Thursday 3 July 2014

INDIA - KASHMIR & TAJMAHAL


(#Terperangkap dalam transportation strike di Kashmir....menakutkan)

24 - 30 DISEMBER 2010

Kehebatan cinta Shah Jahan dan keindahan bumi Kashmir benar-benar menggamit kehadiran kami di penghujung tahun itu. Tiket
LCCT
penerbangan Airasia telah saya beli pada bulan Mac 2010 kerana ada 'offer'. Sekitar bulan Oktober, saya uruskan pula 'ground arrangement' bersama TM Tours & Travel. Terima kasih kepada En. Essam kerana menguruskannya.

24 Dis ( Jumaat )
Hari Pertama
Kami berada di LCCT pada pukul 1.00 petang-macam biasa, sembahyang dan makan sebelum menaiki pesawat. Tepat jam 4.00 petang, pesawat meninggalkan LCCT. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 5 jam.

Indira Gandhi International Airport
Kami selamat mendarat di Indira Gandhi International Airport pada pukul 7.10 petang waktu tempatan   (9.10 malam waktu Malaysia).Selesai urusan imigresen, kami terus keluar dan disambut oleh wakil Magadh Travel.

'Welcome  to India', kata wakil Magadh Travel sambil memakaikan kami kalungan bunga tahi ayam. Pertama kali disambut begitu, rasa sangat dihargai !
Di dalam coaster ke Bonlon Inn
Banyak negara yang telah dilawati tetapi tiada pulak mendapat kalungan bunga .Saya senyum sendiri, bahagia.

Terus di bawa ke Bonlon Inn yang jauhnya 15 km. Jalan sesak. Di kawasan belukar kelihatan sekeluarga sedang tidur, dengan pakaian bergantungan. Mengerekot mereka kerana menahan kesejukan, selimut yang ada belum cukup untuk memanaskan badan.Kasihan anak-anak kecil. Tiba-tiba rasa sedih bertamu...  Lebih sejam, barulah kami sampai. Masa nak masuk bilik, sampai tiga orang nak tolong bawa beg pada hal ada dua sahaja beg besar. Mereka nak tips! 

Kami keluar  melihat-lihat keadaan persekitaran . Banyak gerai-gerai kecil yang kotor dan tidak terurus. Terasa sangat dingin kerana suhu pada waktu itu adalah 6 darjah celcius. Kami pulang ke bilik kerana keesokannya perlu meneruskan perjalanan ke Kashmir dengan 'domestik flight'. Memang tak sabar ....

25 Dis ( Sabtu )-Hari Kedua
Selesai sarapan, sementara menunggu coaster untuk ke airport, kami jalan-jalan lagi. Banyak orang menjual sayur. Melalui kawasan pembinaan pula, saya menyaksikan buruh-buruh wanita dan kanak-kanak. Dengan memakai sari, wanita-wanita tersebut membawa bata di atas kepala.... Ada pulak orang yang berjualan. Katanya sebiji kuih dan air teh susu harganya 10 rupee. Atas tanah sahaja pun...memang tak lalu.  Bergambar je lah....
Macam-macam sayur, tapi tak tersusun

Posing sikit bang.....
Check in untuk ke Srinagar Airport
Sebenarnya tiket penerbangan juga telah dibeli secara online. Kami menaiki Kingfisher Airlines pada jam 1.00 petang dan tiba pada jam 2.20 petang di Srinagar Airport. Semasa di dalam penerbangan kami telah dapat menyaksikan keindahan bumi Kashmir, putih bersih kerana dilitupi salji.

Sampai di Srinagar airport, banyak pulak borang yang kena isi. Penat jugaklah dibuatnya. Sebaik keluar, kami disambut Muzaffar-wakil dari agen Deluxe House Boat. Diperkenalkan pula dengan pemandu MPV dan terus dibawa menuju ke house boat. Sepanjang perjalanan , terasa seolah-olah berada di zaman 60an. Tiada pembangunan di situ. Tiada bangunan tinggi apatah lagi pencakar langit. Di atas bumbung bangunan
pula kelihatan banyak askar sedang berkawal. Tiba-tiba saya rasa takut - teringat pulak tentang pelbagai jenis kekecohan yang berlaku. Maklum, Kashmir dianggap bumi bergolak. Namun saya bertawakkal, kerana tujuan kami hanyalah untuk melihat keindahan bumi ciptaan Allah di situ!

