Sunday, 26 January 2014

DESERT SAFARI, DUBAI

18 -22 DIS. 2009

Saya bersama suami dan empat orang anak, Amir, Ammar, Hafiz dan Hanis meneruskan aktiviti kami sekeluarga melancong ke luar negara ,United Arab Emerates.


6.00 petang waktu di Malaysia  = 2.00 petang waktu di UAE 

AED 110 = RM 100


18 Dis ( Jumaat )
Kami bertolak dari LCCT dengan pesawat Air Asia pada jam 10.00 malam menuju ke Abu Dhabi . Tidak pernah terlintas di fikiran untuk melancong ke sana sebenarnya. Namun harga tiket yang agak murah ditawarkan Air asia membawa kami ke sana. Hotel dan daily tour  kami beli on-line sahaja. Lebih murah dan menjimatkan.

Hari Pertama : 19 Dis ( Sabtu )
Pesawat mendarat pada pukul 1.30 pagi  di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi setelah hampir lapan jam berada di udara. Ada sesuatu yang menarik pada percutian kami kali ini.
Amar, anak ketiga saya bertemu jodoh dengan isterinya, Laila . Amar yang agak berani memulakan salam perkenalan melalui monitor yang ada di kerusi penumpang hadapan. Laila pula berada di belakang tempat duduk Amar. Mereka saling berchating .Kebetulan Laila sekeluarga juga bercuti ke rumah PakNgahnya yang menetap dan bertugas sebagai pilot di Abu Dhabi. Anak bongsu saya, Hanis pula berchating dengan Asiah, ibu Laila. Saya dan ahli keluarga yang lain biasalah - melayan mata yang mengantuk tetapi sukar untuk lena...
Begitulah takdirNya..... Laila menjadi menantu kami pada 1 Disember 2012 setelah hampir tiga tahun mengenali hati budi masing-masing. Alhamdullillah....
Sewaktu baru tiba . Perkara pertama di fikiran, bagaimana untuk ke Dubai yang jaraknya adalah 120 km pada waktu dinihari begitu.
Suami menahan teksi yang membawa kami ke stesen bas. Masalahnya bas pertama adalah pada jam 6.00 pagi. Terlalu lambat rasanya. Akhirnya setelah puas mencari dan menawar, kami manaiki sebuah 'van sapu' dan bersesak dengan orang tempatan. Alhamdulillah kami selamat tiba di Hotel K Porte Inn, Dubai sekitar jam 6.00 pagi. Bilik penuh, kami tak boleh check in lagi. Berehat sebentar di ruang lobi dan kami tinggalkan semua bagasi di kaunter. Hari mulai cerah dan kami menahan teksi menuju ke Jumeirah Beach. Pantainya cantik dan bersih. Tak ramai pengunjung tetapi ada kedai menjual makanan segera. Kami pun bersarapanlah di tepi pantai. Dengan angin sejuk bertiup sekitar 16 darjah celcius dan perut kosong, semuanya terasa sangat sedap. 
Sewaktu keluar dari kawasan pantai,kami terpandang pondok menunggu bas yang canggih serta berhawa dingin. Tapi tak ada orang pun di situ...

Perut pun dah kenyang. Keletihan mula terasa. Kami menahan teksi dan pulang ke hotel.
Mujur bilik dah kosong. Terima kasih pada petugas kaunter. Dia benarkan kami masuk walau pun check in time adalah 2.00 petang. Bilik bertaraf dua bintang itu  kecil sahaja dengan dua single bed  tetapi harganya RM 500. Kami ambil dua untuk keselesaan. Bolehlah  berehat sebentar kerana pada pukul 3.30 petang kami akan dijemput tour guide.
Sekitar jam 3.30 petang sebuah kereta Land Cruiser tiba di luar hotel. Memperkenalkan diri sebagai Guldip dari One World Tour & travel yang akan membawa kami merentasi padang pasir. Memang mengujakan....Package 'Dune Dinner Safari 4X4' selama 6 jam itu ditempah secara online dengan harga AED 200 seorang.
Semua bahagian besi di dalam kereta dibalut dengan span dan kulit. Hati mula tertanya-tanya. Kami diingatkan supaya mengenakan tali keledar dengan betul dan kemas. "Kereta terbalik adalah perkara biasa tetapi tak ada kecederaan" itu kata-kata Guldip yang telah 13 tahun membawa pelancong merentasi padang pasir. Sekurang-kurangnya pengalaman Guldip cukup untuk mententeramkan sedikit hati yang dah mula ketakutan.
Kami kemudiannya mendapati ada lapan buah kereta yang sama mengekori. Sama package, kata Guldip. Lima belas minit kemudian kami singgah sebentar - ada tandas dan kedai menjual cenderahati bagi yang berminat. Perjalanan diteruskan dengan melalui kawasan padang pasir yang luas, sejauh mata memandang. Semua kereta berhenti lagi, kali ini Guldip dan guide yang lain membuang sedikit angin pada tayar masing-masing. "Pengembaraan bermula" kata Guldip ringkas. Kurangkan angin supaya mudah mengawal kereta.
Kereta menaiki bukit-bukit pasir yang tinggi dan rendah, yang curam dan berlekuk. Guldip membrek tiba-tiba. Kereta berpusing. Pasir berterbangan diluar. Kami di dalam ni apa lagi. Bergegar , berdebar , menjerit dan ketakutan. Rasanya seperti menaiki roller coster. Tak sangka pula begitu pengalaman yang kami lalui. Tetapi anak-anak saya gembira dan teruja. Mereka menjerit melepaskan segala ketakutan. Guldip tersenyum melihat suami saya yang ketakutan di sebelah.Dia menumpukan perhatian pada pemanduan. Begitu juga dengan kereta-kereta lain yang mengekori. 
Sesekali kami manaiki bukit tinggi yang tak tahu apa ada dihadapan...tiba-tiba kereta meluncur laju. Macam nak terbalik, tetapi tidak. Guldip memang cekap. Bila kereta dibrek mengejut, sebelah tayar dah terangkat  tetapi masih stabil.Bergerak semula. Pasir penuh memukul dinding kereta. Kami menjerit lagi. kemudian ketawa . Begitulah keadaan semua pelancong , fikir saya. Lebih setengah jam kami begitu. Cukuplah. Akhirnya kami bergerak di atas laluan biasa.

