Saturday, 14 November 2015

HAJI, UMRAH / BEIRUT / JORDAN / BAITULMAQDIS

(#Saya ke Hajj Terminal, suami ke North Terminal, terpisah..)

Alhamdulillah dan sangat bersyukur kepada Allah swt,
Di usia emas ini , saya dan suami telah beberapa kali menjejakkan kaki di tanah suci Mekah dan Madinah. Satu destinasi pasti bagi setiap umat Islam yang punya cukup syarat. 
Semasa dibangku sekolah, saya bercita-cita untuk ke sana walau pun hanya sekali dalam seumur hidup. Lalu, saya simpan angan-angan untuk dizahirkan menjadi kenyataan. 
Namun Allah telah mengizinkan saya dan suami ke sana lebih dari sekali. Apa lagi yang saya inginkan dalam hidup ini selain mengucapkan syukur kepada Nya. Moga Allah terus memberikan kesihatan dan rezeki untuk kami berpeluang lagi ke sana di masa-masa mendatang. Walau pun untuk berkali-kali...


****************************

Disember 1995 : Umrah & ziarah Beirut
Saya bersama suami,  Allahyarham ayah (meninggal dunia pada Oktober 2009) dan ibu tiri menunaikan umrah buat pertama kalinya dan ziarah Beirut. Betapa bahagia dan gembiranya saya, hanya Allah sahaja yang tahu. Syukur kepada Allah. 
Kami tiba di Beirut awal pagi, lalu diberikan bilik untuk berehat dan membersihkan diri. Seingat saya, kami tidak bermalam pun. Keadaan agak menggerunkan kerana terdapat banyak askar yang lengkap bersenjata di airport. Beirut adalah negara yang baru habis bergolak dan ketika kami di bawa menaiki bas menjelajah kota Beirut, masih terdapat kesan-kesan tembakan pada dinding bangunan. Kebanyakan kerosakan bangunan juga belum dibaiki. 
Singgah di pinggir pantai Laut Mediterranean untuk merasai dinginnya udara yang menyapa dan menyambut kehadiran kami saat itu.....
Sukar untuk membezakan agama penduduk tempatan yang ditemui, islam atau kristian kecuali dengan bertanya. 
Selesai lawatan, kami di bawa semula ke hotel untuk makan tengah hari sebelum terus ke airport untuk terbang ke Madinah.
Urusan umrah berjalan seperti biasa dan kamera dilarang sama sekali di dalam masjid , tidak kira Mekah atau Madinah. Untuk bergambar di hadapan kaabah, memang mustahil lah .....
Terima kasih kepada syarikat Asari Murni Travel & Tours yang menguruskannya.


****************************

Januari  2005 : Ibadah Haji Ifrad
Kali ini, saya dan suami berpeluang menunaikan ibadah haji. Memandangkan giliran kami yang diberikan oleh pihak tabung haji adalah terlalu lambat, kami cuba berurusan dengan pihak swasta dan pastikan yang berdaftar dengan tabung haji. Perkara ini adalah penting, untuk mengelakkan berlakunya sebarang masalah di kemudian hari. Terima kasih kepada syarikat Cantumas Travel & Tours kerana menawarkan harga yang berpatutan iaitu RM 13500.00 untuk seorang (kalau saya tak silap)
Berkat doa tanpa henti dan niat yang murni, segala urusan menjadi mudah. Pada bulan Julai 2004, saya bertemu dengan pihak Cantumas dan tarikh berangkat pun ditetapkan pada januari 2005. Alhamdulillah.
Kami melakukam haji Ifrad di mana penerbangan terus ke Mekah hanya beberapa hari sebelum tibanya hari wukuf. Walau pun terpaksa berada di dalam ihram untuk tempoh yang agak panjang (kalau tak silap sepuluh hari), namun segalanya berjalan lancar.
Teman-teman sebilik saya masa itu ialah Shikin, Wak Shuntiah, Kak Rosmah isteri Guru Besar, kak Ros dan kak As (isteri ketua kampung). Hanya saya dan Shikin sahaja bukan orang jawa.....namun hubungan kami semua memang akrab dan sentiasa  bersama - sama ada di Mina , padang Arafah atau di Mudzalifah. 
Saya ingin kongsikan di sini beberapa pengalaman peribadi yang mungkin boleh dijadikan iktibar untuk renungan bersama.

Pertama, ketika hendak pergi melontar jamrah . Saya ikut kumpulan yang melontar waktu pagi walau pun giliran sebenar   adalah pada sebelah petang. Jarak dari khemah ke tempat melontar adalah 3 km. Sewaktu 200 m hendak sampai, tiba-tiba dada sebelah kiri terasa sangat sakit. Saya tak boleh teruskan berjalan, lalu mohon untuk berehat. Seorang mutawif bersama saya dan suami sementara orang lain meneruskan ke tempat melontar. Sepuluh minit berehat, rasa sakit berkurangan. Saya terus berjalan tetapi sangat perlahan.
Ada ambulan di situ tetapi saya menolak sebab nak habiskan urusan melontar juga. Dengan kekuatan yang ada dan sakit dada yang masih berbaki, akhirnya saya berjaya melakukan kesemua lontaran bersama juraian air mata kerana menahan sakit.  
Sebaik selesai, saya terus ke ambulan untuk diperiksa oleh doktor yang ada. Takut sakit jantung barangkali. Akhirnya doktor kata, cuma kekejangan otot dada  dan saya disuruh berehat sahaja. Usah bimbang apa-apa. 
Pulanglah saya ketika itu dengan berkerusi roda ditolak oleh seorang remaja Arab (barangkali). Punyalah laju, saya rasa macam nak terjatuh pun ada, namun akhirnya selamat juga sampai ke khemah.
Di khemah, saya cuba imbas kema bali apa yang saya telah buat di tanah air. Tiba-tiba saya teringat - sewaktu kursus haji perdana Masjid Putra, saya tidak pergi pun melontar, saya hanya duduk di bangku taman sambil memerhatikan orang lain melakukannya. Lalu saya beristigfar berkali-kali...

Kedua, berlaku di khemah di Mina juga. Hujan turun sangat lebat petang itu menyebabkan khemah perempuan menjadi laluan air. Mula-mula sedikit. Semakin lama semakin banyak, macam air sungai. Tiang-tiang bergegar sehinggalah seseorang datang dan melaungkan azan. Kami semua berdiri sahaja di dalam khemah kerana hujan masih mencurah-curah. Semua barang telah dimasukkan di dalam plastik hitam tebal. Jadi, selamatlah. Cuma tilam kami semuanya basah. Yang hairannya, khemah jemaah laki-laki  elok sahaja. Sebaik berhenti hujan, jemaah laki-laki membantu menghamparkan plastik memenuhi khemah. Kemudian mengangkut tilam mereka untuk dipinjamkan ke khemah jemaah perempuan. Jemaah laki-laki tidur beralaskan karpet sahaja. Suhu bulan Januari memang rendah, ditambah dengan hujan pada siangnya - saya kedinginan yang amat sangat. Batuk kedengaran di sana sini. Mujur saya
ada bawa bekalan ubat batuk dan panadol. Dapatlah tidur lena.  Sempat juga saya kongsikan sedikit dengan teman-teman.

