Friday 14 July 2017

IRAN - TEHRAN & ESFAHAN

(RM 450 hilang sekelip mata....pukaukah )

28 FEB - 6 MAC 2017  

100 000 IRR = RM 12.50
1.00 petang IRAN = 4.30 petang MALAYSIA

28 FEB, SELASA - HARI PERTAMA
Tepat jam 3.00 petang  saya dan suami keluar dari rumah menuju ke stesen 
ERL Salak Tinggi. Parkir kereta di situ dan menaiki KLIA transit menuju KLIA2. Percutian kali ini tanpa anak-anak kerana mereka di asrama. Tatkala Airasia mengumumkan route baru ke Tehran sekitar bulan April 2016, saya mengambil kesempatan membelinya. Memang murah. Untuk
tarikh ini, kami hanya membayar Rm 600 seorang (return). Sangat berbaloi... 

Melalui blog-blog 'travellers', kami dapati melancong di Iran tidak susah. Metro, teksi dan kereta sapu banyak di sana.
Langkah pertama adalah mencari hotel dan pastikan dekat dengan stesen metro. Melalui Booking.com atau Agoda, tak banyak hotel ditemui. Berhari-hari mencari, saya ditemukan dengan website 'pintapin' dan
'apochi' yang punya ratusan hotel di Iran dengan harga yang sangat berpatutan. Terus saya tempah 3 malam di Tehran dan 2 malam di Esfahan. Jumlah keseluruhan adalah rm 1050. 
Seterusnya, suami saya mula mencari tempat-tempat menarik untuk dilawati. Menggunakan google map, dia mencari metro mana yang perlu dinaiki... cetak untuk dibawa bersama.
Untuk mendapatkan IRR atau Iranian dollar, memang tiada di sini. Kami dinasihatkan bawa USD atau EURO dan tukarkannya semasa tiba di sana. Akhirnya, kami bawa USD. Bawa lebih tak apa kerana mereka tidak terima kredit kad  dari pelancong, katanya....
Pesawat yang sepatutnya berlepas pada jam 7.05 malam ditunda sehingga 7.30 malam. Pengumuman memaklumkan, mereka terpaksa menunggu 7 orang penumpang lagi.
Lapan jam berada di udara, kami selamat mendarat di
Imam Khomeini International Airport sekitar 11.15 malam (waktu Iran)
Laluan bawah tanah  untuk menaiki tren
Beberapa orang dari Malaysia yang sempat ditemui, menggunakan khidmat pemandu pelancong. Terpaksa bertanya di sana sini kerana tiada yang menunggu kedatangan kami. Saya ke kaunter yang banyak orang sedang berbaris sebelum menuju kaunter imigresen. Seorang pelancong  sedang menguruskan 'visa on arrival' dengan bayaran sekitar 40 euro ...terkejut jugak saya mendengarnya sebab
jumlah tersebut agak banyak. Lalu saya dekati staf di situ dan maklumkan kami dari Malaysia. Sambil tersenyum, dia menyuruh saya terus ke kaunter imigresen tanpa perlu mengisi apa-apa borang pun. 'Tiada visa untuk rakyat Malaysia ke Iran', tambahnya. Segera saya kabarkan kepada suami dan teman-teman dari Malaysia yang sedang menanti dengan sabar...
Kami melalui kaunter imigresen tanpa banyak soal jawab. Mudah. Seterusnya adalah mencari 'pengurup wang' yang katanya berada di tingkat satu. Hajat di hati nak tukarlah banyak sikit tetapi tak dibenarkan. Atas alasan apa, saya pun tidak pasti kerana staf di situ
baru tiba - Imam Khomeini Int. airport
tidak fasih berbahasa Inggeris. Setiap orang hanya boleh tukar 100 usd sahaja. Dapatlah 3,760,000 IRR (Iranian Dollar) untuk 100 USD. Merasalah jadi jutawan kiranya....

Dari mula berbaris untuk menukar wang, seorang lelaki tempatan berdiri dengan setianya di belakang suami. Tanpa mengesyakki apa-apa, saya diamkan sahaja. Selepas saya dapatkan wang IRR, giliran suami pula menukar wangnya. Lelaki tadi mencuit bahu suami saya dan sepantas kilat dia terus menoleh. 'Mahu kereta ke hotel' tanyanya yang  fasih berbahasa Inggeris . Suami terus setuju kerana tambang yang ditawarkan adalah 250,000 IRR. Murah... bisik suami kepada saya. Biasanya adalah 800,000 IRR (lebih kurang RM 93) ... menurut apa yang di
Markazi Hotel, Tehran
baca di dalam blog-blog traveller.

Memandangkan hari pun telah jauh malam dan kami sangat letih, lelaki tersebut mencapai duit IRR yang suami pegang. Mengambil 250,000 seperti yang dia minta. Kami terus ke kereta yang sebenarnya bukan teksi pun.... hanyalah sebuah kereta sapu. Tak apalah, fikir saya. Yang penting, sampai di hotel...
Kami selamat tiba di Markazi Hotel sekitar jam 12.45 tengah malam selepas lebih 30 minit perjalanan. Sampai di bilik, suami melihat baki IRR yang ada di dalam dompet... alangkah terkejutnya kerana note yang telah dia serahkan adalah 2 juta IRR (RM 250), bukannya 200,000 IRR (RM 25). Siapakah yang harus di persalahkan.... 'bukan rezeki kita, rezeki dia... halalkan sahaja' saya memujuk suami yang merasa amat terkilan di atas insiden tersebut. Menyesal pun tak ada gunanya. Lain kali, perlu lebih berhati-hati...
Malam itu kami tertidur dengan rasa sedeh, sesal dan marah bersilih ganti jauh di lubuk hati. Perkara tersebut harus dilupakan supaya tidak mengganggu 'mood' percutian pada kali ini.
 