Sampai di jeti, kami menaiki 'shikara' -sejenis bot panjang tanpa enjin dan dihias indah . Mengharungi tasik Naqin untuk ke Gurkha House boat. Air tasik kelihatan kotor, tak sanggup rasanya kalau disuruh berenang.

Dari jauh kelihatan ratusan houseboat di gigi air. Cantik-cantik belaka. Gurkha
Verandah houseboat
houseboat kepunyaan Mr Ashraf, ada tiga sahaja. Sebuah houseboat berharga hampir RM 200 000, bergantung kepada jenis ukiran. Biasanya mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. Kita boleh ke sana melalui jalan air atau darat.


Houseboat kami mempunyai tiga bilik, bermakna sebuah bilik lagi kosong kerana tiada pelancong. Saat menjejakkan kaki di situ, saya amat terpegun dengan ukiran yang ada.
Menjamu selera memang sedap ...
Daripada perabot hinggalah dinding- semuanya berukir.


Musim dingin begini kurang pelancong, kata Muhammad the housekeeper. Sebuah lagi houseboat pun ada dua orang Inggeris sahaja , datang untuk mencari ilham menulis. Katanya mereka nak tinggal dua minggu ! 

Makan tengah hari disediakan walau pun agak lewat. Dilayan macam raja... Muhammad berdiri di tepi, tetapi saya minta dia pergi. Janggal pulak rasanya kalau dia tengok kita makan. Orang berjanggut panjang , berusia awal empat puluhan. Dia tinggal di houseboat sementara keluarga di
Hadapan rumah Mr Ashraf
kampung. Dua jam perjalanan katanya. Dia tidak memasak. Tukang masak berada di houseboat lain. Dia hanya perlu mengambil makanan dan menghidangkannya kepada kami. Kami dijamu dengan nasi bryiani original - bersama lauk ayam dan kambing.... sedapnya hingga tak terkata

Suhu di Srinagar jauh lebih rendah. Sebelah malamnya adalah -10 darjah celcius tetapi salji belum turun lagi.


mr Ashraf  bercerita tentang keaslian karpet

Bilik tidur houseboat
Selepas makan, tiada apa-apa agenda. Kami hanya berjalan-jalan di persekitaran melalui jalan darat. Selepas magrib, kami ke rumah Mr Ashraf. Dia menguruskan perniagaan karpet buatan tangan. Harganya boleh mencecah ribuan ringgit dan di eksport ke merata negara. 

Kami hanya melihat-lihat sahaja, lagi pun kami bukannya nak beli karpet. Tak mampu. Sehelai karpet biasa pun berharga USD 2000. Tak payahlah kata saya. Lupakan! Selain karpet, ada juga pashmina - tapi semuanya mahal.

26 Dis(Ahad)-Hari Ketiga
Di dalam houseboat,  heater elektrik hanya di katil.Yang lainnya menggunakan gas dan kayu. Muhamad pula akan pastikan heater di katil di 'on' lebih awal - supaya kami tidak kesejukan. Bayangkan kami terpaksa memakai baju tebal semasa tidur. Kaki pula sentiasa berstoking kerana lantai kayu houseboat tersangat sejuk. Azan subuh berkumandng sangat jelas, jadi senang nak bangun.

Pilih bat untuk di bawa pulang
Sarapan pagi dengan roti dan capati. Cicah kuah dal, original kari yang sedap ! Saya memerhati air tasik Naqin yang berkaca-kaca.Permukaannya seolah-olah ditutupi satu lapisan cermin yang nipis dan jernih . Cantik dan mengasyikkan. Jam sembilan pagi, Muzaffar datang menjemput. 
Destinasi kami adalah Pahalgam yang jauhnya 86 km.Di sana terdapat sungai Lidder yang jernih airnya. Kalau bernasib baik seseorang boleh melihat pelangi dan beruang berwarna coklat berkeliaran di sekitar hutan berhampiran.
  
