Saturday 14 February 2015

AUCKLAND, NEW ZEALAND

#  PERBEZAAN  MASA & MATA WANG
Kuala Lumpur : 4.00 petang
Auckland : 9 .00 malam
1 NZD - RM 2.60
5 - 10 Jun 2010

5 Jun ( Ahad ) - Hari pertama
Berada di KLIA sekitar jam 6.00 petang , saya dan suami begitu teruja untuk destinasi pelancongan kali ini iaitu Auckland. Kami hanya berdua tanpa ditemani anak-anak. Segalanya berjalan lancar dan kami terus menuju balai berlepas di mana pesawat  MAS mulai bergerak pada pukul 9.20 malam.

Perjalanan  mengambil masa lebih kurang sembilan jam. Di dalam pesawat, saya sempat berkenalan dengan seorang guru. Dia bersama tujuh orang guru lain mengikuti lawatan anjuran kementerian pendidikan Malaysia selama dua minggu. Wah, pastinya seronok kerana mereka berpeluang melawat beberapa buah sekolah di Auckland.




6 Jun ( Isnin ) - Hari Kedua
Pesawat mendarat sekitar jam  11.20 pagi waktu tempatan ( 6.20 pagi waktu Malaysia ). Banyak 'homework' yang telah saya lakukan sebelum menjejakkan kaki ke bumi asing ini. 
'Tak perlu book hotel sebab ada banyak pilihan. Sewa kereta dan pandu sendiri kerana jalan rayanya luas dan mudah untuk pergi dari satu tempat ke tempat yang lain' begitu pesan seorang sahabat saya yang pernah bercuti di Auckland.
Saya dan suami mencari-cari tempat sewa kereta yang ada di airport. Ternyata semuanya mahal sehinggalah saya ternampak sebuah van di luar kawasan airport.
'Saya akan bawa kamu ke pejabat dan kami ada menyediakan perkhidmatan kereta sewa' beritahu seseorang tatkala kami memandangnya.
Daihatsu Sirion
Tanpa berfikir panjang, kami terus menaiki van tersebut menuju ke pejabat 'Jucy Rentals'. 
Kami diberikan sebuah kereta jenis Daihatsu Sirion dengan harga hanya NZD 80 untuk empat hari. Kami juga boleh pilih sama ada mahu beli insuran atau tidak. Insurans tersebut untuk 'cover' sekiranya berlaku kemalangan. Selepas berfikir baik dan buruknya, kami bersetuju untuk membeli insurans. Manalah tahu 'malang tak berbau'.

Tanpa GPS, kami hanya berpandukan peta yang dibekalkan. Benarlah kata teman saya, jalan
rayanya luas . Papan tanda juga jelas dan ada di mana-mana. Mulalah pengembaraan kami di bumi asing itu. Bandar pertama yang  dituju ialah Hamilton, kira-kira 111 km dari Auckland.
Sejak di tanah air, kami tidak menetapkan tempat-tempat tertentu untuk dikunjungi. Cukup sekadar untuk menikmati keindahan alam dan merasai nyamannya udara di New Zealand. Itu sahaja. Tetapi beberapa pamplet yang diambil di pejabat 'Jucy Rental ' memang sangat membantu.
'Auckland Botanic Garden' kami singgah.Terletak di Manurewa yang mula dibangunkan pada tahun 1973. Namun hanya pada tahun 1982 ianya dibuka kepada awam. Difahamkan terdapat 10,000 tanaman setakat ini.
Hujan turun renyai-renyai menambahkan lagi kedinginan. Suhu ketika itu adalah sekitar 6 darjah celcius. Taman tersebut sedang melalui fasa penambahbaikan menyebabkan tidak banyak bunga yang dapat dilihat. 
Kami meneruskan perjalanan dan singgah pula di kedai yang menjual pelbagai jenis buah. Sudah tentu buah kiwi, limau, plum, nanas ada di situ. Dengan cuaca yang sejuk begitu, selera kepada buah-buahan memang tidak ada.
Semakin jauh dari bandar, pemandangan yang ada hanyalah ladang ternakan. Di kiri kanan  kelihatan lembu dan biri-biri. Semua ladang berpagar dan sangat luas, sejauh
Ruang tamu
mata memandang. Lembu-lembu pula sangat besar berbanding yang ada di tanah air . Sementara biri-biri pula kelihatan sangat bersih dan berbulu tebal. Selain itu kandang-kandang kuda juga banyak kelihatan.