Kami berhenti sebentar menghilangkan kepenatan dan membuang segala kebimbangan. Selepas ini tiada lagi pemanduan begitu, Guldip menerangkan. Terus sahaja bergerak dan tiba diBedouin Campsite untuk makan malam ala kaum badwi.
Di luar campsite pula ada unta untuk ditunggang dengan sedikit bayaran. Kali pertama menaiki unta, rasa gayat kerana tinggi. Unta akan duduk supaya senang kita panjat kemudian perlahan-lahan mengangkat bahagian punggung dahulu menyebabkan kita rasa nak terjunam ke hadapan.

Kami mengambil tempat duduk. Tiada  kerusi hanya ada hamparan permaidani bersama meja rendah di susun dalam bentuk bulatan.Barbeque untuk dinner sedang disiapkan. Sementara menunggu, kami menjamah kebab. Kalau yang berminat, boleh mencuba 'sheesha'. Minuman panas dan tin semuanya ada. Tak perlu bayar kerana dah termasuk dalam package.
Hari semakin gelap bila semua orang beratur mengambil makanan . Sedap dan menyelerakan. Sebaik bersila, seorang wanita arab keluar dan menari di tengah-tengah menghiburkan  semua pelancong yang sedang menjamah makanan .                                                     

Semasa  perjalanan pulang, kami melalui padang pasir  juga . Kelihatan banyak keluarga sedang berkelah dengan membawa bekalan makanan ,meja kecil serta lampu. Satu pemandangan yang ganjil bagi saya. Kalau kat Malaysia, orang berkelah di tepi pantai... Kami sampai hotel sekitar jam 9.30 malam dengan kenangan yang paling unik sekali untuk dibawa pulang.

Hari Kedua : 20 Dis ( Ahad )
Hari ni kami dah booked The Big Bus Tour of Dubai secara online. Saya pula terlupa nak mencetak tiket. Jadi pukul 8.00 pagi, saya dan suami keluar mencari cyber cafe untuk print tiket yang dihantar melalui e mail. Tiket dah ada. Balik ke hotel, panggil anak-anak dan bersiap.
Kami perlu ke City Centre kerana di situlah perhentian paling dekat. Tanya orang. Kami kena menaiki Dubai metro untuk ke sana. 
Puas jugaklah nak membaca peta Dubai metro tu. Akhirnya kami sampai juga dan bas dah ada.
Anak-anak yang paling teruja. Saya dan suami dah biasa dengan bas hop on hop off ni semasa kami melancong ke Eropah pada tahun sebelumnya. Kami terus naik ke bahagian atas yang tidak berbumbung. Tiket bas termasuk tiket Muzium Dubai dan tiket 'Arabian Dhow River Cruise'. Dari Deira City bas bergerak terus membelah kesibukan kota Dubai. Dari jauh kami dapat saksikan Burj Dubai     (kini dipanggil Burj Khalifa ) yang ketinggiannya mencecah 829 m. Belum dibuka kepada umum kerana perasmiannya akan dilakukan pada bulan Januari 2010 nanti. Dengan 163 tingkat ,semuanya ada . Hotel, pejabat, masjid dan kondominium. Diiktiraf sebagai binaan paling tinggi di dunia.
Melepasi pelbagai jenis shopping complex tetapi kami tak turun. Akhirnya kami buat keputusan untuk singgah di Dubai Muzium . Macam-macam peralatan zaman purba, patung-patung manusia sedang melakukan aktiviti serta pokok kurma tiruan.  Dah terasa penat, kami sambung menaiki Big Bus tour. Singgah sebentar di Dubai Old Souk. Terdapat beberapa khemah dan patung menunjukkan kehidupan orang Badwi di situ. 