1 MAC, RABU - HARI KEDUA
Kami bersarapan di hotel...  ada beberapa jenis roti, beberapa jenis keju, telur rebus dan kuah dhal. Cukup untuk mengenyangkan perut. Kemudian berjalan kaki  ke stesen metro Darvazeh Dowlat untuk menaiki tren menuju ke Bazaar Tarjish. Suhu sekitar 14 darjah celcius sahaja membuatkan kami selesa berjalan dengan hanya memakai baju panas yang tidak berapa tebal....
Tambang yang dikenakan hanyalah sekitar 20000 IRR ( lebih kurang RM 2.30) untuk berdua ke Tarjish. Sepanjang jalan, tiada pelancong yang kami temui. Sesekali terasa agak janggal. Hampir kesemua wanita Iran ini menutup kepala... sama ada menutup sebahagian rambut atau pun menutup
seluruh kepala dan lengkap berjubah hitam. Wanita Iran sangat cantik dengan kulit mereka yang putih kemerahan.... 
Penumpang sangat banyak tetapi tren juga banyak. Di sebabkan terlalu ramai orang beratur , kami terpaksa melepaskan dua buah tren yang datang. Mereka nak cepat ke tempat kerja sedangkan kami hanya nak berjalan-jalan... Tetapi penantian tidak lama. Setiap sepuluh minit ada tren. Memang efisyen. 
Saya terpaksa bersesak-sesak di dalam koc biasa. Tiada penumpang wanita di dalam koc yang saya masuk kerana ada koc khas untuk wanita. Saya tak berani berpecah dengan suami, jadi terpaksalah berdiri dengan penumpang lelaki. Difahamkan jumlah penduduk Tehran adalah sebanyak 8
Berjualan....
juta (Penduduk Iran 80 juta) tidak hairan lah pengguna tren boleh mencecah 3 juta orang setiap hari. 
Satu angka yang sangat besar ! 
Sehingga tahun 2015, hanya 170 km laluan yang telah disiapkan. Pembinaan laluan metro ini dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020 dengan 9 'line' sejauh 430 km. Perkhidmatan metro ini bermula dari jam 5.30 pagi dan berakhir pada jam 11.00 malam setiap hari. Bahasa mereka adalah Persia dan sesekali kami ditemukan dengan penduduk yang boleh berbahasa Inggeris.
Di dalam tren, terdapat banyak orang yang berjualan secara kecil-kecilan.... dengan membawa beg plastik atau beg pakaian kecil berisi barang jualan. Satu senario yang mengagumkan kerana ini tidak berlaku di negara-negara lain yang pernah saya kunjungi ( Eropah, Korea, Tokyo, Los Angeles, Australia ). Tanpa segan silu penjual akan berdiri sambil mempromosikan barang jualan mereka... namun sayang sekali kerana saya tidak memahami apa-apa. 
zafran....mahal 

Ada orang dewasa juga remaja , menjaja dari satu koc ke koc yang lain. Di awal pagi, penjual biasanya membawa makanan ringkas seperti sandwich, biskut atau kek. Pada masa yang lain, ada yang menjual alat tulis, buku cerita kanak-kanak, t- shirt, kelengkapan dapur dan macam-macam. Pernah sekali saya terpandang ke arah koc  wanita... jualan mereka lebih hebat seperti jubah, pakaian kanak-kanak dan tudung. 
Kami tiba di bazaar Tajrish dan mendapati ratusan kedai di situ menjual pelbagai barang. Dari barang perhiasan hinggalah keperluan dapur, semuanya ada. Zafran juga banyak di situ. 

kreatif....
Sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijual juga semuanya segar dan besar berbanding yang ada di negara kita. Mungkin faktor cuaca, fikir saya. Terung panjangnya sahaja hampir menyamai lengan orang dewasa. Sadri Australia juga jauh lebih besar. Ada juga  sadri Australia dan kacang buncis yang telah dipotong-potong kasar dijual. Selain itu daun pasley cincang juga dijual di dalam bungkusan seberat 1 atau 1/2 kg. 

Buah strawbery juga banyak. Begitu juga berjenis-jenis limau dan anggur. Cuaca sejuk tidak menarik minat saya terhadap buah-buahan. Cukup sekadar 'window shopping' sahaja.
Perjalanan kami akhirnya sampai di satu kawasan tumpuan orang ramai,
Imamzadeh mosque. Banyak pengunjung tempatan yang sedang beratur untuk mengambil  'jubah' yang berwarna warni sebelum memasuki bangunan tersebut. Sebenarnya saya pun tidak faham mengapa perlu ber'jubah' sedangkan semua orang telah pun menutup aurat. 

Sampai di pintu masuk, kena tinggalkan kasut di rak yang disediakan dan satu tag nombor diberikan. Sukar mencari pengunjung yang boleh berbahasa Inggeris. Seorang staf di situ menghulurkan sebiji 'batu karbala' namun saya menolaknya dengan hormat atas alasan saya tidak mahu solat. 
Saya hanya mundar mandir
Imamzadeh mosque
memerhatikan kegiatan mereka dan akhirnya membawa saya kepada sebuah kubur di situ. Khabarnya kubur 'Saleh' anak kepada Musa al-Khadim seorang imam syiah yang terkenal suatu masa dahulu (maklumat yang terpaksa saya cari sendiri melalui pembacaan online). Saya melihat begitu banyak pengunjung tempatan yang sedang meratap di tepi kubur tersebut. Sukar untuk saya memahaminya kerana masalah bahasa .