Ketiga, semasa beberapa hari telah pulang ke Mekah. Zohor hari itu saya tidak solat disebabkan uzur. Tidak lama kemudian, pintu bilik diketuk berkali-kali. Suami saya kepenatan. Katanya berlaku keadaan huru-hara di dalam masjid disebabkan bunyi yang sangat kuat entah dari mana datangnya. Semua jemaah ketakutan dan berlari kesana sini, tidak tentu arah. Suami saya yang bimbang dilanggar cuba merapati dinding sehingga keadaan menjadi tenang semula. Mujur tiada kemalangan jiwa.

Pada tahun itu juga terdapat larangan membawa kamera ke dalam masjid. Tetapi ada juga remaja yang berjaya membawa telefon berkamera masuk walau pun di larang sebenarnya. 


**************************

Ogos 2012 : Umrah & sambut raya aidil fitri
Saya bersama suami serta tiga orang anak  
baru tiba di airport Jeddah
telah menunaikan umrah dan menyambut Hari Raya Aidil Fitri di kota Mekah. Terima kasih kepada syarikat TM  Travel & tours

Penerbangan kami  terus ke Jeddah dan tiba ketika laungan azan magrib berkumandang. Terpaksalah menunggu di kaunter sekitar 15 minit kerana petugas sedang berbuka puasa. Tatkala menghampiri kota Mekah, solat sunat tarawih belum selesai. Dapatlah saya melihat, betapa ramainya umat Islam sedang memenuhi keseluruhan persekitaran masjid sehingga di
buka puasa di laluan sa'e
jalan-jalan raya menyebabkan bas kami bergerak amat perlahan.

Sampai di bilik, kami  berehat sebentar sahaja kerana perlu menghabiskan umrah yang mana niat ihram telah dilakukan semasa di atas pesawat lagi. Sekitar jam dua pagi, semua urusan umrah dapat diselesaikan dan pulang ke hotel untuk bersahur.
Keesokan harinya adalah hari terakhir Ramadhan. Dua anak kecil saya mengadu
keletihan dan tidak sanggup untuk bermiqat, tambahan pula suhu waktu itu adalah 42 darjah celcius. Kami hanya melakukan tawaf sunat. Disebabkan
makanan percuma untuk berbuka puasa
terlalu panas, kami seringkali membasahkan kepala dengan air zam-zam. 

Seronoknya ketika waktu berbuka puasa. Tikar plastik di hamparkan memenuhi ruang persekitaran kaabah. Ada makanan percuma yang akan diedarkan. Duduk sahaja di mana-mana tempat kosong.
Kami sekeluarga memilih untuk berbuka puasa di laluan sa'e kerana di situ kurang sesak. Saya membeli sedikit roti untuk dimakan bersama air zam-zam. Ada pula orang yang bersedekah pelbagai jenis kurma,
roti arab, kuih-muih arab yang manis sehinggalah kertas tissu pun ada yang bermurah hati. Bak kata orang, buatlah apa sahaja kebaikan....biar Allah sahaja yang memberikan ganjarannya. Paling tidak pun, ada orang yang tolong bawakan air zam-zam , kita tak perlu bergerak sebab air zam-zam itu yang datang. Hebat orang Islam ini, fikir saya. Kami hanya pulang ke hotel selesai solat Isya' untuk makan malam.
Esoknya hari raya pertama, kami bangun sangat awal kerana bimbang tiada tempat di dalam masjid untuk solat sunat . Pukul empat pagi, kami telah
hari raya pertama 
pun berada di dalam masjid - solat subuh dan solat sunat hari raya. Takbir raya yang berkumandang sangat berbeza dengan takbir di tanah air. Jujurnya , takbir di tanah air jauh lebih sayu alunannya.

Pulang ke hotel untuk bersarapan pagi, terdapat ketupat dan lontong. Seorang teman membawa kuih raya dari rumah. Terubat sedikit rasa rindu berhari raya.
Selepas solat zohor, kami menyewa teksi ke Thaif. Destinasi kami adalah ke tapak rumah seorang perempuan tua yang selalu menyakiti Rasulullah
Thaif, tapak rumah perempuan tua
SAW dengan meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAW tidak bertindak balas. Pada satu ketika apabila wanita itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya. Wanita tua itu terharu dengan kebaikan Rasulullah, lantas memeluk 
Islam di tangan baginda.
Sebelum pulang, kami berniat ihram untuk melakukan umrah kali kedua.
masjid lama di Thaif

di dalam masjid di Thaif
sedang berbuah lebat

Di tingkat atas masjidil haram





bukit uhud



di puncak jabbar rahmah
laluan sa'e
buah kurma

mendaki jabbar rahmah













Alhamdulillah. Urusan umrah telah dapat dilakukan sebanyak 4 kali. Kemudiannya kami berangkat ke kota Madinah. Akhirnya pulang melalui lapang terbang Jeddah.

ramadhan terakhir Ammar

Sesungguhnya dari Allah dia datang, kepada Allah dia pulang - aidil fitri 2012 adalah raya terakhir buat anakanda Ammar yang telah pun kembali ke rahmatullah pada 24 januari 2013.

AL FATIHAH

semoga roh anakanda di- tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman

AMIN

*********************************************************************************

13 -26 mac 2015 : Umrah dan ziarah Baitulmaqdis
ready to go....mengujakan
Ini adalah catatan  tentang pengalaman terbaru kami yang telah menunaikan umrah dan ziarah Baitulmaqdis serta Jordan dari 13 hingga 26 Mac 2015 yang lalu. Terima kasih  kepada  syarikat Safirgo Travel & Tours. 
Kumpulan kami  terdiri dari 20 orang dan seorang mutawif yang kami panggil Ustaz Basil. Pernah menuntut di Syria selama sebelas tahun (maaf kalau saya silap) dan masih muda. Kepadanya kami bergantung harap kerana kefasihan beliau berbahasa Arab.
Saya bersama suami dan dua anak remaja, begitu juga encik Azmi (penyokong JDT) dari
rumah di Jordan, macam tak siap kan ?
Johor. Professor Dr Syed Arabi dan isteri beliau yang 'cool' dari Selangor, 
Datuk Zalil dan Datin Rohana yang sweet dari Johor dan Kak Nah yang ceria bersama ahli keluarga beliau seramai lapan orang juga dari Selangor. Banyak pengalaman suka duka yang kami alami sepanjang perjalanan ini. Segalanya menjadikan ibadah umrah kali ini lebih bermakna dan akan menjadi kenangan paling indah dalam hidup saya. Walau pun telah beberapa kali menunaikan umrah dan sekali haji, namun debarannya tetap terasa - bahagia, gembira dan bimbang semuanya bercampur di dalam satu rasa yang sukar diungkapkan

13 Mac ,Jumaat ( hari pertama )
Kami ke Putrajaya Central untuk tinggalkan kereta dan menaiki KLIA transit menuju ke KLIA. Tiba di KLIA, kami menunggu wakil dari Safirgo dan mendaftar masuk pada pukul 1.00 petang.
Selesai urusan bagasi dan mendapatkan 'boarding pass', kami mencari surau untuk solat.
Pesawat Oman Air, mulai berlepas tepat jam 3.50 petang dan selamat mendarat
Posing sikit...di lapangan terbang 
di lapangan terbang Muscat, Oman pada jam 7.10 petang (waktu Oman). Sementara menunggu masa untuk berlepas, saya perhatikan semua teman-teman sibuk mengemas bagasi. Saya biarkan sahaja kerana berpendapat bahawa saya akan membawa satu beg besar ke Baitulmaqdis. Masih dengan Oman Air, pesawat berlepas pada jam 10.40 malam (waktu Oman) dan selamat tiba di lapangan terbang Amman, Jordan pada pukul 1.00 pagi, waktu Amman.



