Friday, 19 December 2025

UMRAH KETUJUH

10 - 31 DEC 2024


10 DEC 2024 : Selasa

Kali ini saya pergi berdua dengan suami sahaja.  Untuk pertama kalinya kami ambil UMRAH 22 hari 20 malam.  Ahli kumpulan kami ada 31 orang. Satu malam di TAIF, 9 malam di MEKAH dan 10 malam di MADINAH.

Di uruskan oleh IN SAFF TRAVEL dengan harga RM 13670 seorang kami menaiki penerbangan Air Asia. Kami tinggal di HOTEL MAKKAH TOWER yang hanya 50 m dari Masjidil Haram dengan sarapan pagi sahaja.


Mutawif yang mengiringi kami adalah USTAZ SHUKRI dan USTAZ MUZAMMIL (orang Indonesia).

Sebenarnya umrah sebelum ini iaitu pada JAN 2024, kami bawa anak bongsu bersama dan tinggal dihotel yang sama tetapi fullboard.

Kali ini saya berazam untuk KHATAM al Quran selama berada di tanah haram ini. Oleh itu kami tidak mengikuti mana2 ziarah luar sebab nak habiskan masa IKTIKAF sambil baca Quran.

Alhamdulillah, saya berjaya KHATAM Al Quran pada 26 DIS 2024 semasa berada di Madinah

Penerbangan kami berlepas sekitar jam 3.00 pm dan selamat tiba di JEDDAH sekitar jam 7.30 pm. Kami terus di bawa ke HOTEL TAIF GATE untuk bermalam. Kami juga di berikan nasi lemak dan kuih apam untuk dinner. Sedap.

Ustaz Shukri

Keesokan harinya kami di bawa ke bandar TAIF dan solat di MASJID ABDULLAH IBN ABBAS . Mutawif yang mengiringi kami di Taif adalah seorang pemuda berusia 28 tahun. Orang Terengganu yang akan habis master di situ pada tahun 2025. Katanya nak sambung PhD jika ada peluang dan pengajian dia ditaja sepenuhnya oleh YAYASAN TERENGGANU.



breakfast Mekah Tower
11 - 20 DEC 2024 :  MEKAH

Semasa dalam perjalanan ke MEKAH, kami singgah untuk niat umrah pertama kami pada waktu magrib. Tiba di Mekah, kami minta kebenaran mutawif untuk melakukan umrah sendiri.

Seperti sebelumnya, kami lakukan SAIE dengan menyewa skuter. Kali ini tiada lagi skuter sewa tetapi ada BUGGY. Satu buggy boleh dinaiki oleh 8-10 orang. 

Selama berada di Mekah, kami akan ke masjid satu ke dua jam lebih awal untuk setiap waktu dan balik pun satu ke 2 jam lewat. Masa tersebut kami gunakan untuk membaca Al Quran.

Kami biasanya makan tengah hari atau malam di kedai2 sekitar hotel yang kami duduki. 


Kalau di RESTORAN SAJI kepunyaan orang Malaysia, biasanya kami beli satu set sahaja dan kongsi berdua.

Hari terakhir di Mekah, kami melakukan TAWAF WIDA' sebelum berkumpul di lobi selesai solat zohor untuk bertolak ke Madinah.


12 DEC - 30 DEC : MADINAH

Di Madinah pun kami hanya ambil sarapan pagi sahaja. Selainnya makan sendiri. Entah di mana silapnya, kami di dihantar ke HOTEL JAWHARAT untuk SATU malam dengan fullboard. Bilik agak kecil tetapi saya tak kisah kerana dekat sahaja dengan masjid.



berselera 
Kemudiannya kami di hantar ke MIRAGE ASSALAM untuk EMPAT malam berikutnya dengan fullboard. Di situ saya temui banyak orang Indonesia. Yang bagusnya selalu ada ikan termenung goreng maktu lunch atau dinner. Ada suara2 yang kurang senang didengar namun bagi saya ok sahaja sebab dekat dengan masjid.