Sepanjang perjalanan, kami disajikan pemandangan yang indah
Ammar dan Hafiz di Pahalgam
membuatkan
mata saya segar memerhati sekeliling. Tiada bangunan konkrit , tiada bangunan tinggi dan sebagainya. Hanya rumah-rumah lama yang diperbuat daripada kayu. Ada  juga rumah yang diperbuat daripada tanah liat. Sesuatu yang menarik adalah kerana banyaknya pokok willow di tepi-tepi jalan.

Kata Muzaffar, batang pokok willow itu digunakan untuk membuat 'bat kriket'. Kami singgah di satu kedai membuat bat kriket tersebut. Cantik dan murah. Hanya INR 100  sahaja.
kami sekeluarga di Pahalgam
Anak-anak bujang saya Amir dan Ammar beli sampai lima batang untuk di bawa pulang. Bagi kawan-kawan, kata mereka. 


Sebaik tiba di Pahalgam, kami terus ke sungai Lidder. Lapisan atas permukaan membeku, tetapi kalau tersilap pijak akan tenggelamlah kaki. Kami memang teruja kerana pemandangan begitu tiada di Malaysia.


Tercari-cari juga pelangi atau beruang, tetapi tiada. Apa nak buat. Dah puas berposing, perut pun terasa lapar. Jam hampir pukul dua petang. Muzaffar baru perasan yang pihak houseboat tidak sertakan bekalan. 
Permukaan sungai Lidder yang membeku

Terpaksalah makan di restauran Grand Mumtaz Resort dan bayar sendiri. Nanti boleh 'refund' daripada mr Ashraf. Itu janji Muzaffar. Alhamdulillah, makanan di situ juga sedap.



Dalam perjalanan pulang semua orang tertidur. Maklumlah perut dah kenyang....

Saya sempat bertanyakan sedikit tentang latar kehidupan Muzaffar. Dia ada sijil dari kolej tetapi susah nak cari kerja di situ. Nak pergi jauh, dia tak mampu. Lagi pun ibunya OKU bisu. Tak sampai hati nak tinggalkan, katanya. Tetapi kerja sebagai pemandu pelancong pun dia suka kerana dapat bertemu pelbagai jenis manusia.



Lewat petang kami sampai di
penjual datang pada waktu pagi
houseboat. Dia akan menjemput kami keesokannya seperti biasa. Selepas makan malam, kami di datangi penjual dengan pelbagai barang dagangan. Susah untuk mengelak kerana mereka meredah kedinginan malam untuk sampai kepada kami. Macam-macam cenderahati,  t shirt serta saffron . Harga saffron mahal tetapi sangat popular .Ianya merupakan stigma pada bunga Crocus Sativus dan digunakan pada masakan. 



27 Dis ( Isnin )-Hari keempat
Muzaffar tiba dan bertanya kalau-kalau kami boleh tukar destinasi , daripada Gulmarg ke Sonamarg. Saya tak setuju. Jadi dia terpaksa akur. 
Yang paling kanan -memakai fagan

Jarak ke Gulmarg hanya 50 km. Kali ini pihak houseboat menyediakan bekalan, nak piknik kata Muzaffar. Baru 15 minit perjalanan saya dapati ada kekecohan. Banyak bas berhenti di tepi jalan dan semua penumpang turun berjalan kaki. Entah ke mana, saya tak tahu. Muzaffar minta pemandu ikut jalan kampung. Separuh jalan, kereta kami di tahan oleh seorang lelaki. Di tangannya ada bata. Dia suruh semua kereta berpatah balik. Akhirnya kami berhenti di tepi jalan. Di belakang kami ada tiga buah kereta penuh pelancong. Rupa-rupanya mereka juga dari syarikat mr Ashraf. 
Kemuncak paling atas


