Tuesday, 21 January 2014

CAPE TOWN ( TABLE MOUNTAIN )

15 Mac - 19 Mac 2009

Kali ini saya bersama suami dan seorang anak akan meneruskan aktiviti kegemaran kami menuju ke Cape Town, Afrika. Ada yang menarik dan unik di sana iaitu 'Table Mountain'.


12.00 tengah hari waktu Kuala Lumpur = 6.00 pagi waktu Cape Town
100 ZAR ( Rand Afrika Selatan ) = RM 30

Hari Pertama :15 Mac ( Ahad )
Kami menaiki penerbangan MAS pada pukul 1.05 tengah malam. Semasa di KLIA, kami
transit di Airport Johannesberg
berkenalan dengan sebuah keluarga yang akan bersama-sama sepanjang percutian kali ini. Pasangan tersebut membawa bersama-sama empat orang anak yang sedang meningkat remaja. Terima kasih kepada TM Tours yang menguruskan ground package kami ini.
Selepas 14 jam penerbangan ( termasuk transit dua jam di Johannesberg ) kami selamat tiba di Cape Town International Airport pada jam 9.00 pagi (3.00 petang waktu Malaysia ). Masa dua jam yang diberikan ketika transit di Johannesberg memberi ruang kepada kami untuk berlegar-legar sambil merakan foto.
Tour guide , Feisal sangat peramah. Seorang lelaki kulit hitam yang beragama Islam dan telah menunaikan haji serta mengunjungi Masjid Al Aqsa katanya. Cuaca agak sejuk sekitar 16 darjah celcius. Tidak perlu berbaju tebal, cukup sekadar 'sweater' sahaja. Bagi saya, cuaca sebegitu sangat sesuai untuk berjalan-jalan .
Destinasi pertama kami ialah Table Mountain. Dinamakan begitu kerana kemuncaknya yang rata seperti meja dengan jaraknya hampir 3 km dari satu hujung dipanggil devil's peak di timur ke lion's peak di Barat. Kami menaiki cable car untuk tiba di kemuncak. Bagi yang berani, mereka boleh mendaki menggunakan laluan yang disediakan.
File:Tablemountain kabelkar.jpg

Cable Car yang kami naiki agak besar dan berputar perlahan-lahan. Jadi sambil bergerak ke atas, kita boleh melihat pemandangan sekeliling.
Terdapat pelbagai pokok yang ditemui tetapi awas, jangan pegang sebarangan. Kata Feisal, ada yang beracun atau menyebabkan rasa gatal.
Melihat ke bawah iaitu lautan luas dengan ombak ganas memukul pantai memang mengasyikkan. Sangat indah bumi ciptaan tuhan !






Pemandangan Kota Cape Town dan Lautan Atlantik
Di kemuncak Table Mountain
Di Lereng  Table Mountain 
                                                                                                             

Turun dari Table Mountain kami menuju ke Slave Lodge atau sekarang dikenali sebagai Iziko
Bilik kurungan
Museum. Dari tahun 1679 sehingga 1811, dipercayai terdapat 9000 hamba abdi yang pernah menghuni tempat tersebut. Terdapat pelbagai bilik kurungan yang digunakan untuk menempatkan pesalah-pesalah sebagai hukuman buat mereka. Pesalah dimasukkan di dalam bilik tertentu yang tiada lubang udara dan mereka dibiarkan di situ sehingga menemui ajal... Ada bilik di mana pesalah akan digantung dengan kaki di atas dan kepala di bawah - juga dibiarkan sehingga mati. 

