berjalan kaki ke  'sihlquai parking lot'  untuk menaiki bas. 'Malaysian or Singapore' tegur seseorang. Saya menoleh. Sepasang suami isteri bersama seorang anak gadis, ramah memulakan bicara dalam bahasa
Inggeris. Orang Singapura. Dia terkejut mendapat tahu yang kami hanya berdua menjelajah Eropah tanpa pakej. 'We used  to it but have to do a lot of homeworks' kata saya. Dia bernasib baik kerana anak gadisnya yang menuntut di Manchester dalam bidang optometri itu mengatur seluruh perjalanan mereka.
Jam 9.30 pagi, kami menaiki bas. Sepanjang perjalanan, kami menikmati pemandangan yang sangat menakjubkan. Pokok-pokok yang
Mount Titlis
menghijau serta air tasik yang membiru memang sangat mendamaikan. Kami singgah di bandar Lucerne untuk menikmati keindahan bandar kecil itu sambil merakam gambar kenangan. Saya sempat membeli dua keping strudel perasa epal dan aprikot. CHF 4.8 sekeping. Sangat sedap. Kemudian singgah di satu kerusi untuk makan bekalan yang dibawa. Kami meneruskan perjalanan  ke Engelberg. Dari situ kami perlu menaiki kereta kabel yang memuatkan enam orang pada satu-satu masa. Perjalanan diteruskan lagi dengan menaiki 'rotating cable car' yang boleh memuatkan sehingga 60 orang pada satu-satu masa. Akhirnya kami tiba di Mount Titlis yang terletak pada ketinggian 9800 kaki dari aras laut. Sepanjang perjalanan, segalanya putih. Di puncak mount Titlis, salji turun sepanjang tahun.Semasa berada di situ, keadaan sangat
sejuk memaksa saya memakai baju tebal. Yang anehnya, matahari tetap memancarkan cahayanya yang panas dan terik sehingga menyukarkan untuk membuka mata. Begitulah kuasa Allah swt.... kami berjalan di atas 'suspension bridge' untuk menikmati keindahan 'Swiss Alps'. Di situ jugalah tempat penggambaran sebahagian filem 'Dilwale' dilakukan. Bagi pengunjung yang berminat, boleh juga mencuba 'flyer chairlift' untuk pergi ke satu bahagian lagi. Kami tak berani walau pun banyak juga orang lain yang lebih berusia menaikinya...Nampaknya kami hanya menghabiskan masa melihat pemandangan serta gelagat pengunjung yang ada. Betullah seperti yang dikatakan orang...Mount Titlis mesti dijejaki kalau ke Zurich. Rugi.. 

Kami dimaklumkan yang Switzerland merupakan antara tiga buah negara terkaya
dunia. Kehidupan di situ sangat menyenangkan. Sepanjang perjalanan juga  kami melalui banyak terowong kerana mereka tidak mahu meruntuhkan gunung ganang yang ada. Terowong terpanjang juga terdapat di negara ini iaitu 15 km.  Sekitar jam 6 petang, kami selamat sampai ke bilik.... sempat juga singgah di kedai halal untuk membeli sedikit makanan.













                                   
                                Gambar-gambar sekitar Lucerne











Strudels yang sangat sedap



Grindelward
17 Julai , Selasa - Hari Kelapan
Hari ini adalah 'day trip' ke Interlaken atau 'bandar di antara dua tasik' ...satu lagi daerah wajib dikunjungi di Zurich. Merupakan sebuah bandar peranginan tradisional yang terletak di tengah-tengah Switzerland. Di bina di atas lembangan yang sempit di antara dua tasik iaitu 'Emerald Lake Thun' dengan 'Lake Brienz'. Banyak rumah-rumah kayu tua di daerah ini menjadikan pemandangannya sangat menakjubkan. Pergunungan sekitarnya dengan hutan tebal,
padang rumput alpine dan glasier mempunyai banyak laluan untuk hiking dan ski pada musim dingin.
Kami ke Sihlquai parking lot untuk menungu bas di situ. Pukul 8.30 pagi, sebuah bas dua tingkat tiba. Sebaik duduk, kami ditegur sepasang suami isteri dari Australia. Sangat ramah. Dia bertanyakan tentang pekerjaan kami. Mungkin hairan mendapat tahu yang kami datang jauh dari Malaysia. Dia fikir kami menjalankan perniagaan.... kerana dia sendiri seorang usahawan yang ada 50 ribu ekar ladang lembu. Patutlah dia bercuti di Switzerland ini selama sebulan. Dalam perjalanan, kami singgah di Lucerne untuk mengambil beberapa orang pelancong lagi. Bas dua tingkat itu memang penuh. Seorang wanita berusia 60 tahun
menjadi pemandu pelancong kami. Segala makluman di sampaikan di dalam dua bahasa iaitu Inggeris dan Sepanyol. Katanya jumlah semua pelancong adalah 72 orang. Kebanyakannya adalah orang india dan hanya kami sahaja orang Malaysia. Selebihnya ada orang putih  yang datang dari pelbagai negara Eropah. Sempat dia berpesan tentang ketepatan waktu. Kalau lewat 5 minit, kena menyanyi. Lewat 10 minit, kena menyanyi dan menari. Lewat 15 minit, boleh lah menyanyi dan menari lebih lama kerana bas akan tinggalkan kamu... disambut dengan gelak tawa pelancong. Seseorang bertanyakan tentang tiket tram kerana tiada 'checker'. Katanya, kalau tertangkap manaiki tram tanpa tiket, denda sebanyak CHF 100 akan dikenakan. 'Kamu kan pelancong. Cakap saja kamu tidak tahu tentang
peraturan tiket tram di Zurich. Pasti kamu dimaafkan'. Tambahnya lagi sambil ketawa.