Semasa di dalam kereta, Satish (pemandu pelancong ) menelefon saya dari Delhi. Dia cuma nak pastikan keselamatan saya sekeluarga kerana ada berita tentang 'transportation strike' di Srinagar. Baru saya tahu, ada mogok rupanya. Jauh di sudut hati saya panjatkan doa agar tuhan pelihara keselamatan kami semua dan makbulkan hajat untuk ke Gulmarg.
Muzaffar masih memujuk supaya kami ke Sonamarg. Tiba-tiba saya dengar mr Ashraf menghantar dua land rover dipenuhi askar. Mereka akan mengiringi kami semua ( empat buah
Dapatlah main salji, walau pun sedikit !
kereta ) sehingga ke Gulmarg.Wow ! kami dah jadi VIP, kata Muzaffar. Sebab kalau tak disecort, banyak pulak soalan semasa melalui road block.... Alhamdulillah, akhirnya kami selamat tiba di Gulmarg.Kami memilih untuk menaiki dua gondola dan tiba di kemuncak paling atas. Muzaffara tak ikut  sebab ada guide yang lain akan membawa kami. 'Mama' namanya. Salji tak tebal lagi tetapi sejuknya amat terasa. Ada doktor bertugas sekiranya berlaku sesuatu. Anak perempuan saya mengadu sukar bernafas. Mama suruh jumpa doktor, dia boleh bekalkan oksigen. Tapi biasalah - nak rehat sahaja katanya.
Dah puas berada di puncak, kami pun turun . Nak piknik kat lereng bukit, kata Muzaffar. Anak-anak sangat teruja !
Kami berkereta dan berhenti di satu lereng yang sangat cantik dipenuhi pokok pain. Muzzaffar mengeluarkan bekalan serta membentangkan tikar yang di bawa. Perut pun mulai berkeroncong - apa tah lagi semuanya dah terhidang. Panas lagi.Sambil makan kami menikmati keindahan alam semula jadi di situ.... 
Tiba di pekan kecil Gulmarg, kami berhenti sebab nak shopping sikit. Saya cuma nak beli kain sari untuk di buat baju kurung. Harga pun berpatutan. Tak lama, Muzaffar segera mengajak kami pulang kerana land rover yang mengiringi dah pun berlalu. Terpaksalah kereta kami mengejar.
Lewat petang kami selamat sampai di house boat. Bersyukur saya kepada tuhan kerana apa yang saya impikan selama ini tercapai . Malam itu adalah yang terakhir buat kami. Semasa sedang mengemas barang, perasaan sedih hadir jauh di lubuk hati. Satu-satunya tempat yang masih dipenuhi dengan keindahan alam semula jadi, jauh daripada pembangunan - apa tah lagi bangunan pencakar langit. Saya rasa bahagia di situ dan berdoa semoga Allah mengizinkan saya untuk ke sana lagi satu masa nanti. Benar, saya sudah jatuh cinta pada keindaham alam di bumi Kaskmir...

28 Dis ( Selasa )-Hari Kelima
Sarapan pagi kali terakhir di houseboat. Muzaffar datang menjemput dan
Taman belum ada bunga
kami  menaiki shikara sekali lagi. Kalau datang musim panas, boleh melawat taman bunga atas air, tapi musim dingin tak adalah nampaknya. Kami dihampiri dua buah shikara yang sarat dengan barang dagangan. Kerana kasihan, kami belilah sedikit cenderahati untuk dibawa pulang. Kamudian kami ke Mughal Garden dan Shalimar Garden . Tiada warna warni bunga kerana pekerja sedang menanam . Dalam masa dua atau tiga bulan lagi, taman tersebut pasti cantik apabila semua pokok mulai berbunga . Datanglah bulan April nanti, usik Muzaffar... 