Walau bagaimana pun menjelang tahun 1810. bangunan tersebut telah diubahsuai menjadi pejabat-pejabat pentadbiran kerajaan. Sehingga pada tahun 1960, bangunan tersebut dijadikan Muzium kebudayaan. Pada tahun 1998 ianya diberi nama Slave Lodge dan akhirnya dinamakan Iziko Museum pada
tahun 2000 sehingga kini.
Iziko Museum
Kami singgah untuk makan tengah hari di Nando's memandangkan perut pun dah berbunyi. Bayar sendiri kerana tiada lunch disediakan....agak mahal kerana satu set dengan nasi harganya ialah ZAR 90...tiba-tiba teringat pulak Nando's kat Mid Valley.....
Selesai makan, kami di bawa ke Capetonian Hotel. Sebab nak cepat, terus sahaja masuk lif dan pintu tertutup. Alamak, tak ada butang nak tekan. Jadi tunggu sahajalah. Rupa-rupanya lif naik ke atas dan turun semula ke bawah. Pintu terbuka - ada petugas kat situ. Tekanlah tingkat dua....inilah pengalaman....
Badan mula terasa letih . Maklum tak sempat berehat sebaik pesawat mendarat. Hotel tersebut seperti apartmen kerana di dalamnya ada dua bilik. Satu kecil dan satu macam master bedroom.  Sewaktu nak mandi saya dapati di dalam bilik airnya tiada lubang air keluar di lantai. Alamak....kena berhati-hati betul ketika mandi. Takut air bertakung... Betullah kata orang, lain padang lain belalang...

Hilang penat, kami bersiap-siap untuk ke Victoria & Alfred Waterfront kerana hotel menyediakan 'shuttle' percuma. Ianya terletak di satu kawasan yang berteluk-teluk. Kami dapatkan jadual pergerakan shuttle supaya senang untuk pulang. Difahamkan tempat tersebut merupakan antara salah satu tempat tumpuan pelancong.  
Kami lihat banyak pelancong menunggu di tepi air. Saya tertanya-tanya bagaimana untuk ke seberang sana kerana kalau nak jalan kaki kena pusing jauh. Kelihatan seekor anjing laut sedang berenang-renang  . Pemandangan yang agak pelik bagi saya tetapi tiada sesiapa pun yang peduli. Mungkin dia sesat. Tidak lama saya dengar bunyi siren. Rupa-rupanya 'swing bridge' mula bergerak menghubungkan dua laluan darat. Berpusu-pusu orang melaluinya termasuklah kami. Sempat melihat jadual pergerakan 'swing bridge ' tersebut. Takut tak boleh balik pulak nanti...kami pergi ke seberang dan mendapati terlalu banyak tempat untuk berhibur. Ada restoran dan kelab-kelab malam. Begitu juga kedai yang menjual cenderahati.
Penghibur jalanan juga banyak.Kami sempat melihat dua jenis tarian berkumpulan yang diadakan  di atas jalan raya  dan satu persembahan secara solo. Sambil menonton, kita boleh menari bersama mereka. Macam biasa, kenalah beri sedikit saguhati apabila selesai.

swing bridge di Victoria & Alfred Waterfront
persembahan jalanan di V & A Waterfront
                                                                                                                    

 Antara arca yang terdapat di V & A Waterfront
 Pukul 9.30 malam kami pun bergerak ke tempat yang dijanjikan. Puas menunggu, shuttle yang ditunggu tak datang. Kami dapat tahu , kalau jalan kaki pun tak sampai setengah jam. Bergeraklah kami bertiga. Jalan agak lengang . Mulalah terfikir macam-macam. Akhirnya sebuah teksi lalu dan berhenti. Rupanya taklah mahal sangat cuma ZAR 50 atau RM 15. Sebelum turun, pemandu tersebut menghulurkan resit. Walau pun terasa pelik tetapi kami ambil. Sampai dikaunter, terus lah bercerita perihal shuttle yang tak kunjung tiba itu. Alhamdullillah, rupa-rupanya tambang teksi boleh direfund. Mujur ada resit. Katanya lagi, bukan salah kami pun. ...


