Monday, 25 November 2013

TEMBOK BESAR CHINA, BEIJING

BEIJING
( 21- 25 NOV. 2007 )

Kami sekeluarga iaitu suami dan empat orang anak turut serta. Siapa sangka semasa berjalan-jalan untuk melihat 'Matta Fair' di PWTC kami terpikat dengan package yang ditawarkan oleh 'Reliance'.
21 Nov ( Rabu ) : Hari Pertama
Tiba di KLIA pada jam 9.30 malam dan dipertemukan dengan 'tour guide' yang akan bersama kami . Namanya Faizal, seorang lelaki cina beragama Islam yang sangat peramah . Juga handsome orangnya. Berkahwin dengan gadis melayu dan telah dikurniakan seorang anak yang comel.
Kami juga berkenalan dengan dua buah keluarga lagi yang turut serta . Kami menaiki pesawat MAS pada pukul 12.30 pagi dan selamat tiba di  Beijing Capital International Airport pada jam 6.30 pagi waktu tempatan. Cuaca sangat sejuk seperti mana yang diberitahu oleh Faizal iaitu sekitar 5 darjah  Celcius.   
Keluar daripada lapangan terbang, baru terasa dinginnya udara Beijing. Sehingga ke tulang hitam . Segera kami membuka beg besar untuk mengeluarkan 'winter kot' masing-masing. Terus sahaja menaiki coster yang tersedia menanti untuk melarikan diri daripada angin dingin Beijing.  Kami ditemani pula tour guide orang tempatan  - perempuan cina yang fasih berbahasa Indonesia. Kami panggil dia madam Ho, berusia 58 tahun dan ada seorang anak . Semasa muda, dia menuntut di Jakarta dan mendapat ijazahnya dari salah sebuah universiti di sana.   
Di dalam bas, kami berkenalan di antara satu sama lain. Keluarga Najib datang dari Seremban bersama dua anak remaja. Satu lagi ialah seorang ahli perniagaan yang datang dari Klang bersama tiga anak dan dua menantu.               
                                                                                                       

Dua anak kecil saya  darjah satu dan dua di airport Beijing
Kami terus di bawa melawat ke Imperial Garden dan Summer Palace. Kedua-dua tempat tersebut juga merupakan daya tarikan utama pelancong ke Beijing selain Tembok Besar China. Kata Faizal, pada pertengahan Disember iaitu bila saljimula turun, air tasiknya juga akan membeku. Tidak dapat saya gambarkan betapa dinginnya waktu itu.                           Di situ juga banyak terdapat pokok-pokok bonsai dan pelbagai bentuk batu-batu yang dikeluarkan daripada dasar sungai. Memang sangat besar dan mencecah sehingga 1 tan beratnya.  Selain daripada itu banyak patung naga yang diperbuat daripada batu juga menjadi perhiasan.                                                                                                 Yang menarik perhatian kami ialah sekumpulan warga tua sedang menulis di atas lantai simen menggunakan botol berisi air ( ditutup dengan span ) yang diikat pada sebatang kayu. Kata Faizal, itu adalah terapi minda supaya mereka tidak nyanyuk atau menjadi pelupa. Mereka akan tulis apa sahaja yang mereka mahu sambil berdiri. Malang sekali kami tidak faham apa-apa.                                                                                                       
Dek kerana terlalu sejuk maka bersilih gantilah kami semua ke tandas. Dah tentu tak ada paip air ! Terpaksalah bawa air dalam botol mineral setiap kali masuk tandas. Kalau di Malaysia, kita kena tekan atau tarik untuk pam - di situ kena pijak dengan kaki. Macam biadaplah pulak rasanya ...

Setelah puas berjalan kami naik bas untuk ke restoran. Sempat pulak membeli ubi keledek bakar yang dah sedia menunggu tepi bas. Rasanya, memang sedap dan manis !               Sampai di restoran cina muslim, perut memang lapar. Masakannya agak berminyak dan kuat bau minyak bijannya. Banyak lauk yang dihidangkan sampai tak terhabis .                     Menjelang petang, saya rasa macam nak demam. Mujurlah ada panadol yang dibawa dari rumah.  Kami dihantar balik ke hotel Jin Qiao. Mandi dan berehat sebentar. Kamudian kami pergi untuk makan malam dan terus ke pertunjukan akrobatik. Selama dua jam kami dihiburkan dengan pelbagai aksi serta tarian. Mereka memang terkenal dengan aksi akrobatik yang rasanya tak mampu kita lakukan. Memanjat dengan tali, berjalan atas tali dan macam-macam lagi. Begitu juga pakaian serta hiasan pentas yang menarik. Kesemuanya amat memukau dan menghiburkan.