Beberapa motel yang dikunjungi kebanyakannya tiada staf di kaunter. Ada yang tutup pukul lima petang. Ada pula motel yang ditutup pada hujung minggu. Memang menghairankan ! Di Malaysia, kebanyakannya dibuka 24 jam. Tak kiralah motel atau hotel. Selain itu, kami juga mencari motel dengan kadar sewa yang berpatutan.
Hari mulai gelap dan akhirnya kami buat keputusan untuk menginap di 'Hamilton Town & Country Motel' dengan kadar sewanya hanya NZD 54. Motel tersebut hanya ada dua blok sahaja yang bilangan biliknya mungkin tak sampai dua puluh pun !
'Swimming pool' terbiar sahaja dan tidak digunakan kerana faktor cuaca (suhu). Juga tiada sarapan pagi disediakan. Sebaik menjejakkan kaki ke dalam bilik, kami teruja. Ia  seperti sebuah apartment kecil.  Ada ruang dapur dan ruang tamu siap dengan sofa serta meja makan untuk dua orang. Heater dan microwave juga ada. Selain itu pinggan mangkuk, tuala pengelap, pisau, sudu dan sabun basuh semuanya tersedia. Baru terasa letih. Kami membersihkan diri, solat dan menghidupkan pemanas udara sebelum tidur.

7 Jun ( Selasa ) - Hari Ketiga
Kami check out awal kerana perjalanan masih jauh. Bandar seterusnya ialah
Rotorua, kira-kira 286 km dari Hamilton dan kami singgah di Agrodome Farm Show . Di atas pentas terdapat tiga belas ekor biri-biri pelbagai baka. Kemudian kami dihiburkan dengan aksi lelaki yang mencukur bulu biri-biri sambil berceloteh dan berjenaka. Sangat cepat dan pantas. Sempat pula dia melontarkan beberapa keping bulu biri-biri kepada penonton. Dalam satu hari beliau mampu mencukur beratus
Rumah penduduk tempatan yang bersih
ekor biri-biri. Macam tak percaya !!

Kemudian beberapa ekor anak biri-biri pula dibawa ke atas pentas . Lima orang kanak-kanak dijemput untuk memberikan susu kepada anak biri-biri tersebut menggunakan botol. 
Hari masih awal lagi dan kami ke tempat aktiviti OGO (Outdoor Gravity Orb). Peserta dimasukkan ke dalam sebuah bola besar berisi sedikit air, bergolek-golek menuruni lereng bukit. Pasti basah.... Tetapi maaf, saya dan suami tidak mencuba pun. Sekadar menghiburkan diri melihat gelagat mereka yang berani.

OGO Rotorua Inflatable Ball Ride
Outdoor Gravity Orb

Tidak lama di situ, kami ke Skyline Skyrides. Dengan tiket NZD 29, kami
Inilah dia 'luge'

menaiki gondola  ke Mount Ngongotaha yang terletak pada ketinggian 487 m dari aras laut. Dari situ dapat disaksikan keseluruhan bandar Rotorua . Terdapat dua aktiviti di situ iaitu menaiki 'Sky Swing' dan 'luge'. Selain itu terdapat juga restoran jika ingin mmenjamu selera.