Hari Kedua : 16 Mac ( Isnin )
Sarapan pagi di Capetonion Hotel
Bersarapan di hotel yang menyediakan makanan halal memang memudahkan. Ada juga mee goreng selain dari pelbagai jenis roti dan pasta. Semuanya sedap. Kena dengan selera kami yang memang menggemari makanan barat. Sewaktu makan pula berkumandang lagu-lagu Jamal Abdillah bersilihganti dengan M. Nasir. Rupa-rupanya hotel tersebut dimiliki oleh Dato' Ishak, seorang usahawan melayu rakyat Malaysia. Malangnya saya tidak kenal beliau....
Perumahan melayu atau Colourful Bo-Kaap
Destinasi pada hari ini adalah ke kedai-kedai yang menghasilkan kraftangan, hiasan kristal , berlian dan Kalk Bay, sebuah perkampungan nelayan yang popular.
Sempat membeli satu model pokok 'baobab' yang terkenal di Afrika atau dipanggil juga 'upside down tree'  diperbuat daripada batang pisang. Cantik dan sangat berseni. Kami juga ditunjukkan bagaimana penghasilan batu permata iaitu berlian , zamrud dan lain-lain. Daripada ketulan batu yang kusam dan hodoh sehinggalah menjadi butiran berlian yang bersinar dan digilai ramai kaum wanita. Semuanya
memakan masa yang lama. Contohnya sebutir berlian sebesar kepala mancis sahaja memerlukan masa lebih sepuluh jam untuk dihasilkan...
Satu tempat yang mesti dikunjungi ialah 'Colourful Bo-Kaap'. Merupakan penempatan pertama orang melayu Islam yang berasal dari Indonesia. Beberapa orang tua yang ditemui masih boleh berbahasa melayu Indonesia dengan nama melayu. Istimewanya kerana setiap rumah mempunyai warna yang sangat terang atau warna garang tetapi
Polis di Cape Town , segak ke ?
berbeza di antara satu sama lain. Agak kecil kerana setiap rumah hanya mempunyai dua bilik. Tetapi jangan tanya harganya...boleh mencecah RM 500,000 seunit
. Terkedu saya seketika!

Pada sebelah petangnya kami berjalan kaki ke kawasan gerai-gerai yang menjual pelpagai barangan harian. Ianya dibuka dari pagi sehingga lewat petang setiap hari. Tawar menawar sangat digalakkan supaya tidak tertipu. Sedang asyik memilih baju, terdengar bunyi bising macam orang bergaduh. Takut juga. Rupa-rupanya seorang remaja ditangkap kerana cuba mencuri.
Kami pulang ke hotel melalui  'boulavad' kerana terdapat banyak kios yang menjual makanan segera yang halal. Disebabkan package tidak menyediakan  makan malam kami pun singgah makan kebab. Sedap juga.
Berjalan pada waktu petang dengan cuaca sejuk sederhana tidak memenatkan. Badan pun tidak berpeluh langsung. 
Sampai di hotel, kami berehat sebentar. Pada malamnya sekali lagi kami mengunjungi  V&A Waterfront untuk melihat-lihat apa lagi hiburan yang ada. Pada kali ini kami pergi dan balik dengan shuttle hotel.



Hari Ketiga : 17 Mac ( Selasa )
Selepas bersarapan, kami menuju ke Camps Bay. Suatu kawasan kediaman mewah yang
Berlatarbelakangkan Camps Bay
dimiliki oleh jutawan-jutawan yahudi. Kodak's time, kata Feisal sambil singgah dibeberapa tempat yang cantik untuk merakam gambar kenangan.

Perjalanan seterusnya adalah ke Hout Bay dan menaiki Seal Island Cruise. Dengan menaiki boat sederhana besarnya kami dibawa ke satu kawasan koloni anjing laut. Bot berhenti membolehkan kami melihat dengan lebih dekat gelagat anjing-anjing laut tersebut. Ada yang bergaduh, bermain barangkali dan ada yang sekadar bergolek-golek di atas batu . Sesekali mereka terjatuh ke dalam air dan merangkak semula ke atas batu. Bila dah terlalu banyak begitu, bunyi mereka juga terlalu bising. Ada yang berenang menghampiri bot dan langsung tidak pedulikan kehadiran kami. Sebelum menaiki bot, sempat pula anak bujang saya bergambar dengan seekor anjing laut yang dah tua. Jangan lupa bayar ye.....