membeli cenderahati
Kami dibawa pula ke pekan Srinagar. Saya melihat banyak orang di situ memakai 'fagan' - kot labuh yang tebal, tetapi tangan mereka di dalam .Rupa-rupanya mereka memegang satu bakul rotan kecil berisi arang berbara untuk memanaskan badan. 'Tak pernah terbakar ke?',tanya saya. 'Kalau tak hati-hati, terbakar juga' balas Muzaffar sambil ketawa.
Kami dihantar ke Srinagar Airport. Baru masuk pagar airport, Muzaffar terpaksa tunjukkan tiket kami dan pas khas sebagai 'tour guide'. Bukan semua orang boleh masuk. Saya memang telah dimaklumkan tentang pemeriksaan sangat ketat ketika berada di airport Srinagar. Di situ juga, bagasi kami melalui mesin pengimbas.
'No camera please' . Begitu Muzaffar mengingatkan. Sedih pulak rasanya apabila nak berpisah dengan Muzaffar walau pun baru empat hari berkenalan. Kami semua gembira kerana layanan yang mereka berikan sangat istimewa. Kami tinggalkan daerah yang bergolak itu dengan membawa pulang seribu kenangan manis- terpahat kemas di ingatan.
Pesawat Kingfisher dijadualkan berlepas pada jam 2.40 petang. Jam di tangan
Amir dan Muzaffar di belakang houseboat
baru pukul 11.30 pagi apabila saya didatangi seorang pegawai yang menawarkan kami penerbangan lain pada pukul 1.00 petang. Saya bersetuju dengan syarat saya dibenarkan membuat panggilan kepada Satish, tour guide di Delhi untuk memaklumkan kepadanya tentang perubahan waktu tersebut. Pegawai tersebut membawa saya ke pejabat untuk membuat panggilan. Saya tersenyum sendiri apabila terpandangkan telefon hitam itu, namun berterima kasih kerana dapat bercakap dengan Satish.

Bagasi kami diimbas lagi untuk kali ketiga.Untuk sampai ke balai berlepas, diri kami diimbas untuk kali keempat
Heater di houseboat, guan gas
dan pegawai tersebut menahan anak saya Amar kerana terdapat dua bateri di dalam poket. Saya beritahu, itu bateri kamera. Tak dibenarkan bawa sendiri, lalu saya terpaksa isi borang dan bateri tersebut dimasukkan ke dalam sampul surat. di simpan bersama bagasi lain.

Selesai urusan tersebut, anak saya Amir pula diminta masuk ke dalam satu bilik. Tak pasti kenapa sehinggalah dia keluar setengah jam kemudian. Saya dan suami bimbang juga. Rupa-rupanya Amir diminta mengenal pasti bagasi kami. Semua penumpang diminta berbuat begitu. Kata pegawai tersebut kepada Amir, mana-mana bagasi yang tidak disahkan oleh pemiliknya akan di periksa dan ditahan. Begitu ketat sekali pemeriksaan yang berlaku di airport Srinagar.
Semasa sedang beratur di pintu balai berlepas, sepasang suami isteri lanjut usia tiba-tiba bertengkar. Boarding pass mereka hilang. Puas dipunggah dalam beg-beg sandang yang ada. Saya tengok siisteri mengurut dada suaminya, dah sesak nafas orang tua tersebut. Akhirnya
Kanak-kanak sedang minta sedekah
mereka mengadu pada pegawai di situ, lalu dibawa pergi. Mungkin mereka percaya sebab orang tua. Tak lama kemudian saya melihat kedua-duanya dibawa menaiki pesawat dan terus berlepas.