22 Nov. ( Khamis ) :  Hari kedua
Hari yang sangat-sangat  dinantikan. Kami  dibawa ke Tembok Besar China, satu daripada benda ajaib dunia. Panjangnya ialah 6500 km dan terdapat empat pintu asuk utama untuk sampai ke sana. Mujurlah waktu itu belum musim salji. Kalau salji tebal, pengunjung tidak dibenarkan untuk memanjat Tembok Besar China kerana licin.                              
Anak bongsu saya  keletihan dan  tiba-tiba muntah. Suami pula takut pada ketinggian. Terpaksalah saya memanjat Tembok Besar itu bersama anak-anak yang lain.  Sampai di suatu tahap ketinggian, kami boleh membeli kad yang tertera gambar sendiri sebagai lambang kejayaan. Anak bujang saya berjaya sampai ke tahap yang lebih tinggi dan boleh membeli sekeping plat besi sebagai lambang kejayaannya.


Saya bangga berjaya memanjat Tembok Besar China

Sewaktu menaiki tembok besar itu, saya melihat deretan mangga ( kunci ) yang digantung pada rantai besi di sebelah kanan. Rupa-rupanya mangga tersebut telah diletakkan oleh pasangan suami isteri yang mana anak kuncinya telah dibuang jauh ke bawah - sebagai lambang ikatan perkahwinan mereka yang tak akan dibubarkan sehingga ke akhir hayat.       Selepas makan tengah hari kami dibawa ke kedai menjual sutera, jed dan kristal. Tiada yang menarik perhatian kami kerana harganya yang mahal. Kedai jed tersebut dipunyai oleh orang cina rakyat Malaysia yang telah menetap di sana. Katanya  'jed mahal kerana kita yang meletakkan harganya'. Batu jed tiada apa-apa yang istimewa. Saya setuju dengan pendapatnya. Kalau tidak masakan kami semua     ( 17 orang ) dihadiahkan sebiji loket batu jed setiap seorang, termasuklah anak-anak kecil saya - hanya kerana kami orang Malaysia !
Tempat seterusnya ialah ke pusat perubatan tradisional 'Bao Fu Lin' yang sangat bagus untuk merawat kulit terbakar. Demonstrasinya menggerunkan. Seorang lelaki memanaskan rantai besi hingga membara , sentuh dengan tapak tangannya dan terus sapukan krim Bao Fu Lin. Ajaib. Tak ada kesan !
Apa lagi .Semua orang beli termasuk saya. Harganya RM 240 untuk 250 g  sahaja. Memang bagus untuk semua jenis luka, gatal atau kudis sebab saya dah cuba bila  balik rumah.
Malamnya kami ke pasar malam di Wang Fu Jin. Macam Petaling Street atau Chow Kit kat tempat kita. Sebut je apa kita nak, semua ada. Belalang goreng, cengkerik goreng dan kumbang goreng - semuanya ada. Rasa nak termuntah pun ada.

23 Nov. ( Jumaat )  :  Hari ketiga
Pukul lapan pagi kami telah sedia menunggu di lobi hotel. Tepat tujuan kami pada hari itu ialah 'Tiananmen Square' dan 'Forbidden City'. Semua orang tahu cerita hebat tentang Tiananmen Square - bagaimana pertumpahan darah berlaku untuk menggulingkan kerajaan komunis pimpinan Mou Tze Tong sekitar tahun 1989. Dianggarkan ribuan nyawa telah menjadi korban. Sekarang semuanya tinggal kenangan dan hanya merupakan satu kawasan datar yang lapang untuk dikenang. Difahamkan sebelum berlakunya peristiwa tersebut, negara China dikenali sebagai 'Tirai Besi' kerana tidak menerima pengunjung luar.
Seterusnya kami menuju ke Forbidden City atau Kota Larangan. Memang terlalu ramai pengunjung . Saya ingat pesanan Faizal  'jaga beg duit masing-masing . Kat belakang duit orang. Biar letak di hadapan '. Penyeluk saku banyak - sebenarnya kat tempat kita pun ada !