 14  Mac, Sabtu ( hari kedua )
Sempadan Israel dah dekat...simpan beg besar
Pesawat selamat mendarat di Queen Aliaa International Airport dalam daerah Zizya, kira-kira 30 km dari ibu negara Jordan iaitu Amman. Kami disambut Ahmad, tour guide orang tempatan. Dua puluh tahun pengalaman sebagai pemandu pelancong, orangnya peramah dan meyakinkan. Menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya , banyak cerita yang dikongsi bersama.
Kami di bawa ke lobi hotel Arena, Amman untuk merehatkan diri seketika. Memandangkan waktu solat subuh adalah pada jam 4.22 pagi, kami pun menaiki semula bas untuk mencari
masjid. Suhu 12 darjah celcius ketika itu memaksa kami semua memakai baju tebal. Masjid pertama yang disinggahi, berkunci. Ahmad mencadangkan masjid lain yang agak jauh. Saat tangan menyentuh air untuk berwuduk, dinginnya terasa sehingga ke tulang hitam. Macam ais, bisik hati kecil saya. Namun kedinginan itu telah menjadikan kami lebih segar selepas berbelas jam di dalam perjalanan.
Usai solat, kami di bawa semula ke hotel Arena untuk bersarapan pagi. Ada nasi
minyak, roti, roti pita, butter, keju, berjenis-jenis jem, telur goreng dadar, telur rebus dan jeruk-jeruk. Kuah kacang pool pun ada tapi tak sedap. Teringat pulak 'kacang pool haji' kat Johor Bharu, memang sedap sangat-sangat. Sepanjang perjalanan kami melalui kawasan bergunung ganang. Juga melalui satu lembah tanaman buah-buahan yang dipanggil 'fruit basket of Jordan'. Sepertiga daripada penduduk Jordan yang berjumlah 10 juta tinggal di Amman.
masih di Amman - ada juga setinggan kan ?
Kami singgah di kedai yang menjual 'produk Laut Mati dan kraftangan' berhampiran sempadan Israel. Banyak produk yang dihasilkan seperti bahan pemutih dan pencuci muka, sabun serta wangian. Berada di luar kedai, kami didatangi beberapa orang kanak-kanak yang meminta sedekah, tinggal berhampiran kedai tersebut. Sewaktu hendak menaiki bas, semua beg besar mesti disimpan di dalam kedai tersebut. 'Saya dah salah faham rupanya', patutlah teman-teman sibuk memunggah beg semasa di airport Amman. Kata Ustaz Basil, beg besar akan melambatkan proses imigresen di sempadan Israel nanti. Cepat-cepat saya keluarkan sedikit pakaian dari dalam beg besar dan masukkan ke dalam dua buah beg kecil. Mujurlah teman-teman memahami. Ini bermakna, tiada beg besar di dalam perut bas. 
sekitar jam 8.30 pagi bas mula bergerak ke sempadan Israel dan tiba  lima belas minit kemudian.  Ahmad tinggalkan kami di situ untuk melalui proses imigresen Israel. Banyak orang namun saya tidak pasti apakah semuanya pelancong. Kami terus sahaja melepasi check point kerana tiada beg besar. Saya membelek-belek paspot, tiada apa-apa cop di situ. Yang ada hanyalah sekeping kertas kecil yang diselitkan di dalam paspot. Urusan imigresin kelihatan mudah sehinggalah dua orang ahli kumpulan kami ditahan untuk soal siasat. Puas juga menunggu. Lebih setengah jam. Kata mereka yang ditahan itu, tak ada buat apa-apa pun, cuma duduk di kerusi. Alhamdulillah tidaklah lama sangat. Pengalaman seorang sepupu saya pernah berada 4 jam di situ, sangat memenatkan katanya . Entah apa yang mereka tak puas hati tak tahulah. 
Tour guide orang Palestine, Tholib
Sekitar jam 10.40 pagi, segala urusan selesai dan kami disambut tour guide yang baru, orang Palestine. Tholib namanya dan fasih berbahasa Indonesia. Dia belajar bahasa itu selama tiga bulan di Jakarta. 'Banyak warga Indonesia yang memasuki Baitulmaqdis, terutama yang beragama Krisrian' jelas beliau lagi.
Bas yang membawa kami terus bergerak menuju Jurusalem melalui Allenby atau Jambatan Malik Hussein. Hampir satu jam perjalanan kami singgah di 'Nabi Mosa Mosque and Maqam'. Tholib menerangkan tentang perbezaan diantara 'maqam' dan 'kubur'. Maqam adalah satu tempat yang menandakan 'seseorang' pernah berada di situ tetapi kubur bermaksud ada 'jasad' yang dikebumikan. Lantas saya teringat tentang 'maqam' nabi Ibrahim di Masjid al haram. Maqam nabi Musa a.s ini bermakna tiada jasad di situ tetapi mereka gemar membuat binaan menyerupai kubur. Menurut Tholib lagi, Salehuddin Al Ayubi yang telah
Maqam nabi Musa as
mengesahkan tempat tersebut sebagai maqam nabi Musa a.s. Selesai mendengar penerangan oleh Tholib, saya melihat seseorang menghampiri tempat imam untuk memasang alat perakam azan. Sudah masuk waktu solat zohor rupanya dan saya melihat jam di tangan, 11.46 pagi. Ustaz Basil segera menghampirinya dan minta kebenaran untuk melaungkan azan. Rasa sedikit bangga di dalam hati kecil saya, punyalah ramai pengunjung. Suara seorang rakyat
khusyuk mendengar Tholib bercerita, selepas solat
Malaysia juga yang berkumandang di situ, seterusnya beliau jugalah yang mengimami solat zohor tersebut. Kemudiannya kami pun memasuki ruang makam nabi Musa a.s setelah kuncinya di buka. 

Selesai semua, kami menaiki bas menuju Jericho atau dipanggil juga 'Yericho' yang bermaksud 'bulan' untuk makan tengah hari. Jericho terletak berhampiran Sungai Jordan di Tebing Barat Palestine. Jericho yang terletak  di bawah paras laut merupakan kota tertua di dunia yang masih dihuni manusia sehingga ke hari ini. Pada tahun 2007, jumlah penduduknya telah mencapai 18,346 orang. Dari tahun 1949 sehingga 1967, Jericho di bawah Jordan. Namun selepas itu Jericho diambilalih oleh Israel dan pentadbirannya oleh Palestine. Para pengkaji arkeologi telah menjumpai 20 petempatan awal di Jericho di mana yang pertamanya adalah pada tahun 9000 BC, kira-kira 11,000 tahun yang lampau. 
Perjalanan seterusnya ke National Hotel di mana kami akan menginap selama
Palestine
dua malam. Kami tiba pada pukul 3.30 petang dan tidak punya banyak masa untuk berehat memandangkan waktu magrib adalah  5.47 malam. Terus ke bilik membersihkan diri dan bersiap untuk solat Magrib di Masjid Al Aqsa. Tholib menunjukkan arah jalan dan selepas itu dia terus pulang.