Giliran kami pun tiba. Untuk terakhir kali, kami diimbas lagi. Penat betul dah rasanya ....akhirnya barulah kami dapat menaiki pesawat.
Sekitar jam 3.30 petang kami telah pun berada di luar balai ketibaan. Tidak lama kemudian, Satish tiba bersama sebuah coaster. Kami dibawa terus ke Agra yang mengambil masa lebih lima jam. Sepanjang perjalanan macam-macam yang saya lihat. Kereta kudalah, kereta
lembulah dan unta pun ada yang melintas. Yang paling penting, bunyi bising hon kenderaan sentiasa sahaja ada . Dibelakang lori pula semuanya ada tertulis "honk please". Patutlah banyak bunyi hon ! Hilang rasa mengantuk kerana melihat keadaan persekitaran.
Setiap kali berhenti di lampu isyarat, kelihatan pula kanak-kanak menghampiri untuk meminta sedekah. Ada pemandu yang melayan dan ada juga yang tidak menghiraukan.
Hampir lima jam perjalanan. akhirnya kami tiba di Hotel Kant. Satish meninggalkan kami di situ Perjalanan yang sangat memenatkan. Kami makan dahulu sebelum memasuki bilik untuk tidur.


29 Dis ( Rabu )-Hari Keenam
Satish telah pun berada di lobi apabila kami selesai bersarapan. Saya teruja
sekali kerana kami akan ke Tajmahal - satu lambang cinta sejati.Coach diberhentikan satu km daripada Tajmahal. kemudian pengunjung akan dibawa menaiki bas yang menggunakan tenaga elektrik. Untuk memelihara alam sekitar. Tidak mahu Tajmahal tercemar oleh asap kenderaan, kata Satish.
Pembinaan Tajmahal dimulakan pada tahun 1632 , selesai pada tahun 1653 iaitu 22 tahun dan melibatkan 20,000 tenaga kerja. Di tengah-tengah terletak pusara isteri tersayang. Apabila Shah Jehan meninggal, dia juga disemadikan bersebelahan isteri kesayangannya itu. Senibinanya menggabungkan elemen daripada Islam, Parsi, Turki dan India.
Memasuki Tajmahal, kita kena buka kasut atau memakai plastik warna merah.
Kisah disebaliknya memang tragis. Pada tahun 1631, isteri Shah Jehan iaitu Mumtaz , berketurunan Parsi meninggal dunia ketika melahirkan anak mereka yang ke 14.
Tidak juga menggunakan sebarang cat untuk mewarnakan Tajmahal sebaliknya arkitek menggunakan teknik'inlay' iaitu
Di dataran Tajmahal

menanam marmar berwarna untuk menghasilkan kesan yang lebih cantik dan unik. Sekeliling Tajmahal juga dihiasi dengan 30 juzuk ayat-ayat suci Al Quran, menjadikan Tajmahal sebagai satu binaan paling unik di dalam dunia. Tatkala matahari terbenam, sinaran cahayanya akan melimpahi pada setiap menara yang ada menambahkan lagi keindahan Tajmahal.
Apa yang menyedihkan adalah kerana Shah Jahan mati di dalam bilik yang dikhaskan oleh anaknya. Dia ingin membina Tajmahal hitam menggambarkan kesedihan hati dan itu yang membuatkan anaknya marah!
Aurangzeb, anaknya tidak mahu membazirkan wang negara lagi....Dari dalam bilik kurungan tersebutlah, Shah Jahan dapat melihat Tajmahal.
Betulkah arkitek nya di cungkil mata seperti mana yang saya dengar? tanya saya."Saya ada dengar tentang itu, tetapi tak ada sesiapa yang mengesahkan. Akhirnya ia
Amir bersama satish
menjadi cerita  dari mulut ke mulut sahaja" terang Satish lagi.

Kami dibawa ke Agra Fort yang terletak 2.5 km dari Tajmahal. Merupakan kediaman keluarga Shah Jehan di mana bapa beliau iaitu Akbar Khan mempunyai beratus-ratus orang gundik. Pada masa dahulu , buaya dipelihara didalam sungai yang mengelilingi Agra Fort untuk menghalang penceroboh. 
Sedang mendengar cerita di dalam Agra Fort
Terdapat juga bilik di mana Shah Jehan dikurung oleh anak sendiri sehingga menghembuskan nafas terakhir. Terdapat juga kolam (telah kering ) yang satu masa dahulu dipenuhi pohon anggur untuk kegunaan Akbar Khan mandi bersama-sama gundik beliau. Selain itu ada juga pasu yang sangat besar untuk Akbar Khan berendam mandi air panas bila tiba musim sejuk.
Agra Fort juga diistiharkan sebagai 'world heritage oleh UNESCO' dan bangunan tersebut hendaklah dikekalkan senibinanya.
Kami pulang ke hotel untuk makan tengah hari. Pada sebelah petangnya kami
tut-tut yang kami naiki
menyewa 'tut-tut' untuk ke bandar Agra.Menaiki tut-tut memang mengujakan. Ada tut-tut yang membawa lebih penumpang. Menakutkan. Sepanjang jalan macam-macam bau sampai terpaksa tutup hidung. 