Kota Larangan pula merupakan istana bagi maharaja Dinasti Ming hingga Dinasti Qing. Dipercayai mempunyai 9999 bilik, hanya kurang satu berbanding jumlah bilik yang dipunyai oleh dewa mereka di atas kayangan ! Sekadar kepercayaan. Setiap bilik menempatkan seorang gundik maharaja. Kononnya gundik-gundik tersebut dipilih daripada mana-mana gadis yang beliau suka. Khabarnya ada diantara gundik-gundik tersebut tidak pernah mengenali maharaja pun....
Selepas makan tengah hari, kami dibawa menaiki beca melalui kawasan perkampungan Hutong tempat tinggal golongan bawahan. Rumah-rumah mereka mempunyai bumbung yang rendah kerana tidak boleh melebihi ketinggian rumah golongan pertengahan. Begitu juga dengan warna ,hanya kelabu semata-mata. Setiap beca membawa dua orang penumpang dan diselimutkan dengan selimut merah. Seronok pulak rasanya kerana cuaca dingin.
Agenda terakhir pada hari tersebut ialah ke kedai teh cina. Ada teh yang mencecah harga ratusan ringgit bergantung kepada berapa lama tempoh teh disimpan. Saya mencuba air teh cina dan sedikit pun tidak menarik minat saya - maklumlah tawar kerana tiada gula langsung 
Sampai di bilik hotel, semua keletihan. Entah jam berapa saya tertidur. Sedar-sedar anak bujang saya baru balik ke bilik. Jam menunjukkan pukul 12 tengah malam. Rupa-rupanya mereka berbual-bual kosong di lobi hotel bersama Faizal dan yang lain-lainnya.

24 Nov ( Jumaat )  :  Hari keempat
Faizal menjanjikan kami untuk ke Masjid Neuji. Alhamdullillah kami sempat berjumpa dengan imam yang bertugas. Terdapat sekumpulan anak-anak muda sedang bermain takraw di dalam kawasan masjid tersebut. Masjidnya kecil sahaja dan mempunyai reka bentuk cina.

Sewaktu ingin melangkah keluar, terdapat seorang perempuan dengan anak kecil meminta sedekah di puntu masuk. Kepalanya dililit dengan selendang. Lalu saya menyuruh dia membaca surah Al Fatihah. Betul dia Islam dan saya terus menghulurkan sedikit wang kepadanya .
Kami singgah di restoran untuk makan tengah hari. Tiba-tiba anak kecil saya kata nak buang air besar. Mulalah saya mencari baldi - sebaik selesai, seorang staf restoran terpandang saya dengan baldi yang ada sedikit air berbaki. Masam muka dia sebab  lantai tandas basah. Saya dengar dia mengomel tetapi buat tak tahu sebab tak faham....
Sekali lagi kami di bawa ke kilang sutera. Bermacam-macamlah cerita untuk melakukan jualan. Memang cadar dan selimut sutera sangat lembut tetapi harganya mahal mencecah RM 500 untuk sehelai selimut.
Destinasi seterusnya ialah membeli belah di Pasar Yue Xiu dan Chao Wai Men. Di situ barulah kami membeli pelbagai jenis cadar dan set bilik tidur kerana harganya memang murah. Tetapi maaf - bukan sutera ye.  Sebelum ke Bejing saya dah survey harga cadar-cadar tersebut di Alamanda, Putrajaya. Dah terlanjur ke Beijing - apa lagi. Saya pun belilah sampai lima set !

25 Nov. ( Sabtu ) : Hari kelima
Hari terakhir kami di Beijing. Sedih pulak rasanya. Makan tengah hari memang istimewa. Kami dibawa ke restoran muslim yang menghidangkan 'Halal Peking Duck' . Mudah sahaja. Ada hirisan itik bakar, tomato, bawang , sos warna hitam ( mungkin kicap dan sos ) serta kulit popia. Masukkan semua bahan dan gulung macam popia ! Itu sahaja. Boleh la tahan....
Sekitar pukul 1.00 petang , kami dihantar ke lapangan terbang kerana penerbangan ialah pada pukul 4.10 petang. Banyak kenangan manis yang kami bawa pulang.
Semasa di kawasan imigresin anak bujang saya ditegur kerana mengambil gambar. Terkejut jugak saya. Seorang pegawai menghampiri dan minta untuk melihat kamera. Mujur dia delete gambar di situ sahaja. Kalau dia delete semua, dah tentu pitam saya. Maklum, itulah kali pertama dan mungkin terakhir kami ke Beijing. Ha ..ha...ha...




Hasil nukilan : HAJA HAZEEYA




No comments:

Post a comment