Selesai memerhati semua aktiviti di situ, saya keluar. Mengambil semula kasut serta meletakkan kembali jubah yang dipinjam di tempat khas. 
Kami menahan sebuah 'kereta sapu' menuju ke Darband yang hanya 3 km dari Tajrish. 10 000, kata lelaki tua itu. Kami terus bersetuju dan melompat
Darband....kaki gunung Tochal
naik. Kereta sapu yang agak uzur itu melalui kawasan yang agak jem dan menaiki satu kawasan berbukit. 

Saat menghulurkan tambang, dia mengatakan 100 000 IRR. Kami keliru dan mula mengganggap bahawa pemandu tersebut cuba menipu. Bahasa menjadi masalah utama. Dia kelihatan sangat marah. Saya mencari seseorang yang boleh berbahasa Inggeris. Mujur terdapat tiga orang 'anak muda'  yang baru turun teksi lalu mendekati kami. Fasih berbahasa Inggeris, dia bertanyakan masalah kami. Rupa-rupanya berlaku silap faham.... Maksud pemandu tua itu adalah 10 000 Toman, bermakna  100 000 IRR. Barulah kai faham... Suami menghulurkan 100 000 IRR sambil memohon maaf di atas kesilapan tersebut.
Hooka lounge di kiri kanan
Anak-anak muda itu adalah penuntut universiti yang datang dari Esfahan. Mereka juga memaklumkan bahawa kebanyakan orang tua masih suka menyebut mata wang 'Toman' kerana itu adalah mata wang yang mereka biasa gunakan satu masa dahulu. Berbanding dengan golongan muda yang telah biasa dengan mata wang terkini iaitu IRR. Pesan mereka lagi, apabila bercakap tentang mata wang di Iran, pastikan Toman atau Iranian dollar (IRR). Ini adalah kerana 1 Toman sama dengan 10 IRR. 
Darband bermaksud 'pintu kepada gunung' kerana terletak di kaki Gunung Tochal. Terdapat juga 'chair lift' bagi yang berminat untuk 'hiking'. Dari jauh kelihatan sisa salji yang masih berbaki di puncak gunung. Udara yang bertiup semakin sejuk di situ. Kami
Penghasilan kepingan roti nipis
berjalan mengikut laluan yang ada ....terdapat banyak 'hooka lounge' (restoran dengan shisa) di kiri kanan laluan tersebut. 

Di sebelah kanan pula terdapat sebatang anak sungai yang jerneh menuruni gunung tersebut. Melihat airnya sahaja membuatkan saya merasa semakin dingin.... Kebanyakan restoran masih tutup dengan beberapa orang pekerja sedang membersihkan kawasan persekitaran. 
Terdapat juga gerai-gerai kecil yang menjual air serta pelbagai jenis jeruk buah-buahan di sepanjang laluan. Sesekali kami berselisih dengan keldai dengan muatan penuh di badan bersama tuannya.. Hebat haiwan yang Allah ciptakan ini...  Saya yang memerhati terasa letih dan sekali gus kasihan kepada haiwan tersebut.... 
Setengah jam kemudian, kami berpatah balik.
Leyla-fasih bahasa melayu
Agak memenatkan sebenarnya. Sampai di kaki gunung, terdapat  sebuah kereta sapu di situ. Pemandunya yang sedang menikmati secawan teh panas terus bersetuju membawa kami ke Tajrish dengan bayaran 100,000 IRR. 

Sampai di Tajrish, kami membeli satu kebab (125,000 IRR) untuk dikongsi kerana agak besar. Seterusnya mendapatkan tiket tren dengan harga 20,000 IRR menuju ke stesen metro Mosalla Emam Khomeini. 
Sampai di sana, kami mencari tandas awam tetapi tiada sehingga memaksa kami bertanya kepada polis yang ada. Dia menunjukkan kami tandas di pejabat mereka. Walau pun tidak begitu bersih seperti tandas awam di negara kita, kami berterima kasih. 
Keluar dari stesen metro, kami menaiki sebuah teksi dengan bayaran 150,000 IRR menuju ke Milad Tower. Mengambil masa selama 11 tahun untuk disiapkan iaitu dari 1997 sehingga 2008. Dibuka kepada awam secara rasminya pada 20 Februari 2009 oleh
Mehdi-fasih bahasa melayu
Mohammad Bagher Ghalibaf, gabenor Tehran yang ke 55. Juga dikenali sebagai Tehran Tower dengan ketinggian 435m dan mempunyai 12 tingkat. Binaan ini terdiri dari 'Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Tehran' yang merangkumi hotel bertaraf 5 bintang, pusat konvensyen, pusat dagangan dunia dan pusat teknologi maklumat. 

Kami bersiar-siar di persekitaran apabila di sapa seseorang dalam bahasa melayu. 'Apa kabar, dari Malaysia ke' katanya. Dia memperkenal diri sebagai Leyla Ranjbar. Orangnya sangat cantik dan peramah. Seorang pensyarah yang menghadiri seminar pendidikan di situ. Leyla sebenarnya mendapatkan PhDnya di UTM, Johor selama 4 tahun dan bekerja sambilan 2 tahun dari 2010 sehingga 2016. Masih 'single' walau pun usia telah mencecah awal 40an. Banyak yang kami bualkan. Dia juga rindukan nasi goreng kampung yang menjadi kegemarannya sejak berada di Malaysia. Sebelum beredar, kami sempat
Sarapan di hotel Markazi
bertukar email serta nombor telefon. 'Telefon saya, bila-bila masa sahaja sekiranya ada masalah sepanjang berada di Iran' begitu pesan Leyla bersungguh-sungguh. 