Untuk malam2 berikutnya, barulah kami dihantar ke SARAYA HARMONY dengan sarapan pagi sahaja. Hotel yang lebih besar, cantik dan selesa. Masalahnya kena jalan jauh sedikit kerana ada CONSTRUCTION. Namun segalanya saya terima dengan hati terbuka. Mungkin itulah ketentuan Allah buat kami. Setiap kali waktu makan, terpaksalah kami mencari mana2 restoran yang ada. Jauh jugaklah. 

Silap saya sebenarnya kerana tak bawa apa2 makanan dari Malaysia sebab ingatkan semua halal. Beras ada dijual tetapi saya tak bawa periuk.

teringat Bajrangi Bhaijaan
Masalahnya ada restoran Pakistan tetapi tiada yang jual nasi putih. Begitu juga dengan restoran Arab, semuanya nasi arab atau nasi minyak. Naik jemu saya. Pada hal sebelum ini kalau trip DIY ke mana2 negara, saya mesti bawa mini rice cooker.

Saya tidak dapat masuk RAUDHAH kerana tidak boleh menggunakan APPS NUSUK. Syarat nusuk adalah SEKALI dalam setahun untuk masuk Raudhah sedangkan saya baru sahaja masuk Raudhah pada bulan JAN 2024 yang lalu masa umrah ke 6. Kali ini saya pula guna VISA PELANCONG jadi tak boleh masuk Raudhah dengan MUTAWIF. Ada ahli grup saya yang dah tahu lebih awal, mereka request VISA UMRAH, bermakna mereka boleh masuk Raudhah ikut mutawi dan mereka pula boleh masuk raudhah guna APPS NUSUK.



orang Uzbekistan
Walau bagaimana pun saya berjaya juga pergi ke PINTU 32 untuk ke PINGGIR RAUDHAH. Itu pun rasa dah bersyukur sangat. Pintu ini hanya dibuka DUA KALI setiap hari iaitu SELEPAS SUBUH dan SELEPAS ISYA selama dua jam.

Di Madinah juga  kami tidak ikut ziarah luar kerana nak tumpukan KHATAM AL QURAN. Alhamdulillah pada 26 DIS 2024, saya berjaya khatam Al Quran. Umrah paling manis bagi saya selama lapan kali menjejakkan kaki ke tanah haram ini, termasuk mengerjakan haji. Semasa umrah pada tahun 2020 hari lahir saya disambut di Madinah dengan doa dibacakan oleh mutawif USTAZ HAFIZ.


Telah LAPAN KALI kami berpeluang ke tanah haram ini termasuk Haji.

orang Russia

Dis 1995 : UMRAH ZIARAH BEIRUT - Saya, suami, arwah ayah dan mak tiri oleh Assarimurni Travel.

Jan 2005 : HAJI oleh Cantummas Travel

Sept 2012 : UMRAH SAMBUT RAYA - saya, suami, Ammar, Hafiz dan Hanis oleh TM Travel

Mac 2015 : UMRAH/BAITULMAQDIS/JORDAN - saya, suami, Hafiz dan Hanis oleh Safirgo Travel.

Feb 2020 : UMRAH ZIARAH OMAN - saya, suami, Hafiz dan Hanis oleh Andalusia Travel.

Nov 2021 : UMRAH - saya dan suami oleh Andalusia Travel





orang Afganistan
Jan 2024 : UMRAH - saya, suami dan Hanis oleh Andalusia Travel.

Dec 2024 : UMRAH 22 hari - saya dan suami oleh In Saff Travel

Sama seperti di Mekah, kami tidak ikut mana2 ziarah.Banyak masa dihabiskan beriktikaf. Kali ini saya hanya ingin kongsikan cerita2 tentang jemaah2 yang ditemui sepanjang berada di Madinah.