Kami dan beberapa orang pelancong turun di 'Grindelward' yang juga digelar 'glacier village'. Dari situ seseorang boleh menaiki kereta kabel untuk melihat tiga puncak utama iaitu Eiger, Monch dan Jungfrau. Kami hanya bersiar-siar di daerah tersebut sambil menghirup udaranya yang segar dan sejuk. Saya membayangkan keseluruhan daerah itu putih di litupi salji apabila musim dingin. Tiba-tiba saya teringat telefon. Cari di dalam beg tangan. Tiada. Entah di manalah jatuhnya. Enggan memikirkannya kerana akan merosakkan mood percutian, saya lupakan sementara pasal telefon tersebut. Hanya berdoa supaya telefon tersebut tidak hilang... Mungkin terjatuh di dalam bas, fikir saya untuk
menyedapkan hati. Kami diberikan tiket untuk menaiki tren dari Grindelward ke Interlaken. Sampai di Interlaken, kami menghabiskan masa melihat pelbagai aktiviti yang ada di situ. Antaranya adalah menyewa basikal, menaiki kuda, paragliding atau memudiki tasik menaiki kapal. Semuanya berbayar. 




Gambar di Interlaken







18 Julai , Rabu - Hari Kesembilan
Hari ini kami keluar sekitar jam 10 pagi untuk  mencari masjid Madani yang tidak jauh dari hotel. Dengan menaiki tram, kami kemudiannya berjalan kaki mengikut google map yang ada. Dari jauh kelihatan bangunan bertingkat. Sebuah apartment di mana bahagian bawah dijadikan masjid. Disebabkan hari masih pagi dan belum waktu solat zohor, maka pintu masjid berkunci. Nak bertanya pun tiada sesiapa di situ. Akhirnya kami terpaksalah berlalu pergi. Tiba-tiba saya teringat masjid di negara sendiri. Bertuahnya kerana kebanyakan masjid besar dan cantik.
Tidak lama di situ, kami menyambung perjalanan dengan menaiki tram semula. Menuju ke Haupbahnhof kerana kami ingin menjelajahi kawasan persekitarannya. Terjumpa sebuah
berjemur....
kedai menjual kebab tetapi tiada logo halal. 'Haram' balas pekedai tersebut bila saya bertanyakan tentang statusnya. Saya tersenyum sambil berlalu pergi... Bukan orang Turki rupanya walau pun dia bukan orang kulit putih. 

Kami melalui beberapa deretan kedai menjual pelbagai barangan cenderahati. Seperti biasa, saya hanya membeli key chain, fridge magnet, topi dan sling bag. Sekadar kenang-kenangan. Di hadapan beberapa buah kedai pula terdapat
petai dikeringkan sebagai perhiasan
banyak longgokan kotak-kotak besar yang telah dilipat. Duduk di sebuah bangku untuk melepas lelah, saya teringat orang-orang yang mengutip kotak di negara kita sebagai sumber pendapatan. Saya tunggu untuk melihat, siapakah yang akan mengambil kotak-kotak tersebut. Tidak lama menunggu. Sebuah lori sampah melintasi,
 tiada bau. Lori itu berhenti di hadapan kedai-kedai tersebut lalu memasukkan semua kotak yang ada ke dalamnya. 'Agaknya tak ada orang yang  mengutip kotak', saya beranggapan.
pemandangan dari bilik

Ketika melintasi satu jambatan, saya melihat dari kejauhan terdapat sekumpulan orang sedang berjemur di atas pelantar dengan memakai bikini. Ada banyak bot-bot kecil berhampiran mereka... memanaskan badan barangkai. Bila perut terasa lapar, kami mencari roti dan 'strudels'. Makan dengan kopi panas. Memang sangat sedap. Menjelang petang, kami naik tram untuk pulang ke bilik. Saya harus berkemas kerana esok kami akan berangkat pulang.







19 Julai , Khamis - Hari Kesepuluh
Kami keluar dari hotel pada jam 7 pagi. Saya letakkan kunci bilik di dalam kiosk sahaja. Kami menaiki tram. Tak jauh pun sekitar 20 minit sahaja. Sampai di kaunter, kami terus dapatkan boarding pass. Seperti sewaktu kami turun di Frankfurt tempoh hari, kami transit di Abu Dhabi juga. Alhamdulillah, pesawat yang membawa kami selamat mendarat di KLIA sekitar jam 10 pagi. Begitulah akhirnya kembara kami di empat buah negara Eropah tanpa ada sesiapa yang mengaturkan. Kemana pun kita pergi, jangan pernah lupa pada peribahasa kita 'malu bertanya sesat jalan'. Itulah yang membantu kami sepanjang bermusafir di negara orang. Rajin-rajin lah bertanya kalau tidak tahu dan mohon Allah permudahkan segala urusan. Banyak ragam manusia yang saya lihat...ada yang baik, ada
kat airport dah
yang tidak. Itulah yang menjadikan kembara kami lebih indah. Saya teringat satu insiden semasa di dalam bas dari Interlaken. Seorang laki-laki India telah mematahkan meja kecil di hadapannya tanpa sengaja. Lalu saya bisikkan pada suami.... kenapalah orang India ni buat macam tu. Sebelum turun, tiba-tiba dia bertanya 'Malaysia kat mana....kami dari Ampang'.  Allahu, orang Malaysia rupanya. Saya pandang suami sambil tersenyum. Betullah kata pepatah...cakap siang, pandang-pandang.

....sekian....














No comments:

Post a Comment