Saya dan suami berjalan kaki menuju ke tempat teksi. Seorang lelaki pula menegur kami...'dari Malaysia ke'. Mehdi namanya. Juga seorang pensyarah yang menghadiri seminar di situ, sama dengan Leyla barangkali. Mehdi pula memperolehi PhDnya di USM Pulau Pinang dari tahun 2009 sehingga 2013. Menurut Mehdi lagi, banyak orang Iran yang pernah ke Malaysia sama ada belajar atau melancong. Mereka suka Malaysia kerana makanannya yang pelbagai selain penduduknya yang ramah. 
Sebagai rakyat Malaysia, saya gembira mendengarnya. Melancong sebenarnya
menjadikan kami duta kecil negara dan pastinya cerita yang baik-baik sahaja harus dibawa bersama.
Kebanyakan teksi dan kereta sapu yang kami temui enggan ke stesen metro Mosalla Emam Khomeini kerana laluan di situ sangat 'jem'. Lalu kami bersetuju untuk dihantar ke stesen Sharif University dengan bayaran 150,000 IRR. Turun teksi, kami naiki metro lagi ke stesen Darvazeh Dowlat. Seterusnya berjalan kami menuju ke hotel Markazi. Di kiri kanan jalan, hampir kesemuanya kedai-kedai elektrik. Dari kedai-kedai kecil kaki lima sehinggalah kedai-kedai besar... semuanya di penuhi dengan perkakasan elektrik seperti lampu, chendelier juga kelengkapan rumah yang lain. 
Udara yang menyapa semakin dingin mempercepatkan lagi langkah kami. Akhirnya kami tiba di hotel sekitar jam 5.00 petang. Satu hari yang sangat bermakna selepas seharian berada di bumi Tehran. 
Paling saya tidak lupa adalah insiden di dalam tren, macam mana seorang pemuda yang bersungguh-sungguh memberikan tempat duduknya kepada saya walau pun saya menolak kerana stesen yang dituju dekat sahaja. Baru duduk sekejap dah pun sampai. Mungkin dia kasihan kerana saya terpaksa berdiri dan berhimpit dikalangan lelaki-lelaki Iran. Saya rasa sangat terharu kerana dihargai sebagai seorang wanita warga emas. Alhamdulillah....

2 MAC, KHAMIS - HARI KETIGA
Seperti biasa, kami bersarapan di hotel. Baru saya perasan, di tempat makan tersebut ada sepasang burung comel di dalam sangkar yang riuh berkicauan. Sebagai perhiasan barangkali, fikir saya. 
Kali ini kami cuba berjalan kaki ke stesen Saadi kerana lebih dekat, kata staf di kaunter. Dari situ kami naik tren ke stesen Haram-e-Motahar dengan tambang 20,000 IRR.
Kami berjalan kaki ke  'Holy Shrine of Imam Khomeini' yang jelas kelihatan sebaik keluar dari stesen metro. Sebelum memasuki ruang yang menempatkan beberapa makam, saya perlu memakai jubah khas dan di scan. Terpaksa saya tinggalkan 'power bank' di kaunter tetapi telefon atau kamera dibenarkan. Memasuki ruang
Holi shrine of Imam Khomeini
tersebut membuatkan saya terpegun. Senibina di bahagian dalam serta syilingnya sangat mengagumkan. Sebahagiannya pula masih di dalam pembinaan. Saya membayangkan kehebatan bangunan ini sekiranya telah disiapkan sepenuhnya. 

Mencari seseorang yang boleh berbahasa Inggeris, sangat sukar...  saya ingin sangat mengetahui cerita di sebalik 'Holy Shrine' ini. Puas mundar mandir dan merakam gambar (dibenarkan), saya di sapa seseorang di dalam bahasa Inggeris. Alhamdulillah.... Seorang wanita cantik yang telah beberapa kali berkunjung ke Sarawak - ada adik yang sedang menuntut di Unimas katanya. Dapatlah saya maklumat tentang bangunan tersebut. Tambah wanita Iran ini lagi, bangunan tersebut seringkali melalui fasa penambahbaikan serta
pembinaan tambahan walau pun dia sendiri merasakan segala-galanya sudah

cukup sempurna....'banyak peruntukan barangkali', fikir saya sendirian.
Bangunan ini merupakan tempat Ayatollah Ruhollah Khomeini dikebumikan sekitar tahun 1989. Difahamkan seramai 10 juta orang menghadiri majlis pengebumian tersebut. Pada 4 jun setiap tahun pula diadakan majlis memperingati ulangtahun kematian beliau. Selain itu di sepanjang bulan Muharram pula, semua air pancut yang terdapat di persekitaran akan mengeluarkan air berwarna merah.
Pada 8 Jan 2017, Akbar Rafsanjani yang merupakan bekas presiden Iran ke 4 juga telah  dikebumikan di situ. Isteri Ayatollah Khomeini serta anak kedua beliau juga turut dikebumikan di situ. 
Bangunan tersebut mula dibina pada tahun 1989. Terdapat empat menara setinggi 91m yang menandakan umur Ayatollah ketika meninggal dunia. Di tengah-tengah kubah yang diperbuat daripada emas, terdapat pula 72 bunga tulip bagi menambah keindahan dan kemewahan rekabentuknya.Terdapat 12,000 keping
sekumpulan pelajar sekolah
permaidani yang berukuran 12 meter persegi setiap satu memenuhi seluruh ruang. 