Baitulmaqdis merupakan kota paling suci bagi penganut agama Kristian serta Yahudi dan tempat ketiga paling suci bagi orang Islam.
Dengan berjalan kaki
laluan di dalam kota lama
meredah kedinginan malam di mana suhu ketika itu adalah 12 darjah celcius selama sepuluh minit dari hotel, kami memasuki 'Kota Lama baitulmaqdis' .Laluannya di bina daripada batu bukannya tar. Selama lima belas minit berikutnya ,kami seolah-olah berada di dalam satu kawasan yang asing, tembok yang memagari laluan tersebut memang tinggi yang dibina sejak kurun ke 15 lagi. Banyak simpang siur yang boleh menyesatkan jika tidak berhati-hati. Laluannya  tinggi rendah dan tidak sekata, ada sesetengah laluan dibina anak tangga. Namun laluan tersebut boleh
batu tergantung di dalam masjid Al Sakhra

dilalui oleh kereta dan motor tetapi sangat sempit. Tidak banyak kenderaan yang melaluinya, mungkin kepunyaan penduduk di situ sahaja.

Sampai di penghujung jalan, terdapat check point orang Palestine. Mereka sekadar bertanya dan kami katakan ke masjid al Aqsa.

Setengah jam perjalanan, barulah kami tiba di perkarangan masjidil al Aqsa. Terdapat dua buah masjid yang tersergam indah di situ iaitu masjid Al Sakhra dan Masjid Al Aqsa.

masjid al aqsa


Kami terus menunaikan solat Magrib di masjid Al Sakhra (Dome of The Rock) kerana azan telah pun berkumandang. 

Kedudukan kota ini hangat diperkatakan. Perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1949 diantara Israel dan Jordan menyebabkan kota ini terbahagi
berjubah hitam, imam masjid al aqsa
kepada dua. Baitulmaqdis Barat menjadi milik Israel manakala Baitulmaqdis Timur (
Kota Lama) menjadi milik Palestin. Sejak kemenangan Israel pada perang tahun 1967, Israel menguasai kesuluruhan kota tersebut dan menuntut hak kedaulatan undang-undang terhadap Baitulmuqaddis. Israel juga menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara tetapi pengisytiharan ini tidak
masjid al Sakhra
diiktiraf oleh masyarakat sedunia. Palestin juga menuntut supaya kesuluruhan Baitulmuqaddis ataupun sebahagian daripadanya yakni Baitulmuqaddis Timur menjadi ibu negaranya.
Saya amat bersyukur diizinkan Allah untuk berada di situ. Tempat di mana nabi Muhammad saw dibawa dari Masjidil Haram di Makkah ke masjid ini sebelum diangkat ke langit ketujuh (Sidratul Muntaha) dalam peristiwa Israk Mikraj. Kitab-kitab hadis menjelaskan bahawa nabi Muhammad saw mengajarkan umatnya untuk menghadap kiblat  ke masjid al Aqsa ketika bersembahyang selama 17 bulan selepas penghijrahan. Setelah wahyu diturunkan ( surah Al Baqarah, ayat 148 ) , kiblat tersebut dihadapkan ke masjid al Haram sehinggalah sekarang.
Selesai solat Isya', kami pulang ke hotel kerana keletihan mula terasa. Lagi pun
di dalam masjid al aqsa
ada agenda yang lebih menarik keesokan harinya.

15 Mac, Ahad ( Hari ketiga )
Bersarapan pagi di hotel dan kami menaiki bas pada jam 8.00 pagi. Tempat yang dituju adalah Hebron bagi menziarahi masjid Khalilulrahman Nabi Ibrahim as dan makam beliau juga makam nabi Ishak dan isterinya Rifqah. Semasa di pintu masuk, semua beg
maqam nabi Ishak as
pengunjung di'scan' tetapi tidak beg kami sebaik mengetahui kami dari Malaysia. Saya sempat melihat bagaimana seorang askar Israel menangkap seorang kanak-kanak lelaki yang cuba menghampiri kumpulan kami untuk meminta sedekah. Budak tersebut disuruh balik ke rumah, barangkali.

Selepas itu kami terus ke Bethlehem, tempat kelahiran nabi Isa as yang terletak di dalam Gereja Nativity. Pintu masuknya yang kecil menyebabkan sesiapa yang melaluinya perlu menundukkan kepala . Itulah pertama kali dalam hidup saya
maqam saiditina Rifqah
isteri nabi Ishak
melangkahkan kaki ke dalam sebuah gereja. Kelihatan juga kumpulan penganut kristian sedang melakukan upacara keagamaan mereka di situ. Kami dinasihatkan supaya tidak bercakap-cakap, bimbang menggannggu mereka. 

Kami menaiki bas semula menuju ke Bukit Zaiton atau Mount of olive. Sepanjang perjalanan, saya perhatikan kumpulan remaja yang sedang berjalan-jalan sambil berbual di mana mereka mungkin terdiri daripada penganut agama Islam, Kristian dan Yahudi. Saya terkejut bila diberitahu yang mereka juga bersekolah di sekolah yang sama. Terdapat juga sebuah perkuburan penganut Yahudi di mana kelihatan seperti botak-kotak yang bersusun rapi. Terdapat juga sebuah gereja mereka yang salib atas bangunannya dibina daripada emas.
Semasa melalui pintu masuk, seorang askar Israel (berasal dari Russia, beritahu Tholib) menahan dan menaiki bas katanya untuk memeriksa paspot kami.
di dalam gereja Navity
tempat kelahiran nabi Isa
Saya berdoa moga Allah mempermudahkan segala urusan kerana kami berempat tertinggal paspot di bilik hotel. Mujurlah sebaik askar tersebut melihat paspot dua orang teman saya, dia berpuas hati lalu turun. Tak tahulah saya kalau ditakdirkan dia meminta paspot saya....Allah sahaja yang tahu debaran hati saya ketika itu.
Sebelum meneruskan acara seterusnya, kami singgah makan di restoran orang Indonesia. Barulah berselera sedikit. Kata Tholib, orang Indonesia beragama kristian merupakan antara pelancong yang banyak ke situ pada setiap tahun.
Kemudian kami singgah di atas bukit untuk bergambar dengan
laluan ke bawah tanah masjid al aqsa
berlatarbelakangkan Dome of The Rock dan Kota Lama. Gambar tersebut akan dijadikan 'fridge magnet ' sebagai kenangan buat semua ahli kumpulan kami. Seterusnya kami singgah melawat makam sahabat nabi saw iaitu Salman Al farisi dan wali Allah Rabi'atul Adawiyah. Agak menyedihkan kerana masjid yang menempatkan makam sahabat tersebut tidak dijaga kebersihannya. Berbeza dengan masjid-masjid di negara kita yang sentiasa terutama di bahagian ruang solat.