Sky Swing merupakan buaian gergasi yang boleh dinaiki dua orang pada satu-satu masa. Ayunannya sangat tinggi dan mendebarkan. Sudah pasti kami tidak mencuba !! 
Yang menarik perhatian kami adalah 'luge'. Satu jenis kenderaan yang
hanya bergantung kepada pergerakan momentum tanpa enjin. Memandangkan ini adalah pengalaman pertama, maka kami diberi sedikit tunjuk ajar bagaimana untuk mengendalikannya. Macam mana untuk bergerak laju dan  berhenti. Sangat mudah rupanya. Ada dua laluan yang disediakan - bagi pengguna kali pertama, laluannya tidak terlalu curam. Namun bagi yang berminat kepada cabaran, bolehlah memilih laluan lebih curam serta berliku-liku. Sampai di bawah, kami kena menaiki 'chairlift' ke atas semula untuk memulangkan topi keledar sementara luge disangkutkan pada 'chairlift'. 
Kami turun menaiki  gondola. Ada dua orang lelaki tempatan bersama kami. Dia menceritakan bagaimana salji sedang turun di kawasan pergunungan berhampiran bandar Toupo. Saya sangat teruja untuk ke
sana kerana jarak perjalanan hanya 80 km sahaja. 
Pada sebelah petangnya kami ke pejabat 'Mitai Maori Village' untuk mendapatkan tiket bagi satu persembahan kaum maori yang akan diadakan pada sebelah malamnya. Tiket yang dikenakan adalah NZD 80 seorang.
Selepas itu kami singgah pula di Rainbow Spring ( Kiwi wildlife Park ) iaitu mini zoo yang menempatkan pelbagai jenis burung, ular, ikan trout
dan burung kiwi yang dikatakan sedang mengalami kepupusan. 
Ikan trout hidup dalam air yang sejuk, bersih, dan tinggi kandungan oksigen.
Agrodome Farm Show
Biasanya, ikan ini boleh didapati di kawasan sungai-sungai di gunung dan sungai yang tidak tercemar. Ikan trout turut dikenali sebagai ikan air tawar terpantas berenang kerana memiliki kelajuan berenang antara 10 hingga 20 kilometer sejam. Ketika di dalam suhu air lima hingga sepuluh darjah Celsius ikan trout akan menjadi lebih aktif. Biasanya ikan ini hidup dalam kumpulan terpencil dan akan mempertahankan kawasannya apabila diganggu. Makanannya adalah haiwan yang agak besar seperti ikan minnows, serangga, dan larva.
Kami mendekati tempat burung kiwi, nasib tidak menyebelahi kami kerana burung kiwi suka bersembunyi di dalam lubang dan batang kayu. Tempatnya agak gelap kerana burung tersebut tidak suka cahaya. Puaslah mengendap, namun tidak kelihatan walau pun menurut staf di situ ada dua ekor. Semasa di pintu masuk sebelumnya kami diberi dua botol kosong yang boleh diisi dengan air gunung yang mengalir tanpa henti di situ. 
Motor Lodge Rotorua
Kami kepenatan dan terus ke Motor lodge Rotorua yang berhampiran. Motel tersebut merupakan deretan beberapa buah bilik sahaja dan kami menemui tuan punyanya. Bilik yang sederhana tetapi lengkap dengan pinggan mangkuk serta dapur. Katanya lagi, pejabat hanya dibuka pada pukul 9.00 pagi. Kalau kami keluar awal, tinggalkan sahaja kunci di atas meja pejabat.