Di satu sudut pula, kelihatan sekumpulan pelajar sekolah sedang berzikir sambil merintih (barangkali) yang duduk dalam bulatan.
Puas merakam gambar sebagai kenangan, saya melangkah keluar. Agak lama juga menunggu suami di luar kerana pintu masuk kami berbeza walau pun menuju ke ruang dalam yang sama.
Disebabkan cuaca yang sejuk, kebanyakan pokok bunga ros di persekitaran baru hendak bercambah. Apabila semua pokok-pokok tersebut telah besar dan mengeluarkan bunga, persekitaran sini pastinya akan lebih indah dan harum semerbak.... 
Sebuah trak kecil melalui dan berhenti di hadapan kami, Alhamdulillah. Tak perlulah berjalan kaki.....kereta tersebut sentiasa berulangalik membawa pengunjung kerana kalau berjalan kaki agak jauh juga.
pemandangan kubah dari dalam

Kami naik tren untuk pulang ke hotel, ambil bagasi dan daftar keluar. Sekitar jam 12.30 tengah hari, kami naik tren ke Terminal e Janoob dengan tambang IRR 14 000. Terus ke stesen bas berhampiran dan kami dapati ada banyak bas menuju ke Esfahan. 
Malas untuk mencari-cari, akhirnya kami menaiki sebuah bas yang akan bertolak pada pukul 1.30 petang dengan tambang IRR 200 000 seorang. Beberapa kali bas berhenti untuk mengambil penumpang menyebabkan tempoh perjalanan menjadi lebih panjang. 
Bas berhenti di satu restoran di mana kami boleh ke bilik air atau membeli sedikit makanan untuk alas perut. Keluar dari bilik air, saya di sapa seorang laki-laki yang sedang duduk berhampiran. Bayaran untuk tandas rupanya, IRR 5000 seorang....Kalau di tempat kita, bayaran dikenakan sebelum masuk tandas. 
bangunan padang pasir
Sepanjang perjalanan, saya dapat lihat padang pasir yang luas... sesekali terdapat ladang sayuran atau penempatan juga kawanan kambing biri-biri... tak banyak pokok-pokok besar melainkan tumbuhan padang pasir. 
Hari semakin gelap apabila bas tiba di Terminal Kavech. Saya melihat jam di tangan...7.30 malam. Jarak dari Tehran ke Esfahan hanyalah 430 km tetapi mengambil masa lebih 6 jam. Banyak berhenti barangkali....
Suami cuba bertanyakan tentang tren di Esfahan......belum ada lagi kata seorang penduduk tempatan. Kami naik 'kereta sapu' sahaja untuk ke hotel dengan bayaran IRR 100 000. Sebelum itu berlaku pertengkaran kecil 'berebutkan' kami... bimbang juga dengar mereka bertengkar walau pun saya tidak faham bahasa yang dipertuturkan. Mungkin perkara biasa agaknya....
Perjalanan mengambil masa tiga puluh minit sahaja. Pemandu 'kereta sapu' tersebut seorang yang peramah dan tahu serba sedikit
Terdapat juga ladang sayuran
tentang Malaysia. Cuma saya agak terkejut apabila dia kata di Iran tiada 'disco' sedangkan di Malaysia ada. Suami pula cuba menerangkan bahawa penduduk Malaysia adalah pelbagai, orang  bukan Islam  dibenarkan ke 'disco'. 

Tambah lelaki lewat empat puluhan ini lagi, penduduk Iran  adalah 'syiah' berbanding Malaysia yang mengamalkan 'sunni'. Kami mengiyakan kerana itu adalah fakta yang semua orang tahu... malah kami telah baca banyak mengenai Iran dan syiah. Walau bagai mana pun saya hormat dengan lelaki ini yang tidak bercakap tentang isu-isu lain yang lebih sensitif. Kami juga begitu.... berkunjung ke Iran kerana ingin melihat keindahan negara itu serta kelainan adat dan buadaya yang ada di sana. Bagi saya yang telah mengunjungi banyak negara di dunia, kita perlu menjaga adap ketika bersama penduduk tempatan. Kita membawa nama negara walau di mana berada. Jangan bawa apa-apa isu negara ke luar kerana tujuan kita hanyalah untuk melancong, tidak lebih dari itu.
Simple breakfast, hotel Saba
Kami daftar masuk ke hotel Saba (tempahan atas talian) untuk dua malam. Selepas meletakkan bagasi, kami keluar berjalan-jalan untuk menghirup angin malam kota Esfahan. Dari dalam kereta lagi, saya dapat melihat banyak orang sedang membeli belah di situ kerana terdapat banyak deretan kedai-kedai kecil. Hampir satu  jam kami menghabiskan masa sekadar 'window shopping' sahaja. Selain gerai-gerai kecil, terdapat juga gedung-gedung mewah menjual pelbagai jenis pakaian. Tiada yang menarik perhatian , semuanya sama sahaja, baju, kasut, seluar, gadget.....
Akhirnya kami singgah di satu restoran  dan memesan sebiji burger sahaja (kerana saiznya yang agak besar) serta minuman coca cola dengan harga IRR 85 000. Memang sedap dan mengenyangkan.....sambung lagi menghirup udara malam sambil merakam gambar sebelum pulang ke hotel.

3 MAC, JUMAAT - HARI KEEMPAT
Selepas bersarapan di lobi hotel, kami berjalan kaki. Sempat juga bergambar di beberapa lokasi yang menarik. Destinasi kami adalah Dataran Naghsh e Jahan atau juga di panggil Imam Square. Kawasan ini juga telah diistiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Cuaca yang sejuk menyebabkan kami tidak merasa letih walau pun hampir satu jam berjalan kaki. Kami melalui 'Natural History museum of Esfahan' yang sedang diubahsuai.... bermacam kain rentang dengan kata-kata yang 
indah digantung di sepanjang pagarnya menjadikan perjalanan kami lebih lama.
kata-kata yang indah...
Saya asyik membaca dan memahami setiap yang tertulis pada kain-kain rentang tersebut...  