Sesampai di hotel malam itu saya tidak ke masjid kerana terlalu letih. Selepas makan dan bersolat di bilik hotel, saya terus tidur.


16 Mac, Isnin  Hari keempat )
bahagian lekukan , tempat nabi saw berdiri
Seperti yang dijanjikan, kami keluar pada pukul 8.00 pagi. Berjalan kaki menuju ke Masjid Al Sakhra. Tholib menceritakan tentang perjalanan Israk mikraj nabi saw . Seterusnya kami menuruni anak tangga yang sempit menuju ke suatu ruang seperti gua. Dinding, lantai dan bumbungnya terdiri dari batuan yang keras berwarna hitam. 
Menoleh ke bahagian tepi dinding tersebut adalah 'batu tergantung' atau 'Dome of the Rock' yang dikatakan sangat ingin mengikut nabi saw dalam peristiwa Israk Mikraj tetapi tidak dibenarkan oleh Allah swt. Namun

binaan telah dibuat menjadikan batu tersebut seolah-olah melekat pada dinding 'gua' tersebut. Tholib menunjukkan pula bahagian bumbung 'gua' yang melengkung kerana di situlah nabi saw menunaikan solat dalam peristiwa israk Mikraj. 

Kami menuju ke satu bahagian dengan menuruni beberapa anak tangga yang sempit. Kami juga ke tempat yang dikatakan terdapatnya batu tergantung atau Dome of the Rock
'tembok meratap' atau the wailing wall

yang dikatakan sangat ingin mengikuti nabi saw dalam peristiwa Israk Mikraj. Namun binaan telah dibuat menjadikan batu tersebut seolah-olah melekat sahaja di dinding. Kami seolah-olah berada di dalam sebuah gua kecil di dalam masjid Al Sakhra kerana berbumbung dan berdindingkan batu. Terdapat juga satu bahagian atas (bumbung gua tersebut) yang kelihatan melengkung, tempat di mana nabi saw bersolat. 

Kemudiannya kami terus ke masjid Aqsa, menuruni beberapa anak tangga ke bahagian bawah tanah yang sangat luas. 
Kami ke tempat ibadat orang Yahudi yang dipanggil 'The Wailing Wall' atau
gelagat kaum yahudi
'Tembok Meratap'. Dipintu masuknya, terdapat pemeriksaan yang agak ketat di mana askar israel memeriksa paspot dan barang yang dibawa. Kami dibenarkan merakam gambar tetapi jangan terlalu fokus kepada seseorang atau aktiviti mereka, begitu pesan Tholib. Bimbang akan mendatangkan kemarahan.

Kami hanya memerhati dari jauh kerana kawasan tersebut berpagar. Saya melihat bagaimana tempat tersebut mengasingkan  laki-laki
sekitar penempatan kaum yahudi
dengan perempuan di mana mereka menganggap darjat orang laki-laki adalah lebih tinggi daripada wanita.

Semua penganut Yahudi sibuk mencium dinding sambil meratap tangis dosa-dosa mereka barangkali. Hampir kesemua mereka memakai pakaian berwarna hitam, sama ada bertopi atau 'berkopiah kecil'. Di satu bangunan pula terdapat ayat yang tertulis 'Colel Chabad, free kitchen for the needy'. Makanan percuma untuk yang memerlukan, begitu andaian saya.
Sepanjang berada di situ, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya. Sedih,
Gunung zaiton (Mount of Olive)
berlatarbelakangkan kota lama
marah dan bimbang semua nya datang bersilih ganti. Mengenangkan penderitaan rakyat Palestin, hati terasa sebak. Melihatkan kegembiraan anak-anak Yahudi yang berkeliaran di sekitar tempat tersebut, hati dipaut sayu kerana mereka seolah-olah telah merampas kebahagiaan anak-anak Palestine. Jauh di sudut hati, ada tangisan yang tidak dizahirkan. Tak sanggup berlama di situ, kami terus mengorak langkah meninggalkan daerah yang dipenuhi kaum Yahudi laknatullah itu.

Kami terus mendapatkan bagasi yang ditinggalkan di lobi hotel, menaiki bas menuju ke sempadan. Banyak kenangan untuk dibawa pulang.
singgah sebentar sewaktu menuju ke Petra

Sebaik menghampiri sempadan, jam menunjukkan pukul 11.30 pagi. Tanpa sebarang alasan kukuh petugas di sempadan meminta bas kami berhenti di tepi jalan dan menunggu. Tholib sendiri tidak pasti mengapa. Namun setengah jam kemudian, kami dibenarkan masuk. Tholib uruskan sampai di pintu imigresin sahaja sebelum dia pulang meninggalkan kami.
Seorang petugas Israel mengeluarkan bagasi yang kami simpan di dalam perut bas, meletakkannya di dalam troli besar dan dibawa pergi. Untuk di scan, katanya. Baru saya perasan, semasa memasuki Israel tempoh hari, semua bagasi kami di simpan di dalam bas untuk mengelakkan proses 'scanning' yang mungkin mengambil masa. Nampaknya kami dah tersilap langkah, fikir saya.
Kami minta Basir, guide dari Malaysia supaya mohon bagasi kami dipulangkan tanpa 'scanning'. Mujurlah mereka benarkan, tetapi tak tahulah saya berapa pula yang dihulurkan
bandar Petra dari bilik hotel
....barulah kami dapat melepasi kaunter imigresin dengan cepat.

Melepas sempadan Israel, barulah terasa aman dan kami disambut pula guide dari Jordan, Ahmad. Berhenti sebentar di kedai yang menyimpan bagasi kami  dan terus ke restoran, makan tengah hari.
Sepanjang perjalanan kami dapat melihat kecantikan Laut Mati di sebelah kanan namun tidak menghampiri. Sekadar berhenti untuk merakam gambar.
Kami juga melalui 'Kerak castle' atau 'Salahuddin Al Ayubi Castle' yang mula
Salahudin al Ayubi Castle
dibina pada tahun 1140 dan disiapkan pada tahun 1189. 

Selain itu di sebelah kiri juga kelihatan batuan yang menggunung tinggi dalam pelbagai bentuk dan rupa, berwarna coklat kemerahan. Diukir oleh penduduk pada zaman itu. 
Sepanjang perjalanan menuju ke hotel, kami menyaksikan pemandangan yang pelbagai. Banyak rumah-rumah penduduk yang kelihatannya seperti separuh siap dengan bahagian paling atas masih
kota Petra
terdapat cerucuk. Kata Ahmad, biasanya bahagian atas rumah akan ditambah sekiranya anak mereka telah berkahwin dan tinggal bersama.

Tidak banyak pokok yang kelihatan. Sejauh mata memandang, hanya bukit-bukit yang dipenuhi tumbuhan renek atau tumbuhan gurun. Lewat petang kami tiba di Hotel Al Amra Palace yang terletak di Petra, Jordan. Kami tinggalkan bagasi dengan tag nombor bilik yang diserahkan oleh Ustaz Basil untuk diuruskan oleh pihak hotel. Makan malam di situ memang mengujakan. Berpuluh-puluh jenis
menu yang disediakan mengikut citarasa arab. Ada yang saya suka, ada yang tidak terutamanya jenis-jenis jeruk yang masam sehingga meloyakan tekak.
Walau bagaimana pun, pilihan nasi adalah yang terbaik bersama-sama ayam dan juga kambing serta pelbagai jenis sayuran mentah. Alhamdulillah.
Selesai makan malam, terus sahaja ke bilik untuk membersihkan diri sebelum merehatkan badan. keletihan yang teramat sangat.