Berehat sebentar sahaja kerana kami perlu bersiap untuk acara Mitai  Maori Village di sebelah malamnya. 
Kami tiba pada jam 5.15 petang dan dihidangkan dengan jamuan ringan serta
Haka Maori War Dance
buah-buahan di dalam satu khemah besar. Sebelah saya adalah pasangan cina rakyat Amerika. Mereka tidak menyewa bilik tetapi hanya mengembara dengan sebuah van (seperti caravan) yang disewa. Siap dengan tempat tidur katanya.
Apabila semua tetamu telah tiba, juruacara majlis membawa kami ke luar sebelum diberikan selimut tebal untuk menutupi tubuh walau pun kami memang memakai winter kot. Lampu suluh juga dipinjamkan kepada semua tetamu.
Kami ditunjukkan bagaimana kaum maori memanggang ayam dan ubi
mendayung sambil menyanyi
kentang di dalam tanah. Bara arang di masukkan ke dalam lubang. Diletakkan lapisan dawai . Atas dawai tersebut disusun ayam dan ubi kentang. Kemudian ditutup pula dengan zing dan satu lapisan bara arang diletakkan lagi. Proses tersebut dipanggil 'hangi'. Sementara menunggu ayam masak, juruacara berceloteh sambil menghiburkan para tetamu.
Sekitar jam 6.00 petang, hari sudah pun gelap. Kami meninggalkan hangi dan menuju ke dalam hutan. Ditepi sebatang sungai yang kecil, beberapa orang maori mengayuh canoe dengan hanya memakai pakaian tradisional mereka tanpa kasut. Sambil
mendayung, mereka menyanyikan lagu yang kami tidak faham. Tanpa mikrofon, suara mereka sangat kuat dan bergema di dalam hutan tersebut. 
Selesai sahaja, kami dibawa pula menonton persembahan kebudayaan di atas pentas di satu kawasan lapang yang hanya berlantaikan tanah, tetapi berbumbung. Haka maori war dance, begitulah namanya
Bersama pelancong dari USA
atau tarian pahlawan kaum maori, katanya. Dengan jeritan dan laungan serta gerakan persis seorang pahlawan, persembahan tersebut sangat menghiburkan. Selama satu jam, saya rasa semua yang membuat persembahan sudah terlalu letih kerana mereka tidak menggunakan pembesar suara.
Kemudian kami pulang semula ke khemah untuk merasai ayam yang dipanggang tadi ( maaf, tak halal ). Kami hanya ambil buah-buahan dan
Batu-batu yang hangat Te Puia
sayur-sayuran sahaja bersama nasi. Pada masa makan , terdapat juga sesi soal jawab diadakan yang kebanyakannya berkisar tentang adat dan budaya kaum maori.
Sekitar jam 8.15 malam, sekali lagi kami dibawa masuk ke hutan. Kali ini diperkenalkan pula dengan beberapa fauna dan flora yang terdapat di situ. Sudah pasti yang paling popular adalah 'glow worms' yang terdapat di celah-celah tanah. Cacingnya sukar dilihat sekadar cahayanya sahaja yang kelihatan.
Sebelum jam 9.00 malam, segalanya berakhir dan kami pulang ke bilik hotel masing-masing.

8 Jun ( Rabu ) - Hari Keempat
Bangun awal pagi untuk destinasi seterusnya. Kami ke kaunter pada jam 8.30
Di pintu masuk Te Puia
pagi dan tiada staf di situ. Saya tinggalkan kunci dan 'adapter yang dipinjam' di atas kaunter .

Kami terus ke 'Te Puia' untuk menyaksikan 'geiser' atau 'pancutan air panas' , suatu keajaiban ciptaan Allah. Nasib memang menyebelahi kami kerana pancutan air panas sedang berlaku (tidak berlaku sepanjang masa). Saya terpegun tatkala menyaksikannya kerana pancutan air tersebut boleh
Geizer
mencapai ketinggian 100 m dengan suhu hampir 90 darjah celcius. Kami duduk di atas batu-batu besar berhampiran yang hangat sekali gus mengurangkan kesejukan. Sesekali saya terkejut dek percikan air panas tersebut.