Seorang perempuan muda menegur saya dalam bahasa Inggeris. Katanya nak mintak ruang untuk mak saudara dia sebab dia dan mak dia dah dapat dalam saf depan saya. Saya himpit ke tepi supaya

hadiah
sorang lagi boleh masuk. Tiba2 mak dia hulur satu tasbih dan letak di dalam genggaman saya.

"Kenapa" tanya saya pada yang muda sebab yang dua lagi tu tak boleh berbahasa Inggeris.

"Mak saya nak hadiahkan tasbih ni pada kamu". Jawab dia ringkas.

"Dari mana" tanya saya pula.

"Tashken" jawabnya. Perbualan jadi panjang bila saya cerita yang saya baru balik dari bercuti di Uzbekistan pada September yang lalu.

Selesai solat saya biasanya akan sujud lama untuk berdoa. Banyak yang saya minta dari Allah. Untuk diri sendiri, untuk suami juga untuk anak2. 


baca Quran dulu
Saya terasa bahu dicuit. Saya teruskan berdoa sehingga habis. Bila bangun saya melihat seseorang sedang tersenyum kearah saya.

Dia tunjuk dahi. Saya raba rambut mana tahu ada yang terkeluar. Tiada. Dia geleng kepala. Dia keluarkan minyak angin. 

Saya cakap "Im okay" sambil tolak minyak angin dia. Agaknya dia ingat saya sakit kepala. Susah jugak bila tak faham bahasa ni.

Pernah juga saya terjumpa orang dari Afganistan dan Russia. Kadang2 bolehlah sembang sikit2 kalau yang tahu bahasa Inggeris.

Pernah satu ketika sewaktu nak isi air zam-zam, ada seorang perempuan tua berdiri sebelah saya. Tua dari saya sebenarnya. Saya berdiri dan offer air 


zam-zam dalam cawan, dia gelengkan kepala. Tiba2 dia peluk saya. Lama. Tanpa sepatah kata kemudian dia lepaskan pelukan. Tersenyum dan berlalu pergi. Saya tertanya2 sendirian sambil memikirkan... siapakah saya di mata wanita tua itu. 

Tiba2 saya teringat ibu yang dah puluhan tahun pergi ke negeri abadi. Sebak..  sebab saya tak sempat bawa ibu untuk umrah. Dia pergi waktu saya masih muda umur 27 tahun, masa tengah struggle untuk hidup dengan anak kecil dua orang memang saya tak mampu... sebab itu ketika usia saya 34 tahun, saya bayarkan umrah untuk arwah ayah supaya dia boleh pergi bersama saya. Itulah umrah pertama saya dan umrah terakhir ayah. Begitulah takdir yang telah Allah tentukan buat saya.



subuh terakhir.. sedeh
Ketika solat bersebelahan dengan orang India, saya bentangkan sejadah supaya dia boleh konsi dengan saya. Tiba2 dia tarik sejadah untuk kongsi dengan kawan dia pulak. Saya... sujudlah di atas karpet masjid yang sedikit berdebu. Nak marah tak boleh... dugaan barangkali. Saya redho.

Semasa saya di dalam lift untuk pergi solat, seorang wanita berpakaian serba hitam. Tapi saya boleh agak dia orang Iran sebab saya pernah bercuti di Iran pada tahun 2017. Bila lift terbuka, saya keluar dan dia pegang tangan saya suruh tunggu sambil dia cari sesuatu dalam beg tangan. 