17 Mac, Selasa ( Hari kelima )
Bersarapan di hotel sebelum merakamkan gambar di persekitaran. Cuaca masih sejuk dan memerlukan kami memakai 'sweater'. Pukul 9.00 pagi bas bergerak menuju ke kota Petra
Saya terkejut apabila mendapati tiket masuk adalah JOD (Jordan dinar) 50 atau RM 316. Kami diberi pilihan untuk melalui kota Petra tersebut - berjalan
kaki , berkereta kuda atau menunggang keldai. Ada ahli kumpulan yang menaiki kereta kuda tetapi saya sekeluarga dan ramai lagi lebih suka berjalan kaki bersama-sama tour guide, Ahmad.
Petra bermakna 'batu' dalam bahasa Yunani merupakan sebuah kawasan arkeologi yang terdiri dari batuan yang dipahat atau diukir oleh penduduk pada zaman itu. Kami seolah-olah melalui satu kawasan yang dilindungi oleh gunung ganang berwarna merah tanah. Sesekali terdapat cahaya matahari yang mencuri masuk melalui lubang bila mana gunung tersebut berjarak sedikit. Di sepanjang kiri dan kanan laluan pula merupakan sistem saliran yang dipahat dengan begitu teliti sekali. 
Saya mengagumi senibina manusia zaman itu, cantik dan pastinya mereka hebat. Batuan gunung yang sangat tinggi dan besar itu adalah kediaman mereka, jelas kelihatan lubang dan ruang serta laluan atau tangga yang berukir.
Kalau disuruh saya mendakinya, belum tentu saya mampu. Batu gunung tersebut pastinya sangat keras kerana selepas ribuan tahun pun ianya masih teguh berdiri. Itulah kekuasaan dan kebesaran Allah swt. Dia yang mengekalkan binaan tersebut agar boleh menjadi pengajaran buat umat akhir zaman. Subhanallah.
Dikhabarkan bahawa pembinaannya bermula pada tahun 312 sebelum masehi namun hanya ditemui sekitar tahun 1812 oleh seorang pengembara
dari Swiss bernama Johann Ludwig Burckhardt . Beliau menggelarnya sebagai 'sebuah kota mawar merah yang antik'
Pada 6 Disember 1985, UNESCO telah mengistiharkannya sebagai 'satu warisan Dunia' kerana ianya merupakan 'peninggalan kultural yang paling penting dalam peradaban manusia'. Majalah 'Smithsonian' pula mengganggap kota Petra sebagai satu daripada 28 tempat yang harus dikunjungi sebelum meninggal dunia.
Banyak cendekiawan muslim menyamakan kisah kaum Tsamud dengan
Add caption
sejarah 
Petra, sesuai dengan kisah mereka yang hidup di dalam batu-batuan cadas untuk dijadikan tempat tinggal. 

Kaum Tsamud hidup sezaman dengan nabi Salleh dimana mereka adalah penyembah berhala dan enggan mengakui kewujudan Allah. 
Dengan menunjuk kepada binatang yang baru keluar dari perut batu besar itu berkatalah Nabi Saleh kepada mereka: " Inilah dia unta
Allah, janganlah kamu ganggu dan biarkanlah dia mencari makanannya sendiri di atas bumi Allah, dia mempunyai giliran untuk mendapatkan air minum dan kamu mempunyai giliran untuk mendapatkan minuman bagimu dan bagi ternakanmu juga dan ketahuilah bahwa Allah akan menurunkan azab-Nya apabila kamu mengganggu binatang ini." Kemudian berkeliaranlah unta di ladang-ladang memakan rumput sesuka hatinya tanpa mendapat gangguan dan ketika giliran
minumnya tiba pergilah unta itu ke sebuah perigi yang diberi nama perigi unta dan minumlah sepuas hatinya. Dan pada hari-hari giliran unta Nabi Saleh itu datang minum, tiada seekor binatang lain berani menghampirinya, hal mana menimbulkan rasa tidak senang pada pemilik-pemilik binatang itu yang makin hari makin merasakan bahwa adanya unta Nabi Saleh di tengah-tengah mereka itu merupakan
paling kiri adalah Ahmad, guide orang Jordan
gangguan laksana duri yang melintang di dalam kerongkong.
Mereka bersepakat untuk membunuh unta-unta tersebut. Lalu Allah membinasakan kaum Tsamud dengan halilintar yang dahsyat serta gempa bumi yang mengerikan sehingga tiada lagi keturunan mereka yang tinggal.
Begitulah cerita yang disampaikan. , Kota tersebut juga dijadikan
penggambaran episod terakhir 'Indiana-Jones, The Final crusades'.
Selepas 2 km berjalan kaki, kami tiba di 'Pintu gerbang' yang masih teguh
Mousa's Spring Pazar
berdiri. Saya membayangkan kaum Tsamud yang besar dan tinggi berdasarkan pintu tersebut. Di situ juga masih terdapat satu kawasan bertingkat seperti 'ampitheather'. Kami berehat sebentar kerana harus melalui jarak dan jalan yang sama untuk pulang. 'Memang berbaloi dengan apa yang telah saya bayar', begitu saya berkata pada diri sendiri. 

Selepas 3 jam, kami semua menaiki bas semula. Ada tempat menarik lagi untuk dilawati.
Seterusnya kami singgah di 'Mousa's Spring Pazar' yang menurut riwayat, mata air tersebut telah wujud sejak zaman nabi Musa as. Pada asalnya  terdapat 12 mata air tetapi yang kekal sehingga kini hanya satu sahaja. Wallahualam.
bangunan Mousa's Spring Pazar


'Cave of the seven sleepers' merupakan satu gua dengan mempunyai kisahnya yang tersendiri. Kisah Ashabul Kahfi merupakan satu kisah benar mengenai beberapa orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua dan dibangunkan 309 tahun kemudian. 
Pemuda-pemuda beriman ini hidup pada masa Raja Decius dari Rom, beberapa ratus tahun sebelum diutusnya Nabi Isa a.s. Mereka hidup di tengah masyarakat penyembah berhala dengan seorang raja yang zalim. Demi menjaga iman, mereka
di dalam gua - terdapat tujuh kuburan
melarikan diri dari kota, dikejar oleh tentera raja untuk dibunuh. Hingga pada suatu ketika, sampailah mereka di mulut sebuah gua yang kemudian dipakai sebagai tempat persembunyian.