Di situ juga terdapat Te Wananga Whaikaro, the school of carving. Beberapa orang pelajar sedang asyik mengukir di atas kayu tanpa memperdulikan kehadiran pelancong.
Kami singgah di Kiwi House dan cuma ada dua ekor sahaja. Benarlah haiwan itu pemalu agaknya dan tidak suka cahaya terang. Puas juga saya mengintai dan mencarinya. Dapat jugalah melihatnya tetapi dilarang merakam gambar...
Sewaktu sedang membeli cenderahati, staf di situ memaklumkan yang National Park hanya 1 jam setengah sahaja perjalanan dari Rotorua. Kami pun buat keputusan untuk ke sana kerana salji sedang turun.



Sempat pula singgah di kedai untuk membeli kebab. Sepanjang perjalanan kami benar-benar menikmati keindahan alam.









Sekitar jam 2.00 petang, kami tiba di kaki bukit Tongariro National Park. Semakin jauh perjalanan, salji semakin lebat turun. Kami berhenti di tepi jalan untuk menyentuh dan bermain salji. Tiada sesiapa di situ, hanya kami berdua. Beberapa kereta yang lalu lalang hanya memerhati gelagat kami.












Bila terasa kesejukan yang amat sangat, kami akan memasuki kereta. Kemudian menyambung semula bermain salji.
Hari semakin petang dan kami terpaksa pulang. Terus ke pekan kecil berhampiran iaitu Taupo, mencari hotel untuk bermalam. Akhirnya kami temui Taupo Motor Lodge dengan harga NZD 103 sahaja.

9 Jun ( Khamis ) - Hari Kelima
Ketika bangun pagi, kami terkejut mendapati salji menutupi kereta . Saya siram dengan air untuk mencairkannya sebelum bergerak pulang menghala ke Auckland. Perjalanan kali ini sudah pasti sangat jauh, kira-kira 400 km. Kami berhenti di beberapa tempat untuk melepas lelah dan  makan.
Menjelang tengah hari, kami tiba di Auckland dan singgah untuk mengisi minyak kereta sehingga penuh (Itu syarat untuk memulangkan kereta). Berbeza dengan negara kita, minyak
Penduduk tempatan yang membantu
diisi dahulu barulah bayaran dibuat di kaunter. Suami saya meminta seorang penduduk tempatan menunjukkan arah ke bandaraya Auckland. Rupa-rupanya dia pernah berkunjung ke Shah Alam...

Perkara pertama ialah mendapatkan tempat penginapan. Kami bermalam di Manukau Motor Lodge . Setelah meletakkan semua bagasi, kami menuju ke bandar. Tinggalkan kereta di tempat parking dan kami menaiki bas ke kawasan kedai-kedai menjual cenderahati. Ketika berada di salah satu shopping mall, saya terpandangkan beberapa kedai orang Turki. Dapatlah kami menjamu selera.
Hari semakin lewat petang dan kami pulang semula ke hotel .

10 Jun ( Jumaat ) - Hari Keenam
Hari terakhir kami di New Zealand. Jam baru menunjukkan 8.30 pagi dan kami
terpaksa memulangkan kereta yang disewa. Kemudian kami dihantar ke airport New Zealand kerana penerbangan adalah pada jam 12. 50 tengah hari. Penerbangan mengambil masa sembilan jam dan kami selamat mendarat di KLIA sekitar jam 4. 50 petang waktu Malaysia. Banyak kenangan yang kekal diingatan yang menambahkan lagi pengalaman kami sepanjang berada di negara orang.



Anak biri-biri disusukan


Pemandangan waktu pagi


Ladang ternakan

Agrodome farm show

Mitai Maori Village -show


Persembahan pentas di Mitai Maori Village



Seorang pelajar sedang mengukir di Te Wananga Whaikaro, the
school of carving, Te Puia

Hasil kraftangan di Te Puia


Lumpur yang menggelegak - banyak digunakan di dalam produk kecantikan tempatan

Rumah orang Maori dahulu kala

Contoh Ikan salmon yang dikeringkan

bersantai di bandaraya Auckland