Persekitaran Hout Bay
Boulder's Beach , melihat penguin

Di dalam perjalanan pulang ,kami singgah pula di Boulder's Beach untuk melihat koloni penguin yang comel dan bergerak pantas. Penguin-penguin tersebut macam burung merpati kerana sukar untuk didekati. Sebaik menghampiri, mereka akan cepat-cepat masuk ke dalam laut, menyelam dan berenang jauh meninggalkan kita yang asyik memerhati.




Papan tanda yang ada di kawasan koloni penguin

Menjelang tengah hari kami sudah pun tiba di Chapman's Peak Drive dan makan di Two Oceon restoran. Setiap orang dihidangkan seekor udang galah yang besar bersama-sama menu yang lain. Memang sedap dan puas rasanya. Maklum perut pun dah terasa lapar.

Mendaki Chapman's Peak Drive perlu berhati-hati. Banyak ular yang bersembunyi di celah-celah pokok. Baboon juga banyak tetapi tidak mengganggu jika kita tidak menarik perhatian mereka. Walau bagaimana pun mereka ini biasanya menyelongkar tong-tong sampah mencari sisa-sisa makanan di kawasan perumahan. Di atas kemuncaknya terdapat papan tanda menunjukkan arah beberapa tempat lain di dunia.


Sekitar Chapman's Peak Drive



Pertemuan antara Lautan Atlantik dengan Lautan Hindi dapat dilihat
ketika berada di atas Chapman's Peak Drive
Chapman's Peak Drive

Titik paling selatan di Afrika Selatan

Singgah pula di Cape of Good Hope iaitu titik paling selatan pada benua Afrika . Tiada apa-apa yang menarik di situ namun kepuasan terasa berada di mana-mana.

Sepanjang perjalanan pulang kami melalui banyak kawasan penanaman anggur. Difahamkan Cape Town merupakan antara daerah pengeluar wine terkemuka dunia. Bila melalui kawasan setinggan, terdapat pula beberapa orang menjual anggur tepi jalan dengan harga yang sangat murah. Van bergerak perlahan tetapi tidak berhenti. Mungkin anggur curi, kata Feisal. Kami memerhati rumah-rumah setinggan yang hanya diperbuat daripada kotak, papan dan zing-zing lama. Amat daif sekali jika dibandingkan dengan setinggan di negara kita.
Bersama Ahmad di ladang burung unta
Lewat petang kami singgah sebentar di ladang penternakan burung unta. Kedainya juga menjual pelbagai barangan yang diperbuat daripada kulit burung unta tersebut. Sekadar mencuci mata sahaja kerana harga sebuah beg tangan boleh mencecah USD 1000. Bertemu pula dengan seorang tour guide berkulit putih bernama Ahmad yang juga membawa pelancong. Katanya, dialah pemandu , dialah guide dan bas pun dia yang punya - one man show !



Hari Keempat : 18 Mac ( Rabu )
Destinasi yang paling dinantikan iaitu Aquila Private Game Reserve dan kami perlu bertolak
Bersama BJ di Aquila Private Game Reserve
seawal jam 6.00 pagi. Feisal telah dapatkan box breakfast dari pihak hotel untuk kami bersarapan di dalam van. Perjalanan mengambil masa hampir dua jam.
Package termasuk sarapan pagi yang agak berat dan kami dibawa menaiki trak bersama seorang renjer yang dipanggil BJ.  Merupakan satu kawasan berpagar yang sangat luas , kira-kira 15000 km persegi. Banyak haiwan yang dibiarkan bergerak bebas. Kami melihat bagaimana badak sumbu hidup bersama-sama dengan
Di dalam trak
antelope. BJ menceritakan pengalaman yang dia kena lalui untuk bergelar ranjer. Tinggal di hutan selama beberapa hari tanpa sebarang makanan. Keseluruhan kursus mengambil masa tiga bulan. Dia amat meminati kerjaya tersebut kerana bebas bergerak dan dapat berjumpa dengan bermacam jenis orang.