Bilangan pemuda yang sebenar adalah tidak diketahui, dan tidak menjadi kepentingan untuk berbahas mengenainya. Ada yang mengatakan 3, 5, 7, 8 termasuk seekor anjing. 
tulang pemuda-pemuda tersebut yang dikumpulkan,
 tiada jasad di dalam kuburan 
Firman Allah dalam Surah Al-Kahfi ayat 22, maksudnya;
  • Mereka akan berkata; Jumlah Ashaabul-Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka; dan setengahnya berkata: Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka, sebagai tekaan akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kelapannya anjing mereka. Katakanlah: Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit. Maka janganlah kamu berbahas mengenai mereka kecuali secara zahir, dan jangan kamu bertanyakan tentang mereka kepada seseorang pun dari mereka.
Menurut Ibn Abbas pendapat yang kuat iaitu tujuh orang dan yang kelapan termasuk anjing.
Dikatakan nama pemuda-pemuda tersebut adalah Tamlikha, Miksalmina, Mikhaslimia, Martelius, Casitius, Sidemius dan seorang pengembala kambing bersama anjingnya Qithmir.
Walau bagaimana pun, di dalam gua tersebut terdapat binaan kubur yang berjumlah tujuh
di dalam gua
kesemuanya. Dikatakan juga, tulang-tulang mereka telah dikeluarkan dan dikumpulkan di dalam satu lubang yang boleh dilihat melalui satu cermin yang ada.

Selesai kesemua lawatan, Ahmad menjanjikan kami makan malam yang istimewa bagi kebanyakan orang Jordan di sebuah restoran yang juga istimewa. 
Seperti biasa, nasi briani pasti ada. Ayam yang dipanggang dengan rempah ratus khas menambah keenakannya. Selain itu, pelbagai jenis sayur, sausage daging dan buah-buahan. Terlalu banyak sehingga tidak termakan kesemuanya. Untuk mengelakkan pembaziran, Ahmad meminta staff restoran tersebut membungkus baki makanan terutamanya ayam serta buah-buahan lalu menyerahkannya kepada kami. 'Kalau lapar boleh makan' kata Ahmad .
Kami terus dihantar ke  Queen Aliaa International Airport kerana penerbangan seterusnya adalah pada jam 9.00 malam menuju ke Jeddah. Benar seperti yang Ahmad kata, kami memakan ayam bakar dan buah-buahan yang dibekal oleh pihak restoran semasa di dalam bas menuju ke airport yang mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit.
Sekitar jam 12.00 tengah malam, pesawat mendarat di Lapangan Terbang antarabangsa Jeddah.
Suami dan anak laki-laki saya menaiki bas dahulu kerana tempat duduk kami yang terpisah jauh. Apabila saya menaiki bas dan dibawa ke 'Hajj terminal', Ustaz Basil memaklumkan bahawa bas yang membawa sebahagian ahli kumpulan kami telah pergi ke 'North Terminal'. Rasa bimbang mula menghantui kerana paspot suami ada di dalam beg tangan saya.
Kami di Hajj Terminal pula terpaksa menunggu sehingga jam dua pagi untuk melepasi urusan imigresin dan mengambil bagasi. Masalah timbul lagi. Sebahagian bagasi kami telah dibawa ke North Terminal. Saya lupakan sementara masalah paspot suami kerana saya percaya beliau pandai 'handle problem' . Kebanyakan kami hanya mendapat sebahagian bagasi dan berharap selebihnya akan dapat diperolehi di North terminal. Keadaan tersebut benar-benar menguji kami. Sebenarnya jauh di sudut hati, saya masih tertanya-tanya mengapa bagasi serta penumpang dari satu pesawat dihantar ke dua terminal yang berlainan. Saya tak faham bagaimana  bagasi dan penumpang pesawat diuruskan. Walau bagaimana pun saya terima segalanya sebagai sebahagian 'ujian' untuk saya menuju ke rumah Allah.
Kemudian Ustaz meminta kami menaiki bas ke North terminal . Sampai di sana, saya bersama Ustaz Basil menceritakan tentang perihal suami saya dan paspotnya kepada seorang pegawai di airpot. Mengejutkan, bila saya dimaklumkan yang suami saya di dalam perjalanan ke Hajj terminal menaiki bas airport. Saya tak faham bagaimana 'miskomunikasi' ini boleh berlaku. 
Sementara itu, ustaz pula cuba bertanyakan tentang bagasi beliau yang masih belum diperolehi sedangkan kami semua berjaya mendapatkan bagasi masing-masing. Hampa - begitu reaksi ustaz. Bagasinya tiada di terminal tersebut.
Tiada pilihan, kami semua menaiki bas berpatah balik ke Hajj terminal untuk mencari suami saya disamping untuk cuba mencari bagasi ustaz sekali lagi. Alhamdulillah- dengan izin Allah, kami temui dia sedang menunggu di dalam satu bilik kecil berhampiran kaunter imigresin. Katanya ada seorang staf (Indonesia) yang menolongnya, maklum dia tak boleh berhasa arab. Memang meletihkan. Selesai hal suami saya, ustaz ke kaunter  'bagasi yang tidak dituntut'. Puas membelek dan mencari, akhirnya dia terpaksa akur bahawa bagasinya tidak dapat dikesan. Pihak airpot akan menghubunginya kemudian, begitu janji mereka.

18 Mac, Rabu ( Hari keenam )
Disebabkan masalah-masalah tersebut, maka kami tiba di hotel Ansar Golden sekitar jam 9.00 pagi. Sarapan pagi masih ada berbaki. Keletihan yang amat sangat menyebabkan kami semua terus ke bilik masing-masing sebaik kunci diserahkan.
Disebabkan kesemua ahli kumpulan kami kebanyakannya pernah menjejakkan kaki di bumi Madinah itu memudahkan kerja ustaz barangkali. Masing-masing bergerak sendiri untuk solat di Masjid Nabawi yang hanya 100 m sahaja jaraknya. Begitu juga dengan saya dan keluarga. Ada masa kami menghabiskan masa berjalan-jalan di persekitaran masjid sambil memerhati gelagat manusia. Seperti biasa, orang sentiasa ramai. Selesai solat, para penjual mula membuat bising untuk mempromosikan barang jualan mereka. Semuanya ada - jubah, tudung, pelbagai cenderahati, kasut, selipar dan macam-macam lagi. Kadang-kadang kami ke kiosk yang menjual makanan, mencuba kebab yang pelbagai. 
Sekitar jam 9.00 malam, saya bersama anak perempuan menuju ke Maqam nabi saw atau Raudhah. Bagi orang perempuan, ziarah Raudhah hanya boleh dilakukan pada masa-masa yang telah ditetapkan sahaja, berbanding orang laki-laki. Mereka boleh ke Raudhah pada bila-bila masa sahaja.
Untuk sampai ke Raudhah,kami perlu berkumpul dan menunggu giliran. Orang Malaysia dan Indonesia di dalam kumpulan yang sama. Orang Turki dan arab yang lain, satu kumpulan. Sementara orang india pula di dalam kumpulan yang lain. Hampir satu jam menunggu, akhirnya hajat kami dikabulkan. Sukar untuk digambarkan apa yang saya rasa saat itu. Melihat gelagat orang-orang arab yang meratap tangis membuatkan hati rasa terkilan. Tambahan pula saya tidak memahami apa yang sedang mereka ratapkan, sejujurnya saya kurang senang dengan keadaan tersebut. Jauh disudut hati, saya juga turut merasa sedih bila terkenangkan cerita tentang usaha nabi saw sewaktu ingin menegakkan agama Islam. 
Saya dan anak cuba mencari ruang untuk melakukan solat sunat walau pun orang sangat ramai dan berasak-asak.