Kami meminta pemandu menunggu sehingga selesai. Bayaran pun tak mahal cuma INR 100 atau RM 7. Ok lah tu. Tidak lama kedengaran azan asar berkumandang. Di Agra ada banyak orang Islam.
Anak-anak bujang saya, Amir dan Amar membeli jam tangan sebagai kenang-kenangan. Murah katanya.
Dengan jam tangan yang baru dibeli
Setelah puas berjalan-jalan, kami pulang ke hotel. Pada sebelah malamnya, saya tidak sihat. Mungkin perubahan cuaca. Terpaksalah berkurung di bilik bersama anak-anak yang kecil. Suami dan dua anak lagi keluar meronda di sekitar kawasan hotel. Sempat pulak suami saya bergunting rambut, nak cuba katanya. Siap dengan pulas kepala, cuma INR 15. 
Terdapat juga gerai yang menjual mee goreng-tetapi meloyakan. Tengok sahaja, jangan cuba. Mana tidaknya, mee goreng tersebut dimasukkan ke dalam kotak tebal sahaja. Tak ditutup. Tetapi ada juga pelanggan !

30 Dis ( Khamis )-Hari Ketujuh
Hari terakhir kami di India. Selepas sarapan, terus menaiki coach ke Delhi. Kami dibawa untuk makan tengah hari di restoran muslim menyediakan pelbagai hidangan cina dan India. Baru dapat merasa sup sayur ! Memang sedap, ditambah pula dengan ais krim sebagai pencuci mulut.
Lawatan terakhir kami adalah sekitar bandar Delhi iaitu Parlimen dan
India Gate
President House tetapi tidak turun pun. Kami berhenti di India Gate iaitu pintu gerbang yang mencatatkan nama-nama askar yang gugur semasa Perang dunia Pertama dan Perang Afghan.

Sekitar pukul 5.00 petang, kami terus ke Indira Ghandi airport. Saya berjalan bersama dua anak kecil sambil 'window shopping' selepas mendapatkan boarding pass. Sebaik keluar ,sebuah kereta elektrik airport menghampiri dan mempelawa kami naik. Boleh hantar terus ke pintu masuk, katanya. Penat jugak kalau nak jalan kaki. Di pertengahan jalan, terserempak dengan anak-anak bujang saya, tak boleh tumpang kata  pemandu tersebut sambil tersenyum...
Bila dah turun, baru saya perasan. Ada gambar orang tua dan anak kecil pada kereta tersebut ! Saya senyum sendiri....
Indira Ghandi International Airport

Sambil menunggu pesawat, saya melihat berita di kaca televisyen. Ribut salji melanda Kashmir! Mujurlah kami dah nak balik. Banyak kereta yang menuju ke Gulmarg terkandas dan tidak boleh meneruskan perjalanan. Syukur kepada Allah - itu sahaja yang dapat saya luahkan kerana memberi kesempatan pada kami sekeluarga untuk berada di bumi Kashmir tanpa mengalami sebarang perkara yang tidak diingini....
Pesawat berlepas pada jam 9.00 malam waktu Delhi ( 11.00 malam ) dan kami tiba di KLIA pada pukul 5.15 minit pagi ( Jumaat ). Keindahan Kashmir, kehidupan yang susah ,keramahan penduduk Agra dan kehebatan Tajmahal - semuanya menjadi kenangan paling manis bagi kami semua....


WASSALAM