Imam Square merupakan satu kawasan lapang, penuh dengan pokok-pokok dan dikelilingi dengan tiga bangunan utama iaitu Ali Qapu Palace (sedang diubahsuai), Shah Mosque dan Sheikh Lotfollah mosque. Selain itu terdapat ratusan bazaar mengelilingi dataran tersebut. 
Sewaktu saya sampai, pengunjung masih tidak ramai. Kami hanya bergambar di luar bangunan-bangunan tersebut kerana ada tiket masuk yang dikenakan. Banyak juga aktiviti yang boleh dilakukan di dataran tersebut kerana hamparan rumputnya yang indah menarik perhatian pengunjung. Kereta kuda juga ada, dengan sedikit bayaran. Ada juga pengunjung yang membawa bekalan makanan serta basikal kanak-kanak di situ.... orang tempatan barangkali.
Sheikh Lotfollah mosque dan Shah mosque dengan senibinanya yang unik menjadikan dataran di situ lebih indah. Walau pun saya
Dataran Naghsh e Jahan
bukanlah seorang arkitek, namun saya sangat mengagumi keindahan senibinanya. Kebanyakan marmar warna biru memenuhi kesemua dinding masjid-masjid tersebut. Rekabentuk geometri menghiasi bahagian atas serta kubah menjadikan bangunan-bangunan tersebut kelihatan unik. 

Sheikh Lotfollah mosque dibina pada tahun 1603 dan siap sepenuhya pada tahun 1619. Namun begitu pengubahsuaian dan penambahbaikan telah dilakukan sekitar tahun 1920an. Pada asalnya masjid tersebut merupakan masjid peribadi untuk kerabat diraja sahaja. Beberapa abad kemudian, masjid tersebut mula dibuka kepada umum.
Shah mosque pula dibina pada tahun 1611 dan siap sepenuhya pada tahun 1629 yang merupakan masjid untuk orang awam. Senibinanya yang dikatakan sangat menarik kerana menggunakan marmar tujuh warna serta bentuk-bentuk kaligrafi. Saya membayangkan kehebatan senibina mereka yang telah bermula seawal abad ke 17 lagi. Memang hebat...
Sheikh Lotfollah mosque
Saya melihat sekumpulan pelancong, katanya dari Sepanyol yang sedang merakam gambar. Semuanya memakai selendang yang ringkas di kepala...manis pulak nampaknya. Melihat gelagat mereka yang asyik membetulkan  selendang di kepala sambil merakam gambar membuatkan saya senyum sendirian...
Sebelum meninggalkan dataran, kami melalui bazar-bazar yang ada untuk membeli sedikit cenderahati sebagai kenang-kenangan. Terdapat juga gerai yang menjual karpet, frame  serta pinggan mangkuk untuk hiasan dengan harga yang agak mahal. Bagi peminat hiasan dalaman, sudah pasti akan membelinya tetapi tidak saya. Sewaktu kami melangkah keluar, pengunjung yang datang semakin ramai. Tidak boleh berlama di situ kerana ada tempat lain yang ingin kami tuju...  
Banyak teksi sedang menunggu di luar dataran. Dengan bayaran IRR 100 000, kami terus ke Khaju Bridge. Pemandu teksi yang sangat peramah itu memasang zikir syiah sambil
Sheikh Lotfollah mosque

bercerita. Begitu bersemangat sekali dia...mujurlah perjalanan tak lama dan kami segera turun. Banyak orang di situ.
Beberapa kumpulan pula sedang menjalankan aktiviti masing-masing. Ada yang sedang mendengar ceramah dengan begitu kusyuk sekali... kami hanya memerhati kerana tidak memahami apa-apa pun. Ada pula  yang sedang menyanyi tanpa sebarang alat muzik, tanpa mikrofon namun suara yang bergema di dalam gerbang menjadikannya sangat kuat, pun tidak kami fahami. Ada juga ceramah yang memperkenalkan produk perniagaan di suatu sudut dibawah naungan pohon-pohon di situ.... 
Kahju Bridge di bina sekitar tahun 1650. Mempunyai 23 gerbang (arches) dengan panjangnya 133 m serta 12 m lebar. Sehingga kini Khaju Bridge menjadi tumpuan orang awam untuk bersiar-siar sahaja kerana terdapat banyak kerosakan pada jambatan tersebut yang belum diperbaiki. 
Shah mosque
Upham Pope yang merupakan seorang arkeology dan pakar sejarah Iran pernah berkata bahawa Khaju Bridge merupakan 'monumen puncak senibina jambatan Parsi juga salah satu jambatan paling menarik yang ada di mana seluruhnya mempunyai irama serta bermaruah, menggabungkan konsistensi, kegunaan, kecantikan dan rekreasi yang paling bahagia.'
Saya membayangkan keindahan Khaju Bridge suatu masa dahulu tatkala air sungainya penuh  dengan pantulan cahaya lampu pada waktu malam. Yang tinggal hari ini adalah lembah sungainya yang kering kontang dan terus menjadi tanda tanya saya...
Melihat sebuah teksi sedang berehat, kami memintanya menghantar ke hotel Saba. Bayaran yang diminta adalah IRR 300 000. Cuba bertawar namun ditolak membuatkan kami mencari kereta lain. Sebuah kereta sapu menghampiri dan bersetuju dengan bayaran IRR 150 000. Mujur... fikir saya. 
Sampai di hotel, jam meunjukkan pukul 1.00 petang. Kalau di tempat kita,
Bazar di Imam Square
berduyun-duyun orang mula ke masjid untuk solat Jumaat namun tidak di situ. Aktiviti terus sahaja berjalan seperti biasa.......