19 Mac , Khamis ( Hari ketujuh )
Kami berkumpul pada jam 7.30 pagi di lobi hotel selepas bersarapan pagi. Banyak tempat untuk diziarahi. Antaranya adalah Masjid Quba, Masjid Tujuh, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan bazaar kurma. Walau pun telah beberapa kali saya mengunjungi tempat-tempat tersebut (semasa umrah yang terdahulu), namun hati ini tetap ingin menjejakkan kaki lagi.
Masjid Quba merupakan masjid tertua di dalam dunia. Batu asasnya diletakkan oleh baginda nabi saw sebaik tiba semasa penghijrahan beliau dari kota Mekah. Baginda pernah bersabda 'barang siapa yang mengambil wuduk di rumah, kemudiannya bersembahyang di masjid Quba maka orang itu akan dianugerahkan pahala seumpama menunaikan umrah'. hadith riwayat Ahmad Ibn Hanbal, Al Nasa'i, Ibn Majah dan Hakim al-Nishaburi.
Masjid Qiblatain mula-mula dikenal dengan nama masjid Bani Salamah, karena masjid ini dibangun di atas bekas rumah Bani Salamah. Masjid yang terletak di atas bukit kecil di utara Harrah Wabrah, Madinah, itu bernama Masjid Bani Salamah. Masjid ini terletak sekitar 7 kilometer dari Masjib Nabawi di Madinah. Pada permulaan Islam, orang melakukan solat dengan menghadap kiblat ke arah Baitul Maqdis (nama lain Masjidil Aqsha) di Yerussalem/Palestina. Pada tahun ke 2 Hijrah hari Isnin bulan Rejab waktu zohor di masjid Salamah ini, tiba-tiba turunlah wahyu surah Al Baqarah ayat 144. Dalam solat tersebut mula-mula Rasulullah saw menghadap ke arah Masjid al Aqsa tetapi setelah turun ayat tersebut , beliau menghentikan sementara, kemudian meneruskan solat dengan memindahkan arah kiblat menghadap ke Masjidil Haram.
Jabal Uhud, adalah gunung yang sangat mencintai dan dicintai Nabi Muhammad saw. Uhud yang ertinya penyendiri, diziarahi nabi setiap tahun. Jamaah akan dibawa menziarahi makam para syuhada antaranya sayidina Hamzah. Jasadnya tetap utuh dan tidak hancur dimakan tanah.
Bazaar kurma biasanya menjadi tumpuan para isteri untuk mendapatkan pelbagai jenis kurma, coklat, kacang dan macam-macam lagi untuk dibawa pulang ke tanah air. Pokok-pokok kurma semuanya tidak berbuah. Tidak seperti kedatangan saya pada bulan Ogos tahun 2012 dahulu, semua pokok kurma sedang berbuah lebat.
Selesai semua urusan, kami bertolak pulang dan tiba sebelum waktu zohor.
Pada sebelah petangnya, saya bersama suami dan anak-anak berjalan-jalan di persekitaran masjid Nabawi. Mengelilingi masjid tersebut, memang menjadi kegemaran saya dan suami setiap kali ke Madinah. Seterusnya ingin ke makam al baqi yang merupakan kompleks pemakaman Islam pertama dan tertua di kota Madinah. 
Hajat untuk menziarahinya tidak kesampaian kerana laluan ke maqam baqi telah ditutup. 'Dah lewat petang' kata petugas di situ. Namun saya tidak terkilan kerana telah beberapa kali menziarahinya pada masa-masa terdahulu ( 1995, 2005 dan 2012 )
Sekali lagi selepas makan malam, saya berjalan sendiri ke masjid tanpa ditemani sesiapa. Hajat hati hanya satu, untuk ke Raudhah. Sepanjang jalan, saya terus berdoa moga dipermudahkan segala urusan. Seperti biasa saya harus menunggu mengikut giliran. Saya melihat bagaimana empat orang wanita (bukan orang Malaysia) yang dihalau oleh petugas masjid kerana cuba menyelinap di dalam kumpulan orang lain. Malunya hanya Allah yang tahu kerana semua orang memandang ke arah mereka sambil ada yang berbisik-bisik sesama sendiri. Itulah sebahagian gelagat manusia yang dapat dilihat. 
Akhirnya giliran saya pun sampai. Dalam kesesakan itu, sempat pula saya terpandang kearah seseorang yang sangat saya minati - Dian P.Ramlee. Namun keadaan itu berlalu begitu sahaja kerana semua orang sibuk, begitu juga saya dan Dian. Semua orang sedang berdoa dalam keadaan yang sangat sesak. Tolak menolak menjadi perkara biasa lalu perasaan marah itu dibuang ke tepi. Setiap kali ke Raudhah, hati di himpit rasa sayu yang sukar untuk diungkapkan. Inilah manusia yang paling hebat dan menjadi kekasih Allah swt.

20 - 25  Mac ( Hari kelapan - ketiga belas )    
Kami menurunkan bagasi di lobi . Pada sebelah paginya, saya dan anak
dalam pembinaan
perempuan ke Raudhah sekali lagi. Kali ini di bimbing seorang ustazah muda, orang Thailand. Keadaan kurang sesak dan kami sempat melakukan solat sunat di situ. 
Selepas solat jamak pada tengah hari itu, kami makan tengah hari sebelum bertolak ke Mekah. Kami singgah di Bir Ali untuk berniat dan berihram. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar seperti mana yang kami rancangkan.
Sampai di Mekah, kami mendaftar masuk di hotel Taj Al Khalil yang jaraknya 300 m dari masjid. Kali ini berlaku perubahan besar kerana masjidil haram sedang melalui fasa penambahbaikan. Laluan yang dibenarkan ialah pintu King Fadh. Ada lencongan di merata tempat menyebabkan pergerakan menjadi sukar. Walau bagaimana pun dengan izin Allah, segalanya dapat di atasi. Kami berjaya melaksanakan umrah sebanyak 3 kali. 
Perkara biasa yang berlaku adalah kehilangan selipar. Kali ini saya hilang 3 pasang selipar....apa nak buat. Laluan sementara tawaf di tingkat tiga sering menjadi pilihan kami kerana agak kurang sesak berbanding laluan di sekitar Kaabah.
Sebelum ke lapangan terbang Jeddah, kami singgah di masjid terapung untuk solat dan makan tengah hari (bekalan). Sebelah petangnya terus ke airport kerana pesawat Oman Air bertolak pada jam 8.00 malam. Seperti sebelumnya, kami harus transit di Muscat sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tanah air.
Tiba di KLIA sekitar jam 1.00 petang pada 26 Mac 2015, banyak kenangan dan pengalaman yang kami bawa pulang. Suka duka bersama teman-teman di dalam satu kumpulan akan kekal dalam ingatan. Segalanya menjadi kenangan abadi hingga ke akhir hayat. Terima kasih Allah atas anugerah ini - kesihatan dan rezeki yang mengizinkan kami menjadi tetamu mu ....


*****Alhamdullillah*****


muzium sejarah - mekah & Madinah

jabal rahmah - pertemuan Adam & Hawa

ladang unta - cuba susu unta
Ustaz Basil - pergi jalan kaki, balik naik kuda.

Diushakan  oleh orang Sudan