Singa dan harimau terpaksa di pagar sementara gajah, zirafah, rusa dan lain-lain bebas bergerak. Di satu kawasan tasik yang luas, terdapat pula badak air sedang berkubang. Beratus-ratus ekor barangkali. Bersama-sama mereka adalah ratusan burung bangau yang menjadikan pemandangan sangat
Berehat hilangkan penat
cantik. Kami berehat seketika sementara BJ mengeluarkan bekalan minuman sejuk yang dibawa.

Lebih dua jam setengah berada di kawasan reserve tersebut. Makan tengah hari juga disediakan secara buffet. Berehat seketika di tepi kolam sebelum kami ke kawasan peliharaan harimau bintang. Setiap kandang menempatkan seekor atau sepasang harimau bintang sahaja. Mereka di bantu oleh sukarelawan yang merupakan pelajar-pelajar universiti Ada tayangan video mengenai haiwan
pelantar untuk melihat harimau bintang
yang dikatakan terpantas di dunia ini. Kalau berani, boleh masuk ke dalam kandang dan dikenakan bayaran. Bagi kami yang tak berani, cukup sekadar melihat gelagat mereka daripada atas pelantar sahaja.

Sedar tak sedar, hari semakin petang. Kami bergerak untuk pulang membawa bersama kenangan manis yang sukar digambarkan. Sepanjang perjalanan, kami tertidur sehingga sampai ke hotel. Malamnya sekali lagi kami bersiar-siar sambil 'window shopping'. Sebenarnya kami hanya ingin menghirup udara segar Cape Town buat kali terakhir kerana esoknya kami akan meninggalkan bumi Afrika.



Hari Kelima :19 Mac ( Khamis )

Pukul 7.00 pagi semua bagasi telah siap berada dilobi. Kami bersarapan buat kali terakhir dan terus dihantar ke lapangan terbang oleh Feisal. Pesawat bertolak pada pukul 10.45 pagi atau 4.45 petang waktu Malaysia. Tiba di Malaysia pada pukul 6.20 pagi keesokan harinya. Walau pun terlalu penat tetapi apa yang kami kutip di cape Town cukup menghilangkan segala kepenatan. Alhamdullah...




Seal Island, ratusan seal di belakang !!

Beg daripada kulit ostrich -harganya USD 1000

makan tengah hari -udang galah
Restoran Two Oceon dekat Chapman's Peak Drive

Udang galah....



anak saya, Amir berlatar belakangkan Camp's Bay

sama

Kota Cape Town pada waktu senja

Amir di Cape Of good Hope
 Hari Pertama :Table Mountain dari jauh -kemuncaknya rata seperti meja

Hari Pertama :kereta kabel ke Table Mountain

Hari keempat :haiwan berkeliaran di Aquila Private Game Reserve

Ada pengunjung yang berani 'mountain climbing ' ( Table Mountain  )

Hari kedua :Swing Bridge di V & A waterfront

Hari kedu a :Kapal layar di V & A waterfront



Hari kedua :Persembahan jalanan di V & A waterfront

Petempatan melayu - Colourful Bo-Kaap

ladang anggur yang sangat luasdi kiri kanan jalan


Pemandangan Devil's Peak dan Lion's Peak yang mengapit Table Mountain

Batu-batu besar dan pokok-pokok renek di kemuncak Table Mountain

Tangga menuju ke Chapman's Peak Drive

Table Mountain yang semakin hampir

Lereng Table Mountai yang berbatu-batu
Kota Cape Town waktu petang

Tasik yang terdapat di dalam Aquila Private Game Reserve

Antelop yang ada di kawasan Aquila Private Game Reserve

Badak sumbu,seladang dan kuda belang hidup dalam satu komuniti

badak sumbu, seladang dan kuda belang

persembahan jalanan di Hout Bay sewaktu pulang dari Seal Island










Oleh
Haja Hazeeya



















No comments:

Post a comment