Dia hulurkan pelastik kecil berisi serbuk putih masukkan ke dalam genggaman saya... "karbala" sepatah sahaja dia bersuara sambil tersenyum dan berlalu pergi. "Mujur dia bagi tahu, ingatkan dadah tadi" suami saya buat lawak. Dah jauh dari hotel, saya pun mencari tong sampah.


serbuk batu karbala (Iran)

Ini cerita masa saya mula2 sampai di Mekah. Saya tak buat roaming siap2. Terpaksalah beli simkad. Tiba2 budak tu tunjuk jari telunjuk... "ah sudah, nak kena mengucap pulak ke. Selalu dah datang Mekah ni tak penah pulak suruh mengucap" saya membebel kat suami di sebelah. Suami saya pun reconfirm. Rupa2nya dia nak cop jari telunjuk. Kat tempat kita kan selalunya guna ibu jari. Macam2 lah pak arab ni... fikir saya sambil tersenyum.

Semasa solat subuh, tiba2 saya dengar suara orang perempuan bercakap dalam bahasa Inggeris yang bunyinya macam orang melayu. Tentulah kita tahu kan lenggok bahasa tu. Saya pusing belakang, rupa2nya orang Kedah. "mak arab tu tanya saya sebab dia dok heran kenapa orang solat sunat sebaik lepas azan" perempuan tu bagi tahu saya. 



ada orang peluk saya
Sebenarnya saya lagi heran kalau dia tak tahu SOLAT SUNAT SUBUH. Mungkin sebab dia orang TURKEYE. Saya dah tiga kali bercuti kat Turkeye dan kali pertama pada tahun 2008. Memang diorang teruk sangat masa tu. Masjid2 tak ramai orang terutama waktu subuh. Ada yang saya jumpa mengaku tak pernah solat kecuali hari raya. Tetapi ketika saya ke Turkeye pada tahun 2022, keadaan jauh berbeza. Masjid2 mula penuh dan agama Islam mula dipraktikkan dibawah pentadbiran Erdogan.

30 DEC 2024 : ISNIN

Kami menaiki pesawat Air Asia yang akan berlepas pada jam 9.00 pm. Pada sebelah paginya kami semua menaiki bas untuk ke airport Jeddah. Sekitar jam 3.00 pm kami telah berada di ruang menunggu. Saya gembira kerana beranggapan yang urusan check in akan dipermudahkan.



beli dinner kat food court

Satu demi satu grup berlepas dan selesai urusan check in namun grup kami masih belum selesai. Kami diminta menunggu. 

Dua jam menunggu, kami pun dapat BOARDING PASS. Lega lah sebenarnya. Kemudian kami dapati seorang demi seorang staff Air Asia mendapatkan staf di kaunter. Sambil bertelefon. Tiba2 mutawif meminta semula boarding pass tadi.

Kami tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku kerana tidak dimaklumkan. Debaran memang ada. Mulalah fikir... kami kena scam ke atau tiket kami tak valid ke. Allahu... 

Akhirnya sekitar jam 8.15 pm mutawif serahkan boarding pass baru dan minta beberapa orang jemaah laki2 membantunya untuk uruskan check in bagasi kerana jemaah yang lain diminta terus ke balai berlepas dengan segera. Jemaah2 yang sedang beratur memberi laluan kepada kumpulan kami untuk terus ke dalam pesawat. Ini lah DUGAAN yang kami hadapi dan Allah telah mempermudahkan segala2nya.


Buah tangan sebaik tiba 
 Akhirnya kami selamat mendarat sekitar jam 11.00 am di KLIA2  pada keesokan harinya, 31 DEC 2024. Banyak kenangan yang saya simpan kali ini walau pun telah berkali2 menunaikan umrah. Buat pertama kalinya kepulangan kami disambut dengan sedikit buah tangan oleh In Saff Travel iaitu SEKUNTUM BUNGA ROS, KAMBING PERAP DAN PULUT KUNING. 

Setiap kali meninggalkan tanah haram ini, saya berdoa agar Allah mengizinkan saya untuk datang lagi dalam keadaan sihat walafiat. Satu2nya tempat yang paling dirindui untuk dijejaki selagi nyawa masih ada.

Rasulullah pula satu2nya insan yang dirindui walau tidak pernah bersua. Begitulah...



No comments:

Post a Comment