Selepas membersih diri dan bersolat di bilik hotel, kami keluar berjalan kaki. Perut terasa lapar. Kami singgah di sebuah restoran yang kelihatan kecil sahaja dari luar. Rupa-rupanya terdapat ruang yang agak luas apabila kami menuruni tangga kerana terletak 'uderground'. Satu set nasi lauk ayam dengan sebotol coke harganya adalah IRR 320 000. Cukup untuk berdua kerana set tersebut agak besar. 
Kami terus berjalan untuk mencari 'Ali minaret'  yang terletak berhampiran 'Ali mosque'. Dibina pada abad ke 11 merupakan menara tertua di Esfahan. Tinggi asalnya adalah 50m tetapi sekarang hanya 48m disebabkan  cuaca. Binaannya diperbuat daripada bata dan juga marmar.
Bersebelahannya adalah 'Ai mosque' yang dibina pada tahun 1522. Merupakan salah satu bangunan
Pintu gerbang di Khaju Bridge
yang terpenting di Esfahan. Semasa kami memasuki kawasan masjid tersebut, tiada pengunjung lain di situ. Tempat tersebut seolah-olah tidak berjaga dan kami cepat-cepat beredar apabila seseorang datang menutup sebelah pintu pagar.

Kedua-duanya terletak di satu dataran lapang berumput yang dikelilingi puluhan bazar menjual pelbagai barang... mainan kanak-kanak, cenderahati, pakaian dan makanan. Banyak orang datang bersama keluarga serta anak-anak kecil untuk bersantai di dataran tersebut.
Kami berjalan kaki untuk pulang ke hotel. Disebabkan hari belum gelap kami mengambil keputusan untuk lepak di 'Chahar Bagh Boulevard' yang terletak berhampiran hotel Saba. Kiri kanannya dibarisi pohon-pohon tua yang kurang daun disebabkan cuaca dingin. Terdapat banyak bangku untuk berehat. 'Boulevard' sepanjang 6 km itu adalah yang paling terkenal dan menghubungkan bahagian utara dengan selatan Esfahan. 
Kami mencari satu bangku untuk melepaskan lelah sambil memerhati kereta yang bertali arus. Semakin lewat petang,


Ali mosque

Ali Minaret

Ceramah di Khaju Bridge
kereta semakin memenuhi jalan raya. Mungkin mereka pulang dari pejabat, fikir
Chahar Bagh boulevard
saya. 
Sukar untuk melihat kereta yang cantik berkilat. Kebanyakannya adalah model-model biasa, kecil dan berdebu serta kemek di sana sini. Sesekali barulah kereta mewah melalui. 
Malam itu kami tidak kemana-mana kerana keletihan seharian berjalan kaki. 

4 MAC, SABTU - HARI KELIMA
Kami bersarapan di lobi hotel. Mengambil bagasi dan terus ke bus stop berhampiran utuk menaiki bas. Tepat jam 8.30 pagi kami menaiki sebuah bas untuk ke Terminal Kaveh dengan bayaran IRR 10 000 sahaja. 
Terminal Kaveh adalah stesen utama yang menghubungkan banyak tempat di Esfahan. Banyak teksi, kereta sapu dan bas ekspress di situ. Seorang lelaki dari syarikat Royal Safar VIP menawarkan tiket untuk ke Tehran dengan bayaran IRR 330 000 seorang. Kami bersetuju kerana bas akan bertolak sekitar jam 9.30 pagi .
Terminal Kaveh, Esfahan
Setiap penumpang di dalam bas mendapat sebungkus makanan ringan untuk alas perut... ada kek, biskut, keropok dan air kotak. Selain itu, air mineral juga boleh di ambil jika perlu. 
Sampai di terminal e Janoob, kami naik tren ke stesen Trigani. Semasa sedang menuruni tangga, seorang lelaki sekitar 40an meminta bagasi saya . Belum sempat  berkata apa-apa, dia telah pun membawa bagasi saya menuruni tangga dan saya hanya mengikut di belakangnya. Sampai di bawah, dia meletakkan bagasi saya,  sambil tersenyum dia berlalu pergi. 'Thank you...' jerit suami saya di sebelah. Geli hati saya bila teringatkan insiden tersebut. Berpandukan google map yang di cetak, kami berjalan mencari Hotel Mina (tempahan on line). Selepas dua puluh minit berjalan, kami pun tiba. Bilik yang lebih cantik berbanding dua hotel sebelum ini, fikir saya. 
Berehat sebentar sahaja di bilik untuk mandi dan
singgah makan di Azadi square
solat kerana kami perlu keluar semula. Masa semakin suntuk rasanya. Sekali lagi kami naik tren menuju ke 'Azadi Square'. Juga dikenali sebagai 'Liberty Square' meliputi kawasan seluas 50 000 m persegi. Hari semakin gelap apabila kami menghampiri 'Azadi Tower'. Tidak ramai pengunjung di situ dan kami sempat merakam gambar di pancutan air yang berwarna warni. 

Pembinaannya dimulakan pada 16 Oktober 1971 dan dibuka kepada
pancutan air berwarna
awam pada 14 Januari 1972 yang menelan belanja USD 6 juta. Menggunakan marmar putih dari daerah Esfahan dan melibatkan 8000 blok batu. Apabila malam, lampu yang berwarna warni pula menghiasi menara ini menjadikannya semakin cantik dan menarik. 

Semasa dalam perjalanan pulang, kami melalui kawasan stesen bas. Orang semakin ramai dan bersesak-sesak. Rupa-rupanya ada pasar malam di situ. Peniaga-peniaga hanya membentang kain atau meletakkan meja ringkas untuk menjual barang dagangan. Kami hanya memerhati gelagat mereka tanpa membeli apa-apa....tidak lama kemudian, kami naik tren semula untuk pulang ke hotel.