Meneruskan perjalanan . Perut terasa lapar. Kami singgah pula di Gold Souk yang khabarnya terdapat lebih 3000 kedai emas dengan tawaran harga menarik. Sekadar window shopping sahaja kerana saya bukan datang untuk bershopping. Kedai-kedainya kecil sahaja tetapi barangan kemas yang dijual memang banyak. Ternampak pula  restoran mamak dan kami pun singgah untuk lunch. Kat sini tak ada teh tarik ye...yang ada cuma air botol atau tin. Apa-apa air panas pun tak ada. Untuk enam orang makan, cuma AED 70. Lepas makan, sambung lagi menaiki bas. 
Seterusnya kami turun di Creek Walk untuk menaiki Arabian Dhow River Cruise. Rugi pulak kalau tak naik. Sebelum itu kami ke Twin Tower berdekatan mencari surau. Puas bertanya dan berjalan di dalam shopping complex tersebut akhirnya membawa kami ketingkat empat pada satu penjuru. Surau yang sangat kecil dan tidak berjaga. Di luar surau kedengaran bunyi bising kerana ada banyak meja  snuker.
Selesai sahaja , pergi semula ke jeti untuk menaiki Cruise menyelusuri sungai selama setengah jam. Kebanyakannya pelancong kulit hitam dan kulit putih. Tak jumpa pulak orang Malaysia.
Sewaktu melalui Burj Al Arab, hari semakin gelap. Pemandangan terhad tetapi bangunan tersebut kelihatan sangat cantik dan berdiri megah , satu-satunya hotel bertaraf tujuh bintang di dalam dunia yang dibuka pada tahun 1999. Untuk Royal suite  boleh mencecah USD 18,000 satu malam. Di dalamnya terdapat 202 bilik .
Seterusnya bas memasuki kawasan resort mewah  iaitu Atlantis On The Palm. Terletak di atas pulau buatan di Lautan Atlantik dan mula dibuka pada tahun 2008. Ketika melalui kawasan perumahan pula, kelihatan deretan kereta mewah di pakir. Akhirnya kami tiba di City Centre, naik Dubai Metro dan pulang ke hotel. Dalam perjalanan singgah pula di KFC untuk makan malam.
Hari Ketiga : 21 Dis           ( Ahad )
Tiada sarapan di hotel. Tiada juga jug heater di dalam bilik. Terpaksalah saya meminta petugas hotel untuk membawakan kami satu jag air panas . Nak buat minuman dan makan biskut untuk alas perut sebelum keluar berjalan-jalan. Saya memang bawa beberapa jenis minuman 3 in 1 apabila melancong ke luar negara.
Tepat jam 9.00 pagi, sebuah kereta Estima menghampiri hotel. Memperkenalkan diri sebagai Shahjahan, dia akan membawa kami melancong sekitar Sharjah dan Ajman. 
Tempat pertama ialah  Ajman Muzium yang menempatkan Ibn Al Haitham Galery of Science and Technology. Perkembangan teknologi  pelbagai bahan dipamerkan . Selain itu kami juga singgah di tepi pantai Sharjah,  Central Market , Souq Al Arsah dan fish market. Anak bujang saya sempat beli seesha yang sederhana besarnya untuk dijadikan kenang-kenangan. Akhir sekali kami melawat ke bandar yang menempatkan beberapa buah universiti di Sarjah.


 
 
Sebelum menghantar kami pulang ke hotel, Shahjahan membawa kami ke restoran mamak kepunyaan orang Pakistan sepertinya. Dia juga berasal dari Pakistan dan meninggalkan keluarga di negara asal untuk mencari wang. Dia adalah pemandu pelancong persendirian - tidak terikat dengan mana-mana syarikat. Lebih mudah katanya kerana dia dah ada kereta sendiri.Entah kenapa, sebaik kami melangkah masuk ke restoran ayat-ayat suci al Quran berkumandang. Harga pun taklah mahal sangat iaitu AED 120 untuk kami berenam.
Pada sebelah petangnya kami bersiar-siar sekitar Al Ghurair , window shopping dan makan aiskrim. 
Kami minta Shahjahan menghantar ke airport pada sebelah malamnya.
Tepat pukul 9.00 malam, kami meninggalkan hotel dan terus ke Lapangan Terbang Antara Bangsa Abu Dhabi. 

22 Dis. ( Isnin )
Pesawat  bergerak pada pukul 2.55 pagi dan kami selamat tiba pada jam 1.55 petang waktu Malaysia atau 9.55 pagi waktu Dubai. Walau pun terlalu singkat berada di Dubai, pengalaman yang kami kutip cukup banyak untuk di kenang. Terima kasih Air asia ! 









5 comments:

  1. Wow Awesome & informational Site I have ever seen about Dubai. Let me introduce another Business which Dubai Desert Safari & we provide our clients with a taste of the luxurious life. desert safari dubai deals

    ReplyDelete
  2. I have visited many posts on your blog and its useful for me but I am looking for Desert Safari Deals Dubai . Can you provide me the best deals?

    ReplyDelete
  3. Wow what a great blog, i really enjoyed reading this, good luck in your work. Places to Visit in Sharjah

    ReplyDelete