5 MAC, AHAD - HARI KEENAM
Hari terakhir kami di bumi Iran. Selepas bersarapan di hotel, kami daftar keluar pada jam 10.00 pagi. Tinggalkan semua bagasi di bilik yang dikhaskan, kami menuju ke stesen Trigani.
Golestan Palace merupakan kompleks keluarga diraja yang mengandungi
beberapa blok muzium untuk dilawati yang dibina pada abad ke 16. Setiap blok muzium pula dikenakan tiket khas. Kami perlu membayar IRR 150 000 seorang di pintu masuk dan IRR 150 000 seorang untuk blok muzium pameran atau 'Mirror Hall'.
Mirror Hall ini mempamerkan kerja-kerja seni yang cantik dan halus berasaskan kaca. Tetapi sayang, pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar. Selain itu dipamerkan juga hadiah-hadiah berupa set pinggan mangkuk daripada kerajaan-kerajaan German, Australia, China dan banyak lagi. Sempat staff di situ bergurau apabila mengetahui kami dari Malaysia 'none  from your country.' katanya sambil tersenyum...dan kami pun turut tersenyum sebelum melangkah keluar.
Pasar malam di Azadi Square


Tempat paling akhir yang kami ingin pergi adalah 'Grand Bazaar'. Merupakan sebuah bazaar yang telah lama wujud tetapi tidak dapat dipastikan dengan jelas bilakah bazar ini bermula. Terletak di 'Arg Square', selatan Tehran. 
Bazar ini terbahagi kepada beberapa bahagian dengan pengkhususan mengikut barang jualan. Contohnya pakaian, karpet, pinggan mangkuk, cenderahati, kasut, makanan basah, kekacang dan sebagainya. Dianggarkan panjang keseluruhan bazar adalah 10km.
Kebanyakan dinding dan laluan yang ada telah berusia lebih 400 tahun. Namun demikian, terdapat pengubahsuaian yang pernah dilakukan kira-kira 200 tahun yang lalu. 
Bahagian lama bazar umumnya sama dalam gaya seni bina, manakala bahagian yang ditambahkan pada abad ke-20 sering dilihat sangat berbeza.
Pengkritik mengatakan bahawa
Penjual teh kaki lima
kurang perhatian telah diberikan. Walau bagaimanapun, dalam usaha untuk meningkatkan martabat bazar itu, projek-projek untuk mencantikkan bazar melalui penggunaan cetakan plaster dan kerja-kerja hiasan dilakukan lewat abad ke-20.

Kebanyakan  pengunjung bazar adalah orang tempatan. Saya membeli beberapa helai baju dan terpaksa beralih dari satu kedai ke kedai yang lain untuk mendapatkan harga yang diingini. Jangan harap nak tawar sampai separuh harga... tiada penjual yang akan melayan. Akhirnya sayalah yang mengalah...
Mengunjungi sebuah kedai menjual karpet dan sejadah, saya berasa selesa kerana tuan punya kedai fasih berbahasa Inggeris. Rupa-rupanya dia memiliki sebuah rumah teres di Wangsa Maju yang dibeli untuk kemudahan dia dan keluarga apabila berkunjung ke Kuala Lumpur. 'I love Malaysia' katanya ringkas.
Pengunjung tempatan di bazaar
Perut mula terasa lapar. Mencari restoran yang menjual nasi seperti di tempat kita, sangat sukar sebenarnya. Akhirnya kami ambil keputusan untuk makan tengah hari di restoran yang ada di Hotel Mina. Lewat jam 3.00 petang, barulah dapat menjamah nasi. Seperti biasa kami pesan hanya sepinggan, nasi bryiani lauk ayam dengan harga IRR 150 000. Sangat berbaloi kerana sedap....
Sepanjang berada di Tehran dan Esfahan, tiada satu pun kedai 'fast food' yang kami temui. Tiada McD, tiada KFC, tiada Pizza Hut... yang ada hanya kedai-kedai mereka dengan jenama mereka sendiri. Semua orang tempatan yang kami temui sangat peramah dan mudah membantu walau pun masalah bahasa menjadi kekangan utama. 
Disebabkan ketika ini adalah pengakhiran musim dingin, maka kebanyakan pokok tidak mengeluarkan buah. Pokok tanpa daun. Jika berpeluang, saya ingin lagi ke sana pada musim panas untuk melihat sendiri pohon-pohon anggur dan epal yang berbuah lebat atau bunga-bunga ros yang sedang berkembang mekar. In Syaa Allah...
Pukul 5.00 petang, kami meminta staf di hotel Mina untuk mendapatkan sebuah teksi ke lapangan terbang. Dengan bayaran IRR 700 000 dan perjalanan mengambil masa 45 minit, kami pun tiba. 
Kami ada banyak masa di airport dan sempat juga bersembahyang di surau yang ada.  Sewaktu hendak mendapatkan 'boarding pass', barulah kami temui beberapa orang Malaysia yang menaiki pesawat yang sama. 
Tepat jam 12 tengah malam, pesawat Air Asia berlepas membawa kami pulang ke tanah air tercinta. Benarlah kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu negeri sendiri. Tetap kami pilih negeri sendiri..... saya rindukan makanan Malaysia. Kami selamat tiba di KLIA 2 keesokan harinya....sekitar jam 12.45 tengah hari...  terus ke restoran, mencari makanan orang Melayu...




Esfahan Bazaar

Esfahan Bazaar

Esfahan Bazaar

Sungai yang kering kontang di Khaju Bridge

Shah mosque, Esfahan

Epal, limau dan pisang kering di Tajrish Bazaar

Tajrish Bazaar


Azadi Tower


Wanita Iran ini pernah ke Sarawak

Bahagian dinding di Golestan Palace

Seni kaca di Golestan Palace



Pokok tanpa daun di Imam Square